`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, January 14, 2013

JANGAN PERJUDIKAN GENERASI MENDATANG




PRIHATIN ... Musa (kiri) menyampaikan bantuan beg sekolah kepada murid-murid sekolah agama di Rancangan Sungai Manila pada majlis itu.

SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, menegaskan pembangkang sudah tiada isu yang hendak dibangkitkan melainkan asyik menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan menabur pelbagai tohmahan semata-mata untuk kepentingan politik sempit.

Menurut beliau, sikap pimpinan pembangkang membuktikan mereka sudah ketandusan idea apabila suka mengada-mengadakan dakyah sedangkan BN terus melaksanakan program pembangunan yang membolehkan kemajuan terus dinikmati seluruh rakyat jelata.
Dia yakin dan percaya perbuatan mereka ini akan menyusahkan diri sendiri sebab rakyat kini matang dan bijak bukan sahaja dalam menilai seseorang pemimpin tetapi juga kerajaan yang boleh membawa kemajuan.

“Rakyat negeri ini tidak akan mudah terpengaruh dengan apa jua janji-janji kosong pembangkang bahkan sokongan padu akan kita terima menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 memandangkan kepercayaan rakyat terhadap BN semakin bertambah baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat peringkat Daerah Mengundi Sungai Manila di Dewan Kompleks Penyayang Taman Cahaya, Batu 12, Jalan Labuk, dekat sini, kelmarin.

Sehubungan itu, Musa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga dan Ketua Umno Bahagian Libaran berkata kemajuan yang dicapai selama ini membuktikan bahawa komitmen kerajaan sedia ada dalam menunaikan segala janji.

Katanya, kerajaan tidak pernah mempermainkan rakyat tetapi pembangkang ternyata asyik menjanjikan ‘Bulan dan Bintang’ seolah-olah menunjukkan mereka di pihak yang benar.

Justeru, ujar beliau, rakyat perlu berfikir dua kali dalam memilih kerajaan kerana jangan sampai tertipu akibat pembohongan pembangkang yang semakin ketara.

“Pembangkang masuk kampung dan keluar kampung macam-macam dakyah dan tohmahan yang mereka lemparkan kepada kita. Tetapi, saya percaya rakyat Sabah pandai memilih mana yang baik dan mana yang buruk.

“Apalagi kemajuan pesat yang kerajaan BN laksanakan sekarang selain pelbagai bantuan dan inisiatif termasuk perluasan Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M untuk kali kedua pastinya rakyat akan memberi sokongan mutlak.

“Ini kerana, pembangkang terbukti berjanji kosong apabila asyik memutar belitkan sesuatu isu mahu pun fakta … padahal kerajaan BN terus bekerja keras demi kepentingan rakyat jelata,” kata Musa.

Katanya lagi, tentu rakyat tidak mahu ditadbir sebuah kerajaan yang tiada keupayaan jika dibandingkan kerajaan hari ini terbukti membela nasib semua kaum apabila setiap pembangunan yang dijalankan tidak pernah meminggirkan sesiapa pun.

Oleh itu, tambahnya, rakyat perlu berhati-hati dalam memilih kerajaan kerana jika tersilap seolah-olah memperjudikan masa hadapan generasi akan datang.

Ini katanya, pihak-pihak suka sangat menyalahkan kerajaan adalah mereka yang tiada kemampuan untuk membawa pembangunan kepada negeri ini.

“Sejak BN memerintah Sabah … bukan saja pembangunan yang rakyat peroleh malahan dari segi aspek perpaduan kaum apabila setiap seorang daripada kita ini hidup dalam suasana yang aman dan damai.

“Tentu sekali kita inginkan suasana ini berterusan sampai bila-bila makanya sokongan haruslah diberikan kepada BN demi masa depan yang lebih gemilang,” jelasnya.

Hadir sama Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Adun Gum-Gum, Datuk Zakaria Mohd Edris; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Ir.James Wong dan Timbalan Presiden MPS, Mohd Hamsan Awang Supain serta pemimpin masyarakat setempat termasuk para ketua-ketua cawangan Umno. (NST)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.