`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, May 7, 2013

BN tidak tumbang walaupun majoriti Cina sokong pembangkang


(Bernama) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak tumbang walaupun sebahagian besar kaum Cina menyokong pembangkang seperti yang dilihat dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata realitinya ialah kaum Bumiputera dan  masyarakat India masih memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan BN untuk terus menerajui negara berdasarkan mandat yang diperoleh dalam PRU13, Ahad lepas.
“Kita harus sedar bahawa parti pembangkang khususnya DAP telah menggambarkan kepada masyarakat Cina (kononnya) mereka boleh mengubah kerajaan…malah slogan yang digunakan seolah-olah (kalau) orang Cina sokong pembangkang, mereka boleh ubah kerajaan.
“Hakikat dan realitinya walaupun sebahagian besar (masyarakat Cina) sokong pembangkang, tetapi kerajaan tidak tumbang, kerajaan BN masih kekal,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan khas dengan anggota parlimen baharu BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Perjumpaan tertutup selama hampir dua jam itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Najib menarik perhatian walaupun sokongan kaum Cina terhadap DAP di sesetengah kawasan dilihat mencecah antara 85 dan 95 peratus, namun kerajaan BN masih kekal kerana kaum Bumiputera dan India di banyak kawasan lain masih percaya kepada gabungan itu.
Menurutnya, apa yang digambarkan pembangkang terutama DAP merupakan satu penipuan besar terhadap kaum Cina sehingga masyarakat itu yakin undi mereka dapat mengubah kerajaan sedia ada.
“(Ini) seperti janji pada 16 Sept (2008 untuk menawan Putrajaya). Storyline (jalan cerita) ini (untuk tukar kerajaan) tidak betul dan banyak ditokok tambah, direka cerita,” katanya.
Najib berkata satu lagi penipuan yang dilakukan pembangkang pada PRU13  ialah dakwaan tidak logik BN membawa masuk lebih 40,000 warga Bangladesh sebagai pengundi untuk memastikan kemenangannya.
“Kalau ikut logik, nak bawa 40,000 (warga) Bangladesh (perlu) menggunakan pesawat Boeing 747 yang hanya boleh memuatkan 400 orang…bererti 100 buah pesawat terpaksa mendarat untuk membawa warga Bangladesh ini mengundi,” katanya.
Namun, beliau berkata sehingga kini tiada bukti diketengahkan pembangkang kerana dakwaan itu sememangnya tidak berasas,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.