Mahfuz Omar    
 
KUALA LUMPUR - Pas hari ini menggesa kerajaan membuat pemotongan 15 hingga 20 peratus ke atas harga tarif elektrik.

Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, penurunan berkenaan perlu dilakukan berdasarkan kepada kejatuhan harga minyak dunia dan arang batu yang digunakan sebagai bahan utama proses penjanaan elektrik.

"Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan bahawa tarif elektrik tidak akan dinaikkan bagi tahun 2015. Ini satu langkah meringankan beban yang ditanggung rakyat.

"Namun, itu tidak cukup untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat, sepatutnya penurunan serta potongan harga perlu dilakukan," katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Tidak cukup sekadar itu, beliau menambah, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu dimansuhkan bagi menjimatkan perbelanjaan kewangan negara.

"Menurut Najib penangguhan PLKN boleh menjimatkan sebanyak RM400 juta perbelanjaan negara. Sepatutnya modul dan sistem pengajaran PLKN diserapkan ke dalam sistem pendidikan negara.

"Mungkin ia boleh diserapkan seawal sekolah rendah atau sekolah menengah dan langkah ini bakal menjimatkan perbelanjaan dan masa," katanya lagi.

Mahfuz dalam pada itu turut mempersoalkan Perutusan Khas Perkembangan Ekonomi Semasa Kedudukan Kewangan Negara tidak dibentangkan di Parlimen tanpa melibatkan semua ahli Parlimen.

"Sepatutnya beliau (Najib) membawa perkara ini ke Parlimen supaya perdebatan bagi tujuan kebaikan perkembangan kewangan negara dapat disumbangkan," katanya.