`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, July 9, 2015

Berhentilah Memberi Jawapan "Saya Tak Pernah Guna Dana 1MDB Untuk Peribadi"



Tulisan kali ini hanyalah coretan ringan dan santai saja. Tak perlu terlalu banyak berfikir, malah boleh dibaca sambil baring-baring atau ketika berbual dengan kawan-kawan.

Menulisnya pun ketika mata sukar nak tidur dan mungkin terus berjaga sehingga sahur nanti.

Sejak The Wall Street Journal  atau WSJ menulis laporan mengenai pengaliran masuk wang 1MDB berjumlah kira-kira AS$700 juta ke dalam peribadi Najib Razak pada Jumaat lalu, apa yang menimbulkan persoalan ialah mengapa tiada jawapan atau penjelasan yang tepat diberikan mengenai dakwaan itu sehingga ini?

Jawapan Najib hanyalah, "saya tak pernah guna wang 1MDB untuk kepentingan peribadi", "saya tidak akan khianati amanah rakyat", "kalau saya nak menyamun, takkanlah saya guna akaun peribadi" atau ayat lain ala-ala memikat jiwa yang seumpama dengannya.

Semalam, ketika peguam Najib menulis surat kepada penerbit WSJ, Najib sekali lagi menulis di blognya mengulangi perkataan, "saya tak pernah ambil wang 1MDB untuk diri sendiri".

Kenapa  diulang-ulang lagi jawapan syahdu sebegitu rupa?

Pendedahan WSJ sangat mudah iaitu mengenai kemasukan wang ke dalam akaun peribadi Najib dan jawapan yang seharusnya diberikan juga menjurus ke arah itu.

Kenapa dijawab "saya tak pernah  guna wang 1MDB untuk kepentingan peribadi", "saya tak akan khianati amanah rakyat" dan seumpamanya?

Itu bukan jawapan. Kalau dalam peperiksaan, jawapan sebegitu tidak mungkin mendapat apa-apa markah pun.

Jawapan sebenarnya juga sangat mudah, kalau ada wang dimasukkan jawablah "ya" dan kalau tiada pula jawablah "tidak".

Sahabat saya, Mohd Sayuti Omar atau MSO mencadangkan agar Najib bersumpah. Ini pun bagus juga, kalau dalam kes Altantuya Najib boleh bersumpah, tentulah tiada masalah juga untuk melakukannya sekali lagi dalam kes wang bilion- bilion ini.

Sebagai pemimpin, apatah lagi Perdana Menteri, jangankan menerima kemasukan wang sebesar AS$700 juta atau RM2.6 bilion boleh dicurigai dan merupakan suatu kesalahan, malah jika nilainya RM1 pun tetap kesalahan juga.

Termasuk hari ini, sudah genap seminggu sejak dakwaan itu ditimbulkan oleh WSJ tetapi masih tiada jawapan yang pasti dan meyakinkan daripada Najib.

Sebab itu jangan marah atau melenting bila Tun Mahathir Mohamad minta Najib menunjukkan buku akaun banknya. Ada pula yang menyoal, masa Tun Mahathir jadi Perdana Menteri dulu, pernahkah beliau menunjukkan buku akaunnya?

Maksud tersirat Tun Mahathir ialah kalau susah sangat nak mengaku "ya" atau "tidak", tunjukkan saja buku akaun bank sebagaimana nombor akaun yang sudah didedahkan oleh WSJ itu.

Biarlah buku bank berbicara jika mulut dan lidah sudah tidak boleh berkata apa-apa.

Memang Tun Mahathir tidak pernah menunjukkan buku akaun banknya dan kita pun tidak tahu kekayaannya, tetapi sepanjang berkuasa selama 22 tahun, beliau juga tidak pernah dituduh menerima wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Kalau tiada tuduhan, apa perlunya Tun Mahathir menunjukkan buku akaunnya?

Yang rakyat ingin tahu daripada Najib sekarang ialah betul atau tidak berlaku kemasukan wang ke dalam akaun peribadi seperti yang didakwa WSJ itu, bukannya melencong kepada amanah rakyat yang tidak pernah dikhianati dan kegunaan wang untuk diri sendiri yang kononnya tidak pernah dilakukannya.

Sejauh mana rakyat dikhianati atau tidak, ada Najib menggunakan wang negara untuk kepentingan peribadi atau sebaliknya, biarlah Tuhan menghakiminya di kemudian hari. Masanya akan tiba di akhirat nanti dan Najib tak perlu kecoh-kecoh sangat mengenainya di dunia ini.

Yang dunia ingin tahu ialah tentang kemasukan wang ke dalam akaun peribadinya, maka jawablah dengan jujur dan tunjukkan buktinya sekali. Mudah dan habis cerita. Rakyat pun pasti akan  gembira dengannya. (SH)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.