`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, July 8, 2015

Surat Peguam Najib Lebih Bertujuan Meredakan Rakyat



Perdana Menteri Najib Razak akhirnya memulakan proses undang-undang terhadap akhbar perniagaan, The Wall Street Journal atau WSJ berikutan laporannya yang mendakwa terdapat kemasukan dana 1MDB berjumlah kira-kira AS$700 juta ke dalam akaun peribadinya.

Tindakan undang-undang itu, sebagaimana dalam beberapa samannya kepada beberapa pihak sebelum ini, turut dilakukan melalui firma Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, dan dihantar melalui email kepada penerbit WSJ.

Sudahlah tindakan undang-undang diambil lewat sehari sebagaimana yang dilaporkan sebelumnya bahawa ia akan dilakukan pada Selasa, apa yang mengejutkan surat kepada WSJ yang dihantar pada Rabu itu, sebenarnya belum lagi berupa tuntutan saman, sebaliknya hanya merupakan tuntutan penjelasan saja.

Surat peguam itu mahu WSJ menyatakan dengan jelas dan tanpa ragu-ragu sama ada ia adalah hujahnya bahawa Najib telah menyalahgunakan dana AS$700 juta milik 1MDB.

"Kami diarahkan untuk mendapatkan pendirian anda kerana artikel itu secara kolektif menyarankan bahawa anda tidak pasti mengenai sumber asal dan apa yang berlaku kepada wang itu manakala intipati umum aktikel mewujudkan gambaran yang jelas bahawa pelanggan kami telah menyalahgunakan wang tersebut," kata surat itu lagi.

Mereka memberi tempoh selama 14 hari kepada WSJ untuk menjawab tuntutan yang dikemukakan itu.

Sama ada Najib akan meneruskan saman atau sebaliknya bergantung kepada penjelasan yang diberi oleh WSJ nanti.

Jika dilihat dalam artikel WSJ sebelum ini, mereka hanya menyebut  mengenai kemasukan wang ke dalam akaun peribadi Najib dan  tidak menyentuh sama sekali berkaitan dengan unsur penyalahgunaan, penyelewengan atau seumpamanya berkaitan wang tersebut.

Maknanya, WSJ hanya membangkitkan mengenai kemasukan wang dan bukannya bagaimana  ianya dibelanjakan.

Tetapi kenapa Najib mahukan penjelasan WSJ mengenai dakwaan penyalahgunaan pula sedangkan jika benar tiada kemasukan wang ke dalam akaun peribadinya sepertimana yang didakwa itu, saman sudah pun boleh diteruskan?

Isunya di sini ialah kemasukan wang dan bukannya penyalahgunaan. Apakah jika benar ada kemasukan dan tidak disalahgunakan, ia bukan suatu kesalahan bagi seorang Perdana Menteri?

Kenapa tidak dikemukakan saman fitnah terhadap WSJ berhubung kemasukan wang sebagaimana yang didakwa itu?

Apakah juga tidak terus mengemukakan saman fitnah itu menunjukkan memang benar berlaku kemasukan wang ke dalam akaun peribadi Najib?

Lebih mengejutkan, tiada langsung tuntutan meminta WSJ menarik balik dan meminta maaf berhubung laporannya yang sudah disiarkannya itu.

Ternampak di sini bahawa Najib, melalui surat peguam ini lebih bertujuan melengah-lengahkan masa dan meredakan keresahan rakyat, terutama para penyokongnya.

Dengan adanya surat peguam itu, walaupun hanya tuntutan penjelasan dan bukannya saman, akan didendangkanlah gambaran yang menunjukkan Najib sudah memulakan langkah untuk mempertahankan dirinya daripada apa yang dikata fitnah dan konspirasi terhadapnya.

Ada kemungkinan juga saman tidak diteruskan jika WSJ tidak menyatakan pendirian mengenai penyalahgunaan wang sebagaimana yang dituntut itu.

Secara logiknya pula, memang tiada keperluan untuk WSJ menyatakan sama ada benar atau tidak wang itu telah disalahgunakan atau sebaliknya. Pendedahan mereka mengenai adanya kemasukan wang sudah memadai tentang nilai moral seseorang pemimpin.

Sama ada saman akan diteruskan atau tidak hanya akan diketahui selepas 14 hari nanti, tetapi tidaklah mengejutkan jika ianya tidak diteruskan berikutan kegagalan mendapatkan pendirian WSJ mengenai penyalahgunaan wang itu.

Namun itu tidaklah penting sebenarnya bagi Najib. Yang penting surat peguam yang sudah tersebar luas ini telah berjaya meredakan keresahan rakyat dan para penyokong Najib untuk terus berdiri bersamanya dalam sisa-sisa jawatannya yang kian terancam itu.

Walaupun surat itu dihantar kepada penerbit WSJ di Amerika Syarikat, tetapi sasaran sebenarnya ialah rakyat Malaysia.

Ketika ini, itulah yang lebih dimahukan Najib sementara pasukan petugas khas menjalankan kerja-kerjanya. (SH)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.