`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, November 17, 2016

Komuniti Chetti Melaka nafi nama makanan ‘haram jadah’

Nama makanan memainkan peranan penting dalam sesebuah masyarakat, namun komuniti peranakan Chetti Melaka enggan nama makanan “haram jadah” dikaitkan dengan mereka.
chetti-1
Gambar Ihsan: Facebook Chetti Melaka
fmt-ohsem-inside-article1Wanita daripada komuniti Chetti Melaka, Sumitra Devi Pillay sekali lagi terkejut apabila nama sejenis makanan yang menjadi kontroversi dalam kalangan komunitinya diangkat semula sebagai bahan berita selain diviralkan.
“Sejujurnya, saya tidak pernah mendengar nama itu sehinggalah melihatnya dalam artikel di surat khabar beberapa tahun lalu.
“Saya dibesarkan oleh mak cik saya kerana ibu bekerja, seumur hidup saya tidak pernah pula mendengar nama itu,” katanya merujuk kepada nama makanan “haram jadah” yang kini diviralkan.
chetti 2
Gambar foto makanan itu baru-baru dikongsi seorang pengguna Facebook di mana ia dipamerkan dengan label “Haram Jadah” berserta penerangan tentang makanan itu daripada pihak Jabatan Warisan Negara.
“Kalau tidak silap saya, mak cik saya menggelarnya ‘lauk campur-campur’. Tetapi jarang memasaknya kerana kandungan utama makanan itu, sayur-sayuran bukan kegemaran kami,” kata wanita berusia 28 tahun itu.
Sumitra juga akui nama diberikan itu jelas bukan gelaran yang baik dan disalah tafsir pihak tertentu.
“Kandungan dalam makanan itu, tiada yang haram. Ia hanya mengandungi sayur-sayuran dan ikan bilis saja. Bagaimana pula ia boleh ada perkataan ‘haram’?” soalnya.
Malah, katanya penggunaan “haram jadah” itu sendiri sangat kasar dan tentu sekali bukan nama pilihan untuk makanan.
“Bukan seingat saya,” katanya.
Ditanya jika komunitinya enggan mengakuinya kerana sensitif dengan perkataan “haram”, Sumitra menafikannya.
Katanya, percakapan seharian mereka yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara lebih kasar, dan ia tidak pernah menjadi masalah.
“Kami mempunyai pelbagai jenis makanan dengan nama unik seperti lauk pindang, kanda kasturi dan sebagainya. Tetapi yang ini, saya tidak pernah mendengarnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Komuniti Masyarakat Chetti Melaka K Supramania berkata pihaknya enggan menerima nama makanan itu dikaitkan dengan komuniti itu.
Beliau berkata nama itu digunakan seorang dua individu yang tidak bertanggungjawab dan disebarkan kepada pihak media sehingga ia menjadi label rasmi.
“Anda boleh tanya mana-mana komuniti kami, termasuk orang tua di sini, kami tidak pernah guna nama ‘haram jadah’ bagi mana-mana makanan,” katanya.
Malah, seorang lagi ahli komuniti itu T.Sithambaram Pillay berkata mereka sudah menghantar surat kepada Jabatan Warisan Negara untuk mendapatkan penjelasan jika benar nama makanan itu diwartakan sebagai makanan warisan negara.
“Jangan kerana seorang dua memberi nama, ia terus melekat pada makanan dan komuniti kami,” katanya ketika dihubungi FMT Ohsem.
Sementara itu, Pengarah Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara Khalid Syed Ali ketika dihubungi berkata nama makanan “haram jadah” belum didaftarkan sebagai makanan warisan.
“Mana-mana makanan etnik yang menjadi identiti komuniti akan dikaji sebelum dijadikan makanan warisan dan itu tugas kami. Berkenaan nama ‘Haram Jadah’, kami memperoleh nama itu selepas melakukan pelbagai kajian dan temu ramah dalam kalangan komuniti itu sendiri.
“Kami tiada niat untuk menghina, sebaliknya ini nama yang kami peroleh daripada mereka (Chetthi Melaka) sendiri.
“Sama juga dengan nama makanan Siam seperti sambal neraka, nama kuih Melayu, tahi itik, jadi tiada apa yang dihina atau disengajakan,” kata Khalid.
chetti-3
Gambar Ihsan: Facebook Chetti Melaka
Katanya, sebelum sesuatu nama makanan diambil untuk digunakan secara rasmi pihaknya akan membuat kajian menyeluruh termasuk daripada aspek sejarah, temu ramah komuniti terbabit, chef dan penyelidikan kulinari.
“Merujuk kepada sejarah Nusantara Melaka zaman dulu, sememangnya penggunaan perkataan kasar satu rutin. Ia menunjukkan keakraban masyarakat tersebut.
“Memandangkan komuniti Chetti Melaka mempunyai pengaruh masyarakat Melayu Melaka yang kuat dan perkataan seperti ini menjadi milik mereka untuk pertuturan harian.
“Apabila nama itu digunakan ke atas makanan, usah diterjemah secara literal,” katanya.
Bagaimanapun, beliau juga bersedia menerima aduan mengubah semula nama “haram jadah” jika ia benar-benar tidak wujud atau memesongkan.
Tinjauan FMT Ohsem dalam carian di Internet pula mengesahkan kewujudan lauk “haram jadah” yang banyak dikongsi dalam penulisan artikel mengenai komuniti Chetti Melaka dan makanan Melaka. Ia turut dikongsi secara meluas sebagai makanan identiti komuniti ini termasuk pelbagai resipi berkaitannya. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.