`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, May 10, 2017

Karikatur dan sindiran: Siapa makan cili…



Sindiran dapatlah dilihat sebagai sebuah ketegasan terhadap kesumbangan yang dilakukan oleh individu atau masyarakat tetapi disampaikan dengan cara yang berhemah dan berlapik, tulis Razan Rose.
Apa itu karikatur? Dalam keluaran awal akhbar Utusan Zaman bertarikh 5 November 1939 [lihat karikatur di atas] dengan ringkas menyebut:
Adapun perkataan karikatur itu ialah rekaan baharu diambil daripada perkataan caricature atau cartoon, ertinya ialah gambar rekaan yang terbit daripada fikiran ataupun yang terbit kerana bersenda-senda. Contohnya, lihatlah gambar yang diterangkan di atas dan bahawasanya itulah dia yang dinamakan “karikatur”. Disini, diharapkan orang ramai mendapat sepatah lagi perkataan yang berguna bagi suratan kita menurut aliran zaman.
Penerangan pendek terma “karikatur” ini dilampirkan bersama huraian gambar yang mengkritik apa yang dianggap sifat leka dan malas orang Melayu sehinggakan segala hasil buminya (yang digambarkan melalui imej lembu dan susu) habis dilarikan bangsa asing.
Sudah tentu, kritik yang dilontarkan lewat gambar ini harus dibaca dalam konteks zamannya, sekitar lewat 1930-an. Namun, bukan wacana itu yang hendak kita lihat melainkan perihal karikatur itu sendiri.
Kalau direnungkan ayat terakhir petikan di atas, dapatlah kita tafsirkan bahawa pencetakan karikatur dalam tradisi persuratkhabaran (dalam hal ini, persuratkhabaran Melayu) sudah bermula, setidak-tidaknya, sejak penghujung 1920-an lagi.
Pada waktu itu, akhbar-akhbar Melayu mula mengguna pakai desain dan format yang mengutamakan penggunaan ilustrasi — sejajar dengan perkembangan trend persuratkhabaran di Malaya.
Akhbar-akhbar Melayu yang berpengaruh seperti Warta Malaya dan Utusan Melayu mula menerbitkan terbitan berkala mingguan khusus untuk bacaan santai seperti Warta Jenaka dan Utusan Zaman.
Berbalik kepada karikatur. Selalunya, karikatur yang diterbitkan dalam akhbar-akhbar Melayu sebelum Merdeka berbentuk single frame dengan komposisi yang padat berbanding bentuk comic strip yang sudah menjadi kebiasaan dalam akhbar-akhbar British atau Amerika.
Berbeza dengan lukisan yang terbuka kepada bermacam tafsiran, karikatur lebih bersifat terarah dan boleh dikatakan mempunyai pesan yang jelas serta segera dapat ditangkap oleh khalayaknya.
Kebiasaannya, karikatur pada waktu itu dipersembahkan dalam bentuk alegori iaitu melalui perlambangan-perlambangan yang menggunakan ilustrasi haiwan atau tumbuhan sebagai wataknya. Kebanyakan alegori ini pula sering disandarkan kepada satu-satu peribahasa, bidalan, atau perumpamaan Melayu yang intim dengan khalayak tujuannya.
Padat, tepat, dan pedas. Tidaklah berlebihan untuk dikatakan yang karikatur hadir sebagai bentuk konkrit bagi tradisi kesusasteraan lisan Melayu. Dalam satu bentuk, ia dijelmakan sebagai pesan lewat perumpamaan yang secara tepat menangkap sesebuah isu yang cuba diangkat.
“Bagai kacang lupakan kulit”- Kritikan atas orang Melayu yang lupa asal-usulnya selepas menjadi “moden” – Warta Jenaka, 23 November 1936)
Kritikan atas kerajaan negeri Melayu yang mengikut telunjuk kolonial sehingga mengabaikan orang Melayu – Warta Jenaka, 20 Januari 1938
Dalam satu bentuk yang lain, karikatur—sesuai dengan tujuannya selaku jenaka—hadir sebagai seorang ‘tukang karut’ yang ringan menyindir khalayaknya. Watak tukang karut ini biasanya disandarkan kepada watak-watak dongengan seperti Pak Kaduk, Pak Pandir, dan Si Luncai yang terdapat dalam cerita-cerita jenaka Melayu.
Antara tukang karut yang terkenal pada waktu itu ialah Wak Ketok dalam Utusan Zaman. Berbeza dengan dua karikatur di atas, Wak Ketok digerakkan oleh dua orang. Sketsanya diilustrasikan oleh Ali Sanat manakala bebelannya disuarakan oleh Abdul Rahim Kajai.
Wak Ketok ini watak yang keras dan sinis. Kadang-kadang bersyair, kadang-kadang berpantun, dan selalunya tidak pernah lekang dengan sindiran.


Wak Ketok menyindir Arab-Melayu talam dua muka – Utusan Zaman, 20 Julai 1940
Wak Ketok mengutuk Hitler – Utusan Zaman, 10 Disember 1939

Unsur penting (dan tentunya, sumber jenaka) bagi sesebuah karikatur ialah sindiran. Karikatur yang berkesan memerlukan kecerdasan dalam mempertimbangkan latar isu, unsur jenaka, dan sindiran yang tepat serta tidak keterlaluan untuk menarik perhatian khalayaknya.
Sindiran bukanlah semata-mata perbuatan mencela, tetapi harus disisipkan dengan nasihat, saranan, dan anjuran untuk berubah ke arah kebaikan. Tidaklah tepat untuk menganggap sindiran sebagai suatu bentuk keangkuhan.
Lebih tepat, sindiran dapatlah dilihat sebagai sebuah ketegasan terhadap kesumbangan yang dilakukan oleh individu atau masyarakat tetapi disampaikan dengan cara yang berhemah dan berlapik.
Semakin halus sesebuah sindiran, semakin tajam kecerdasan penyampainya. Hal ini kerana sindiran sifatnya sentiasa diam-diam melanggar benteng-benteng tatasusila masyarakat tetapi tidak pernah melampauinya dengan jelas.
Kalau dilihat budaya karikatur di Malaysia sekarang, biarpun wahananya semakin berubah—daripada kertas kepada elektronik — cara penyampaiannya masih tidak berubah, iaitu dilapik dengan jenaka-jenaka menyindir yang menghiburkan.

Agak menghairankan bila ada yang panas punggung sampai berdemonstrasi bila dipandirkan dalam sebuah drama kera yang dengan cemerlang menangkap kesumbangannya. Kata orang tua-tua, siapa makan cili dialah yang terasa pedasnya. -Aliran

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.