`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, May 17, 2017

RAFIZI: UMNO, BN TERIMA RM10.2 JUTA DUIT SRC DARI NAJIB

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini mendakwa Umno, termasuk ibupejabat dan beberapa bahagian, serta parti-parti komponen BN, menerima sejumlah RM10.02 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Rafizi mendakwa wang yang disalurkan oleh Najib itu adalah dana daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Dakwaannya itu dibuat berdasarkan dokumen siasatan yang bocor yang kemudiannya dimuat naik di sprminsider.blogspot.com, tetapi disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
SRC International kemudian diambil alih oleh kementerian kewangan yang diterajui oleh Najib, pada tahun 2012.
Rafizi, dalam satu kenyataan hari ini, mendakwa transaksi berlaku di antara 22 Julai 2014 dan 3 Mac 2015.
Beliau menyenaraikan wang yang didakwanya disalurkan daripada akaun peribadi perdana menteri seperti berikut:
22 Julai 2014 – RM170,000 kepada BN Bandar Tun Razak
22 Julai 2014 – RM1.5 juta kepada ibu pejabat Umno
24 Jul 2014 – RM1 juta kepada Umno Pulau Pinang
26 Ogos 2014 – RM5 juta kepada ibu pejabat Umno
Feb 17, 2015 – RM1 juta kepada Upko
17 Feb, 2015 – RM50,000 kepada Ketua Umno Padang Serai, Asmadi Talib
Feb 26, 2015 – RM1 juta kepada Umno Pulau Pinang
3 Mac 2015 – RM300,000 kepada Umno Johor Bahru
“Saya dengan ini mendesak supaya semua yang dinamakan di atas memberi maklumbalas mengenai dokumen ini dan membersihkan nama mereka.
“Saya juga menggesa supaya mereka memulangkan kembali wang ini kepada SRC, terutamanya Upko yang berisiko tinggi berkemungkinan besar menerima wang Tabung Haji untuk perbelanjaannya; jika mereka tidak dapat membuktikan mereka tidak menerima wang ini seperti yang didedahkan dokumen,” katanya.
Pada 3 Mei lalu, Rafizi membuat dakwaan sama berdasarkan blog sama, dengan mendakwa pelbagai organisasi berkaitan media, syarikat dan individu termasuk seorang pembantu kepada perdana menteri, menerima dana SRC daripada Najib.
Antara lebih daripada 30 penerima yang dinyatakan di dalam dokumen berkenaan, termasuk kedai barangan kemas De Grisogono di Arzachena, Itali, yang kononnya menerima 10 bayaran berasingan yang berjumlah 763.500 Euro (RM3,595,916.53 berdasarkan kadar pertukaran semasa) pada tahun 2014.
Ketika dihubungi kemudian, pemimpin Padang Serai, Asmadi menafikan dakwaan terbaru Rafizi itu.
Naib Presiden Upko Datuk Marcus Mojigoh juga menafikan menerima wang daripada perdana menteri, tetapi berkata adalah “normal” untuk parti menerima dana.
Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan ulasan daripada mereka yang lain yang dinamakan itu.
Najib dipercayai menerima sehingga RM74 juta daripada dana SRC International pada tahun 2014.
Sebahagian daripada wang berkenaan yang berjumlah RM32 juta, diperincikan menerusi dokumen yang dipegang oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali apabila beliau membersihkan Najib daripada sebarang salah laku pada Januari tahun lalu.
Mohamed Apandi berkata Najib tidak tahu bahawa dana daripada SRC International telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya dan berpendapat wang itu sebahagian daripada deposit berbilion ringgit yang didakwa beliau adalah sumbangan daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi.
Najib juga menafikan menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.
Semalam, Mohamed Apandi enggan mengulas mengenai kesahihan kertas siasatan yang didakwa bocor berkenaan.
Beliau berkata SPRM akan mengemukakan siasatan SRC kepada Jabatan Peguam Negara dalam tempoh sebulan.
– M’kini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.