`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, June 8, 2017

PM Najib lancar 3 dokumen besar pembangunan Malaysia

Dokumen itu ialah Rancangan Fizikal Negara Ketiga (RFN Ke-3), Dasar Perbandaran Negara Kedua (DPN2) dan Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara (DPF Desa Negara).
najibrpn_1

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan 3 dokumen besar negara di bawah Rancangan Pemajuan Nasional (RPN) untuk menentukan hala tuju pembangunan negara yang lebih dinamik, seimbang dan daya tahan dalam menangani cabaran pembangunan masa depan.
Dokumen tersebut ialah Rancangan Fizikal Negara Ketiga (RFN Ke-3), Dasar Perbandaran Negara Kedua (DPN2) dan Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara (DPF Desa Negara).
Najib berkata ketiga-tiga dokumen untuk Rancangan Pemajuan Negara sangat mustahak sebagai rujukan utama oleh pelbagai agensi dalam merangka program pembangunan fizikal negara yang efisien dan mampan.
Beliau berkata penyediaan RPN itu adalah selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-11 untuk memastikan pembangunan berlaku dengan seimbang dan saksama di setiap ceruk rantau, tidak kira kampung, desa, mahupun bandar di seluruh negara.
“Saya percaya dokumen perancangan yang dirangka ini sememangnya berpaksi kepada manifestasi dan mengambil kira pandangan, kemahuan, aspirasi dan keperluan setiap lapisan masyarakat negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ketiga-tiga dokumen tersebut hari ini.
Hadir sama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan timbalannya Datuk Halimah Mohd Sadique.
Najib berkata RFN yang disediakan pada 2015 merupakan dokumen perancangan tertinggi dalam rangka kerja perancangan pembangunan fizikal negara yang menterjemah dasar strategik dan sektoral negara ke dalam dimensi spatial serta fizikal.
“RFN ini menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di peringkat antarabangsa yang mempunyai rangka perancangan dan pembangunan spatial di peringkat negara,” katanya.
Bagi DPN pula ia adalah dasar yang melibatkan perancangan yang disediakan pada 2016 dengan tempoh perancangan sehingga 2025, katanya.
“DFN adalah dasar yang memandu dan menyelaras perancangan pembangunan serta pentadbiran perbandaran agar menjadi lebih efisien dan sistematik dengan penekanan terhadap keseimbangan pembangunan sosial, ekonomi serta fizikal,” katanya.
Bagi dokumen ke-3 iaitu DPF Desa Negara, Najib berkata ia merupakan dasar pembangunan desa yang pertama di Malaysia berbentuk spatial yang bertujuan mewujudkan perancangan holistik bagi pembangunan desa dan melengkapkan DPN.
Najib berkata menjelang 2020, kadar urbanisasi Malaysia dijangka mencecah 77% dan terus meningkat kepada 85% pada 2040 yang akan memperlihatkan peningkatan bilangan penduduk di kawasan bandar.
“Pastinya ia akan menimbulkan tekanan terhadap kapasiti infrastruktur fasiliti dan utiliti, kemudahan masyarakat, aspek perumahan, perkhidmatan serta keperluan kepada makanan,” katanya.
Beliau berkata kadar penduduk Malaysia yang tinggal di kawasan desa dijangka menurun kepada 23% menjelang 2020 dan hanya tinggal 15% sahaja menjelang 2040.
“Ini memerlukan pengukuhan dan lonjakan dari segi kemampuan daya saing ekonomi kawasan desa, khususnya bagi menarik pelaburan bernilai tinggi dan mewujudkan rantaian nilai aktiviti ekonomi seimbang antara bandar serta desa,” katanya sambil menambah hal demikian akan ditangani dalam penyediaan dokumen Rancangan Pemajuan Nasional itu.
Pada sudut lain, Najib berkata Malaysia yang bakal menjadi negara ke-2 menjelang 2040 nanti dengan hampir 20% penduduknya berada dalam lingkungan umur 60 tahun ke atas berbanding hanya 9.24% pada 2015 perlu menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang mesra warga emas.
“Saya dimaklumkan RPN juga mengambil kira keperluan penyediaan kemudahan perkhidmatan lengkap, bersepadu dan mesra warga emas di samping membina perumahan berkonsepkan ‘pelbagai generasi’ agar golongan ini dapat tinggal berdekatan serta bersama dengan anak-anak mereka,” katanya.
Perdana menteri berkata menjelang 2050, kerajaan berusaha gigih untuk mencapai 3 sasaran iaitu pertumbuhan ekonomi yang kukuh, seimbang dan mampan serta berdaya tahan; menjadikan Malaysia negara yang watan yang berdaya huni dengan kadar urbanisasi tidak melebihi 85% serta negara yang rendah karbon. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.