`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, July 11, 2017

Dr Mahathir di London dan persoalan PM

Selepas Dr Mahathir dilaporkan setuju mengangkat Anwar Ibrahim sebagai PM, ia seolah-olah menyelesaikan masalah mengenai calon PM Pakatan Harapan.
KOMEN
Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil gambar jambangan bunga di luar Grenfell Tower, London, yang musnah terbakar bulan lalu. (Gambar Facebook Kelab Che Det)
Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil gambar jambangan bunga di luar Grenfell Tower, London, yang musnah terbakar bulan lalu. (Gambar Facebook Kelab Che Det)
Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut hari jadi ke-92 dalam kesihatan yang baik dan masih aktif berpolitik dengan pemikirannya jelas dan hujah yang bernas.

Jawatan politik beliau kini ialah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan aktif berkempen bersama parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) untuk berdepan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 akan datang.
Antara kecergasan beliau yang terserlah ialah lawatan ke luar negara memenuhi undangan bagi menyampaikan ucapan. Kalau orang berusia lebih muda, aktiviti itu dipanggil kegiatan.
Tetapi bagi tokoh yang sudah “nonagerian” atau berusia 90-an, ia patut disebut sebagai kecergasan.
Tidak lama dahulu melalui media sosial, para pemerhati dapat melihat beliau menyampaikan syarahan di Tokyo, Jepun. Pandangan beliau mengenai keadaan dunia masih dipinta dan diminta. Dr Mahathir dapat membincangkan isu semasa dan harapan masa depan. Beliau tidaklah terperangkap dengan masa lalu.
Beberapa hari selepas Hari Raya Aidilfitri, terjelma gambar Dr Mahathir melawat Grenfell Tower, rumah pangsa London yang terbakar dan mengorbankan 80 nyawa tidak lama dulu. Kelihatan beliau berdiri menghadap bangunan itu dengan beberapa jambangan bunga penghormatan di depannya.
Persoalan kepada mereka yang melihat gambar itu ialah, apakah yang dilakukan oleh pengerusi PPBM di Britain itu? Mungkinkah beliau ke sana untuk satu cuti Hari Raya seperti mana sering yang dilakukan oleh orang kenamaan dan hartawan negara ini?
Selang beberapa hari kemudian, keluar pula gambar beliau memberi syarahan di Oxford Centre for Islamic Studies di Universiti Oxford. Maka dikaitkan betapa kehadiran bekas perdana menteri di Britain adalah untuk memenuhi undangan pusat itu bagi menyampaikan syarahan.
Pada usia 92 tahun, kegiatan beliau dalam acara ilmiah mengkagumkan banyak rakyat Malaysia. Dalam usia sebegitu emas, beliau bukan saja bertenaga untuk terbang dari Kuala Lumpur ke London tetapi juga masih mempunyai pemikiran jelas mengenai perkembangan semasa, baik dalam negeri, antarabangsa ataupun masalah ummah.
Tempat pemimpin Malaysia bersyarah
Saya pernah membuat liputan pada satu syarahan Dr Mahathir di Universiti Oxford lama dulu pada 1985. Ketika itu beliau berusia 60 tahun, belum lagi memberi kesan kepada dunia Islam hingga begitu dihormati seperti mana pada tahun 1990-an. Oxford Centre for Islamic Studies ditubuhkan pada tahun itu.
Pada 1993, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memegang jawatan timbalan perdana menteri turut menyampaikan syarahannya di Universiti Oxford.
Setelah Dr Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menggantikan beliau pada 2003. Setahun kemudian, BN di bawah pimpinannya menang besar. PKR kalah teruk dan hanya mampu mempertahankan kerusi Permatang Pauh di Dewan Rakyat. Itupun dengan undi yang sedikit. Beliau juga pernah menyampaikan syarahan di pusat Oxford itu.
Tidak lama selepas itu, Anwar bebas daripada penjara. Pada awalnya beliau banyak menghabiskan masa di luar negara. Antara destinasinya ialah Amerika Syarikat, Qatar, Jerman dan Britain. Beliau turut pernah mengajar di Universiti Oxford.
Menjelang pilihan raya 2008, Anwar pulang dan memimpin kerjasama pembangkang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP. Mereka dapat menang 5 negeri dan menafikan majoriti dua pertiga BN. Abdullah mengalami tekanan khususnya daripada Dr Mahathir. Beliau melepaskan jawatan dan Datuk Seri Najib Razak menggantikan beliau.
Pada 2011, saya membuat liputan lawatan Najib ke Britain, di mana beliau menyampaikan syarahannya mengenai umat Islam di Universiti Oxford. Pada lawatan yang sama, beliau turut melawat bangunan pusat Islam Oxford itu yang sedang dibina. Beberapa negara Islam termasuk Malaysia turut memberi sumbangan dalam pembinaan bangunan pusat Islam itu.
Isu calon PM selesai?
Tetapi kehadiran Dr Mahathir di pusat yang kini sudah siap itu adalah lebih daripada acara penyampaian syarahan. Dunia hanya mengetahuinya bila beliau diwawancara oleh sebuah akhbar arus perdana Britain, iaitu The Guardian.
Dalam wawancara itu beliau menyatakan kerajaan baharu selepas pilihan raya akan datang patut berusaha mendapatkan pengampunan diraja bagi membolehkan Anwar dibebaskan, menyertai politik, bertanding pilihan raya dan menjadi perdana menteri.
Beliau berada di Britain bukan sekadar melawat Grenfell Tower dan menyampaikan syarahan di Oxford. Pokok kehadirannya di Britain adalah berbincang dengan naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Dalam wawancara itu, beliau dibayangkan tidak membantah jika Anwar menjadi perdana menteri sekiranya PH menang pilihan raya umum ke-14. Malah laporan The Guardian turut membayangkan Dr Mahathir membuat pembelaan terhadap Anwar.
Maknanya isu siapakah yang menjadi perdana menteri sekiranya PH menang sudah selesai. Tidak ada pertembungan antara PKR dan PPBM. Anwar yang akan menjadi perdana menteri.
Dalam hal ini, tiada masalah bagi DAP dan Amanah. PH sudah bersatu. Pada peringkat ini pula, usaha yang perlu dilakukan oleh PH ialah memenangi pilihan raya umum.
Namun rasa gembira di kalangan penyokong pembangkang dalam perkembangan ini hanya seketika apabila Sabtu lalu, laporan media memetik Dr Mahathir menafikan beliau menyokong Anwar sebagai perdana menteri.
Katanya, Anwar masih dalam penjara dan tentunya tidak boleh bertanding dalam pilihan raya. Untuk menjadikan Anwar sebagai perdana menteri, mesti ada perdana menteri sementara apabila PH menang.
Jadi mana yang betul? Mungkinkah penyokong Anwar di Britain menjadikan The Guardian membuat laporan sebegitu? Atau akhbar arus perdana Malaysia berusaha mencari berita supaya laporan The Guardian itu dapat disanggah?
Orang ramai tidak akan ketahui mekanisme dan kegiatan di balik tabir dalam percaturan politik negara ini. Dalam laporan The Star misalnya, buku apa yang dilancarkan oleh Dr Mahathir pun tidak disebut.
Namun jika diteliti, kedua-dua laporan itu tidak bercanggah. Sememangnya Dr Mahathir tidak menyokong Anwar sebagai perdana menteri. Beliau hanya tidak membantah. Anwar tidak boleh jadi perdana menteri kerana beliau dalam penjara, itu fakta jelas, dan usaha untuk membebaskannya pun bukan mudah. Untuk menang pilihan raya pun sukar.
Masih banyak cabaran
Tetapi bagaimanakah jalan untuk mencapai matlamat itu? Siapakah yang akan menjadi perdana menteri sementara usaha dilakukan supaya Anwar dibebaskan?
Tanggungjawab itu terletak pada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Itulah jalan yang akan dilalui oleh Malaysia sekiranya PH menang. Beliau akan menjadi perdana menteri sementara bagi pihak Anwar. Setelah Anwar bebas dan proses membenarkan beliau menyertai politik terus dimulakan hinggalah beliau menjadi pilihan raya.
Bagi DAP dan Amanah, perkara ini tidak menjadi masalah kerana dari awal lagi penubuhannya, mereka mahu Anwar menjadi perdana menteri. Yang masalah adalah pada Dr Mahathir dan PPBM.
Setakat ini, kenyataan itu hanya dikeluarkan oleh Dr Mahathir. Rundingan yang dibuat di London itu antara pengerusi PPBM dan Nurul Izzah. Secara rasmi ia belum dibincangkan oleh Majlis Kepimpinan atau Dewan Presiden PH yang terdiri daripada Wan Azizah, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perjalanan PH masih penuh cabaran. Lebih-lebih lagi PAS enggan bekerjasama dengan PH dan DAP sendiri menghadapi masalah dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS). -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.