`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, July 12, 2017

Gaji bulanan pekerja di Malaysia naik kurang RM17



KERAP kali kita mendengar rintihan pekerja di negara ini mengenai kenaikan gaji yang rendah, dan bagaikan jatuh ditimpa tangga, kos sara hidup pula makin meningkat. Namun, pada masa yang sama, kita diberitahu bahawa negara makin bertambah kaya. Pada bulan lepas, Idris Jala berkata bahawa negara makin menghampiri status negara berpendapatan tinggi. Yang mana betul dan yang mana silap? 

Menurut laporan terbaru Gaji dan Upah 2016 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, gaji penengah pekerja di Malaysia naik sebanyak 6.2% tahun lepas berbanding tahun sebelumnya. Ini pertumbuhan yang baik, tetapi, mengapa pekerja Malaysia masih mengeluh? 

Keluhan mereka bukan tidak bertempat. Menurut laporan yang sama, gaji penengah pekerja Malaysia (tidak termasuk pekerja asing) hanya meningkat tiga peratus sahaja pada tahun lepas. Ini bermakna, pertumbuhan gaji warga asing mengatasi pekerja warga tempatan.

Malahan, jika ditolak kadar inflasi, peningkatan gaji penengah pekerja warganegara Malaysia tidak sampai pun satu peratus. Dalam erti kata lain, ini bersamaan dengan peningkatan gaji bulanan lebih kurang RM17 sahaja! 

Benarlah keluhan mereka yang acapkali kita baca di media sosial tentang gaji tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos sara hidup yang begitu membebankan. Mengapa peningkatan gaji begitu kecil sekali? Jawapannya mudah, kebanyakkan pekerja di Malaysia masih bergaji bulanan yang rendah, gaji penengah bulanan pekerja warganegara Malaysia tahun lepas hanyalah RM2,000 sebulan! Ya, negara mungkin menghampiri tanda ukur negara kaya, tetapi ini tidak semestinya bermakna pekerja juga kaya. Nah, jika gaji tidak pun sampai RM2000 sebulan, dan jika peningkatan hanyalah satu peratus, sudah tentu kenaikan gaji tidak pun sampai RM20. 

Jika dibandingkan gaji mengikut kaum, rata-rata kita semua bergaji rendah. Walaupun gaji penengah bulanan kaum Cina mengatasi kaum yang lain, ianya juga masih rendah, hanya RM2,350. Ini bermakna separuh dari pekerja kaum Cina di negara kita mendapat gaji kurang dari angka ini. Ini tidak berapa banyak berbeza dengan kaum Bumiputera (RM1,931) mahupun kaum India (RM1,790). Malah, majoriti pekerja di setiap negeri di Malaysia mendapat gaji yang rendah, termasuk di negeri yang maju seperti KL, Johor, dan Pulau Pinang. Walaupun Kuala Lumpur boleh dikategorikan sebagai negeri yang sudah mencapai status negara maju yang hampir setaraf dengan negara Korea Selatan, jika diukur mengikut skala Bank Dunia, separuh daripada pekerja di Kuala Lumpur hanya mendapat gaji tidak sampai pun RM3000 sebulan. 

Kekayaan negara tidak mengalir ke dompet pekerja yang masih membawa pulang gaji yang rendah setiap akhir bulan. Hanya di Putrajaya sahaja gaji penengah melepasi tahap RM3000 sebulan. Soalnya, mengapa gaji para pekerja dibayar rendah? 

Adakah adil kalau kita mengatakan bahawa para pekerja kita ini malas atau tidak produktif. Sudah tentu tidak. Masakan boleh bergerak segala mesin dan jentera serta tertulisnya segala laporan yang diperlukan majikan tanpa adanya pekerja yang mengendali dan menyiapkan tugasan. Pekerja kita bukannya tidak produktif. 

Data terbaru dari Perbadanan Produktiviti Negara menunjukkan bahawa produktiviti tenaga buruh naik tahun lepas , pada kadar 3.5%, lebih tinggi dari tahun sebelumnya iaitu 3.3% pada tahun 2015 (kita tidak ada maklumat mengenai produktiviti pekerja tempatan berbanding pekerja asing). -wargamarhaen.blog

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.