`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, July 10, 2017

Ibu Thaqif tolak hasil bedah siasat

Ibu Thaqif kecewa dengan Kementerian Kesihatan yang didakwa tidak memaklumkan secara terus hasil bedah siasat Thaqif kepadanya.
Felda-Wani-thaqif

PETALING JAYA: Ibu kepada pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi menolak laporan bedah siasat diumumkan hari ini yang merumuskan anaknya meninggal dunia akibat jangkitan leptospirosis atau kencing tikus.
Ibu Thaqif, Felda Wani Ahmad yang kecewa dengan keputusan bedah siasat itu, mempersoalkan pihak hospital kenapa perlu memotong kaki anaknya jika betul Thaqif dijangkiti kencing tikus yang boleh dikesan dengan awal.
“Secara logik, kalau kencing tikus, kenapa nak potong kaki? Saya nak tanya kenapa nak potong kaki anak saya kalau kencing tikus. Kencing tikus mesti kesan awal. Paling lewat 1 atau 2 minggu, macam kes di Kelantan baru-baru ini.
“Saya ni cikgu, tidak payah manipulasi yang bukan-bukan. Saya memang terkilan. Daripada arwah (Thaqif) masuk hospital, doktor kata tak tahu kuman apa. Ini tiba-tiba beritahu kencing tikus, tak masuk akal. Saya tidak boleh terima,” katanya kepada FMT.
Thaqif dimasukkan ke unit rawatan rapi di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada 19 April lalu selepas pembantu warden asrama Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Kampung Lukut, Kota Tinggi didakwa memukulnya dengan paip getah.
Kedua-dua kaki pelajar berusia 11 tahun itu dipotong selepas mengalami pembekuan darah, sementara tangan kirinya dijadualkan dipotong sebelum kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir.
Kubur pelajar itu digali semula pada 18 Mei lalu sambil disaksikan ahli keluarga, polis dan perwakilan mahkamah, bagi membolehkan sampel kaki Thaqif diambil untuk tujuan siasatan.
Hari ini, laporan bedah siasat merumuskan leptospirosis atau kencing tikus, bukannya trauma akibat pukulan sebagai punca Thaqif mendapat jangkitan pada kulit dan darah sebelum meninggal dunia pada 26 April lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu diperolehi berdasarkan bedah siasat pada hari sama pelajar itu meninggal dunia April lalu menggunakan sampel tisu dan darah yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan dan Jabatan Kimia.
Mengulas lanjut, Felda Wani turut kecewa dengan Kementerian Kesihatan yang didakwa tidak memaklumkan secara terus hasil bedah siasat Thaqif kepadanya.
“Saya terkilan sangat, kita keluarga tidak tahu. Kami hanya dapat tahu daripada wartawan hari ini mengenai apa yang ketua pengarah kesihatan beritahu.
“Kalau nak beritahu wartawan tak ada masalah, tetapi terkilan tak beritahu kami. Masa nak potong kaki, tangan, tentang perubatan pandai pula telefon keluarga.
“Kenapa nak umum hasil keputusan itu tanpa beritahu kami. Sekurang-kurangnya telefon. Saya terkilan dan terperanjat,” katanya yang sudah menghubungi peguam untuk mendapatkan laporan penuh hasil bedah siasat Thaqif.
“Sekarang dah rujuk peguam dan peguam akan buat surat minta laporan perubatan penuh. Nak tahu dari awal sebelum potong kaki,” katanya.
Pengetua Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Mohammad Afdhaluddin Ismail memberitahu FMT, pihaknya “tidak dapat menjawab” laporan Kementerian Kesihatan hari ini yang mendapati kematian Thaqif berpunca daripada jangkitan kencing tikus kerana beliau dimasukkan ke hospital 21 hari selepas berhenti sekolah.
Afdhaluddin berkata, beliau tidak pasti bila Thaqif dijangkiti, dan boleh jadi “hari ini kena, 2 hari kemudian dia bermasalah dan pergi hospital”.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Thaqif dijangkiti dari kawasan madrasah. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.