`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, July 15, 2017

NAJIB MUNGKIN KESAL TIDAK ADAKAN PILIHANRAYA LEBIH AWAL

Semua orang kini ghairah bercakap mengenai Pakatan Harapan sebaik saja struktur kepimpinan dan logo barunya dimuktamadkan secara rasmi semalam.
Selain munculnya semula gandingan Tun Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim bersama barisan kepimpinan Pakatan Harapan yang mantap dan menyeluruh sambil menggariskan enam matlamat yang ingin didokong serta tujuh sasaran selepas 100 hari menubuhkan kerajaan, segala-galanya kini bagai munculnya sebuah harapan baru bagi rakyat untuk berteduh dan bernaung.
Dalam masa yang sama, isu perpecahan dan berbalah sesama sendiri dalam Pakatan Harapan yang sebelum ini digembar-gemburkan akan memberi kelebihan kepada UMNO dan BN untuk mengekalkan kuasa, dengan sendirinya tidak lagi berbangkit. Gabungan itu kini automatik jadi solid, mantap, menarik dan dipercayai.
Semua jalur kepimpinan dan lapisan lain dalam semua parti Pakatan Harapan nampaknya sepakat untuk lebih mengutamakan perjuangan menyingkirkan Najib Razak dan kerajaan kleptokrasi yang sedang dipimpinnya.
Dalam sekelip mata, bersama gandingan Tun Mahathir – Anwar, struktur kepimpinan yang mantap, logo yang menarik, enam matlamat yang menjadi dokongan dan tujuh sasaran dalam tempoh 100 hari, Pakatan Harapan lebih diyakini untuk membentuk sebuah kerajaan baru bagi menggantikan UMNO dan BN.
Di mana-mana, orang bukan lagi sekadar bercakap mengenai kerajaan baru yang jelas pro rakyat akan terbentuk selepas pilihanraya akan datang, bahkan sudah ada yang meneka-neka apa jadi kepada Najib setelah beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri nanti.
Siapa tidak mahu sifar GST? Siapa tidak mahu harga petrol yang stabil? Siapa tidak mahu kos sara hidup diturunkan? Siapa tidak mahu reformasi institusi yang selama ini banyak rosak dan binasa? Siapa tidak mahu rasuah diperangi, bukan saja di akar umbi tetapi juga di peringkat tertinggi? Siapa tidak mahu Suruhanjaya Diraja 1MDB? Siapa tidak mahu Felda dipulihkan?
Dengan Pakatan Harapan yang terbentuk sekarang ini, ruang untuk mereka menjelalah dan berkempen ke seluruh negara jelas terbuka dengan lebih luas. Pakatan Harapan bukan saja boleh meyakinkan rakyat bahawa mereka akan menunaikan semua enam matlamat dan tujuh sasaran yang digariskan itu, bahkan akan membangkitkan lebih kesedaran dan keghairahan pelbagai kaum menuju perubahan.
Di ketika keghairahan rakyat membuak-buak ini, jika Pakatan Harapan dapat segera mengatur program jelajah, ceramah atau bertemu rakyat ke seluruh negara, pasti dengan mudah puluhan ribu akan menghadirinya.
Kalau momentumnya dapat dikekalkan sehingga tarikh pilihanraya diadakan, pastilah juga suatu tsunami rakyat benar-benar akan terjadi yang akhirnya mampu merempuh dan menenggelamkan Najib, UMNO serta BN.
Aura dan pengaruh Tun Mahathir tidak dinafikan adalah suatu kelebihan bagi Pakatan Harapan dan ia terlalu sukar untuk ditandingi oleh pemimpin-pemimpin UMNO sedia ada. Bersatunya kembali beliau dengan Anwar, bagi mereka yang mahu berfikir, adalah bukti nyata bahawa kepimpinan Najib untuk negara jauh lebih teruk berbanding perseteruan 18 tahun antara kedua-duanya selama ini.
Menghitung hari-hari ke depan, Najib barangkali semakin sukar menafikan masa depannya kian kabur dan kelam dengan perkembangan Pakatan Harapan ini. Semakin sukar untuk rakyat mahu mengekalkan UMNO dan BN sebagai kerajaan di ketika mereka dihimpit kiri dan kanan dengan pelbagai kesusahan dan tekanan dalam meneruskan kehidupan, di samping imej beliau pula terus menjadi bualan buruk yang menyesakkan dada.
Menoleh ke belakang pula, satu-satunya perkara yang mungkin dikesali Najib ketika ini ialah tidak mengadakan pilihanraya lebih awal lagi.
Jika beliau membubarkan Parlimen lima atau enam bulan sebelum ini atau tidak lama selepas Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu, di mana ketika itu Bersatu belum ditubuhkan, Pakatan Harapan masih bercelaru, logo tidak menentu, Tun Mahathir belum sempat berbaik dengan Anwar dan sesama pimpinan mereka juga kerap bertelagah sesama sendiri, tidak mustahil peluang UMNO dan BN mengekalkan kuasa jauh lebih baik lagi.
Beliau mungkin menjangkakan lagi masa dilewatkan, lagi banyak masalah akan timbul dalam Pakatan Harapan, di samping mengharapkan penilaian rakyat terhadap kepimpinannya bertambah baik.
Tetapi, tempoh masa lima enam bulan yang berlalu telah memberi ruang kepada Pakatan Harapan menyelesaikan banyak perkara sambil memantapkan kedudukannya sementara kedudukan Najib, UMNO dan BN terus juga merudum disebabkan terlalu sarat dengan isu dan dosa-dosa yang tak terkira yang tidak mudah diabaikan begitu saja.
Benarlah kata pepatah, sesal kemudian sudah tidak berguna lagi. Segala-galanya kini sudah terlambat bagi Najib untuk menjadikan peluangnya kekal berkuasa jadi bertambah baik.
http://shahbudindotcom.blogspot.my

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.