`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Thursday, October 14, 2021

PAS tak kacau kerusi Umno, Bersatu pada PRN Melaka, kata Tuan Ibrahim

 

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS akan menyokong mana-mana calon, sama ada Umno mahupun Bersatu berdasarkan penyandang di kerusi berkenaan jika pemuafakatan gagal dicapai dalam kalangan dua parti sekutu itu.

PETALING JAYA: PAS tidak akan meletakkan calon di kerusi akan ditandingi Umno dan Bersatu pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, kata Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai dalam usaha PAS mengelak pertandingan tiga penjuru, sekali gus mengukuhkan kerjasama dan muafakat ummah antara ketiga-tiga parti.

Katanya, meskipun parti itu berdepan kemungkinan jumlah kerusi ditandingi mereka jauh lebih kecil berbanding pilihan raya umum ke-14 (PRU14), isu itu tidak berbangkit.

Beliau berkata, jumlah kerusi diperoleh parti itu bergantung kepada rundingan ketiga-kita parti kerana PAS lebih mementingkan kemenangan di kerusi yang bakal ditandingi parti kerajaan.

Bagaimanapun, gerak kerja PAS diteruskan di 12 kerusi DUN, walaupun jumlah sebenar kerusi bakal ditandingi masih dalam rundingan.

“Kita (PAS) tidak akan ambil kerusi Umno, kerusi Bersatu. Kita ambil kerusi yang belum dimenangi, kerusi ini PAS nak. Misalnya daripada 12 kerusi (ditandingi PAS di Melaka pada PRU14), mungkin timbang-timbang dapat tujuh atau enam, mungkin enam ini ‘confirm’ bukan Umno dan Bersatu punya.

“Kita nak elak pertembungan. Apa yang penting calon PH (Pakatan Harapan) tidak menang,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Keputusan PRU14 bagi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menyaksikan Umno hanya menang 13 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi 15 kerusi, sekali gus melayakkan gabungan terbabit yang ketika itu diterajui Bersatu, PKR, DAP dan Amanah membentuk majoriti mudah.

Bagaimanapun, kerajaan negeri ditadbir PH tumbang pada awal Mac 2020 selepas Bersatu membentuk gabungan baharu dengan Barisan Nasional (BN) Melaka.

Gabungan baharu ketika itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia daripada PKR, Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Pengkalan Batu daripada DAP, Norhizam Hassan Baktee sebagai wakil rakyat Bebas dalam Perikatan Nasional (PN).

Ia menjadikan BN mempunyai 13 ADUN, ditambah dua ADUN Bersatu, iaitu Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) selain Jailani yang kemudian menyertai Umno awal tahun ini dan Norhizam, sekali gus mempunyai sokongan majoriti ADUN.

Bagaimanapun, komposisi berubah selepas pembubaran DUN Melaka 4 Okt lalu susulan tindakan dua ADUN Umno, Idris Haron (Sungai Udang) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), bersama Noor Effandi dan Norhizam menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

PAS sokong

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, turut menegaskan PAS akan menyokong mana-mana calon, sama ada Umno mahupun Bersatu berdasarkan penyandang di kerusi berkenaan jika pemuafakatan gagal dicapai dalam kalangan dua parti sekutu itu.

Namun, katanya, PAS belum memutuskan dasar yang akan diambil jika Umno dan Bersatu berhasrat meletakkan calon di kerusi dimenangi PH pada PRU14.

“Kalau kerusi itu kerusi (tradisi) Umno, seluruh pengundi PAS akan sokong calon Umno, undi akan diberi kepada Umno, bererti kalau Bersatu masuk, pengundi PAS tidak akan memberi undi kepada Bersatu.

“Kalau kerusi itu Bersatu punya, Umno masuk, orang PAS takkan undi Umno. Dengan cara ini, dua-dua pihak kena duduk bersama. Jika kerusi PH, kita akan runding, kita akan adakan perbincangan siapa nak bertanding.

“Kalau tak ada penyelesaian siapa nak bertanding, dua-dua (Umno dan Bersatu) masuk, kerusi macam ini kita tak letak dasar buat masa ini. Bagi kita selesai runding dulu, kalau tak boleh jalan keluar, pada masa itu kita akan buat keputusan,” katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata PAS tidak boleh mencampuri urusan dalaman parti sekutu, termasuk Umno yang mahu bersendirian pada PRN Melaka.

“Kalau Umno tidak mahu bersama, hendak jalan sendiri, kita tiada pilihan, itu bab parti masing-masing. Cuma kita bagitau kalau berlaku pertandingan tiga penjuru (Umno, PAS, Bersatu), semua akan rugi, jadi semua kena elakkan tanding tiga penjuru,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.