`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, January 17, 2022

Gambar tular ‘aktiviti pembalakan’ di Hutan Simpan Kledang Saiong disiasat

 

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata kesahihan gambar itu akan diteliti, dan Jabatan Perhutanan akan membuat siasatan sekiranya benar.

PETALING JAYA: Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan menyiasat gambar tular baru-baru ini yang mendakwa berlaku aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kledang Saiong dekat Kuala Kangsar.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berkaitan aktiviti itu dan tidak menolak kemungkinan ia gambar lama.

“Saya nampak ini macam gambar lama dan kalau betul cerita baharu maka Jabatan Perhutanan akan buat siasatan. Kita kena tengok kesahihannya sebab tidak pasti betul atau tidak,” katanya menurut laporan Bernama, selepas menghadiri Program Doa Selamat dan Santai Bersama Menteri Besar Perak dan Penyerahan Kit Kebun Kita kepada petani di Ipoh.

Baru-baru ini tular beberapa gambar di kawasan hutan menunjukkan batang pokok ditebang dan ditarah yang didakwa berlaku di Hutan Simpan Kledang Saiong.

“Kalau betul ia berlaku dan dia (pihak terlibat) didapati mencuri balak, besar hukuman dia, dia boleh didakwa dan dihukum. Kawasan pembalakan perlu lesen yang dikeluarkan berasaskan kepada kelulusan yang dibuat oleh jawatankuasa hasil hutan.

“Ia diluluskan, baru dia dapat lesen kemudian baru dia bawa keluar kayu. Kalau tiada, itu dikira mencuri kayu,” kata Saarani.

Sementara itu, Saarani berkata pihaknya sedang menunggu arahan mahkamah berhubung arahan pengosongan tanah kepada petani di Kanthan dan Tanah Hitam, Chemor oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu membuat persiapan bagi menyediakan prasarana di kawasan itu termasuk membangunkan Silver Valley Technology Perak (SVTP) berikutan banyak permintaan diterima daripada pelabur luar.

SVTP adalah taman perindustrian baharu di Chemor dan dijangka memacu sektor pembuatan berteknologi tinggi serta bertindak sebagai pemangkin Revolusi Industri 4.0.

Isu pengusiran petani di Kanthan dan Tanah Hitam pernah dibangkitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Disember lepas. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.