`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, May 23, 2022

90% penghidap HIV/AIDS lelaki, amalan seks tidak selamat faktor utama

 

Dr Anita Suleiman berkata, 95% kes HIV/AIDS yang dikesan setiap tahun berpunca daripada amalan seks tidak selamat dan hanya 3% melibatkan penggunaan jarum suntikan.

KUALA BERANG: Sebanyak 90% penghidap HIV/AIDS di negara ini terdiri daripada golongan lelaki, kata Ketua Sektor HIV/AIDS dan Hepatitis C Kementerian Kesihatan, Dr Anita Suleiman.

Beliau berkata, sehingga Disember 2020, seramai 125,878 pesakit HIV/AIDS berdaftar di seluruh negara untuk mendapatkan penjagaan dan rawatan dengan pihaknya.

Katanya, lelaki menjadi penyumbang terbesar daripada jumlah itu akibat penggunaan jarum untuk suntikan bagi penagihan dadah dan amalan seks tidak selamat, terutama melibatkan golongan homoseksual.

“Data terkumpul dari 1986 hingga 2020 menunjukkan bilangan kes HIV/AIDS melibatkan golongan perempuan dan kanak-kanak adalah rendah, iaitu 14,213 orang berbanding lelaki.

“Sebanyak 60% penghidap HIV/AIDS pula terdiri daripada golongan muda berusia 29 hingga 39 tahun,” katanya pada Majlis Hari Raya Rumah Baitul Cakna di Kampung Pelandan semalam.

Anita berkata, pihaknya juga menganggarkan jumlah sebenar penghidap HIV dan AIDS di Malaysia adalah jauh lebih besar daripada angka yang direkodkan kerana ramai pesakit malu untuk tampil mendapatkan rawatan berikutan persepsi negatif masyarakat.

“Stigma masyarakat terhadap pesakit HIV dan AIDS masih tebal, walaupun pada hakikatnya penyakit ini sudah tidak berbahaya dan menyebabkan jangkitan dalam masyarakat.

“Stigma ini perlu dikikis segera kerana dengan kaedah rawatan moden hari ini, penyakit ini bukan lagi ancaman utama, malah jika diikutkan, penyakit kencing manis lebih memerlukan penjagaan rapi dan teliti berbanding pesakit HIV/AIDS.”

Beliau berkata, punca dan corak jangkitan HIV/AIDS didapati berubah dalam 10 tahun kebelakangan ini apabila amalan seks tidak selamat menjadi faktor utama penularan berbanding penggunaan jarum suntikan.

“Boleh dikatakan 95% kes yang dikesan setiap tahun berpunca daripada amalan seks tidak selamat, terutama dalam kalangan golongan homoseksual, manakala hanya 3% melibatkan penggunaan jarum suntikan dan 2% lagi jangkitan daripada ibu kepada anak.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.