`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, May 23, 2022

Bagaimana elak pilih menteri cap ayam

 

Benar dan tepatkah kenyataan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua bahawa Malaysia kurang menteri-menteri cerdik kerana kebanyakan rakyat yang bijak mengelak daripada menceburi bidang politik?

Hakikatnya, jawapan itu adalah “ya dan tidak”! Memang benar ramai menteri Kabinet Malaysia kurang cerdik sehingga banyak kenyataan dan caragaya kepemimpinan mereka dipersoalkan serta lazim menjadi bahan jenaka.

Keadaan ini mungkin berlaku kerana perdana menteri kerap kali tidak mempunyai ramai calon yang bijak bistari untuk diangkat menjadi menteri.

Yang lebih ramai mungkin adalah ahli-ahli Dewan Rakyat yang capek daya inteleknya, meskipun mempunyai ijazah berjela-jela.

Ramai dalam kalangan mereka yang dianggap cendekiawan itu mungkin kurang matang ataupun rendah mutu hemah dan firasat politik mereka. Atau, memang pada hakikatnya mereka memang tidak bijak.

Namun, ada juga dalam kalangan golongan ini yang “lurus bendul” hanya berharap kelayakan akademik sudah memadai untuk membantu mereka menjadi pemimpin.

Namun, ada banyak lagi sebab mengapa menteri kita tidak bijak. Mungkin ia salah perdana menteri sendiri yang tidak pandai membezakan intan dengan kaca.

Jika diamati, kebanyakan ahli Dewan Rakyat memang mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Tetapi, banyak kalanya perdana menteri yang tidak rela ada menteri lebih cerdik daripadanya.

Maka dilantiknya mereka yang kurang cerdik menjadi menteri demi menjarakkan kebarangkalian si cerdik akan menggerhanakan imejnya sebagai ahli politik nombor wahid.

Atau, perdana menteri mahu mencari keseimbangan atau kesejahteraan dalam kerajaan dan parti yang diwakilinya. Ini lumrah. Ahli politik lazimnya besar ego serta kuat cemburunya.

Ego, atau, nafsu besar mahu berkuasa kerap mendorong mereka mempertikaikan pilihan perdana menteri kerana merasakan dirinya lebih layak jadi menteri.

Pendek kata, tidak mudah menjadi perdana menteri. Memang sukar memuaskan hati semua pihak yang mempunyai naluri politik seperti dirinya sendiri. Akhirnya, yang dilantik adalah dari kalangan “pak turut” sahaja.

Lantas, ada kala perdana menteri digertak dan dirunsingkan oleh kekuatan pengaruh ahli Parlimen lain. Maka, atas alasan mahu memelihara keharmonian parti dan kerajaan, dilantik menteri dan diplomat yang tidak berkaliber dan dibenci rakyat.

Namun, rumusan Pua berhubung isu rakyat cerdik menjauhkan diri daripada politik menyebabkan terlantiknya ramai menteri cap ayam belum tuntas sepenuhnya.

Maknanya, rumusan beliau separuhnya memang benar. Keengganan si cerdik tidak mahu memesrai politik memang kerana mereka menggunakan akal dan pertimbangan yang terpelajar.

Ada dalam kalangan mereka menganggap kerjaya politik itu kotor. Sebagai orang bijak, tentu mereka pandai pula memelihara kebersihan jiwa dan kemurnian watak mereka. Lantas, mereka mengelak mencumbui kerjaya politik.

Justeru, bagaimana merungkai persoalan ini?

Anak kuncinya terletak di tangan perdana menteri. Ia mestilah seorang yang waras, berhemah dan pemimpin kelas satu. Ia harus berani, berwawasan dan mempunyai iltizam yang kuat untuk melakukan yang terbaik demi bangsa dan negaranya.

Beliau harus ikhlas dan jujur, tatkala mencermin diri sendiri. Jika memiliki ciri-ciri demikian, barulah mudah untuk beristiqamah membuat penilaian terbaik dalam memilih menteri-menteri Kabinetnya.

Sistem politik Malaysia umumnya mengizinkan individu yang popular sahaja mengisi tampuk kerajaan. Jika memiliki kualiti sebegini, barulah wajar beliau menjadi pemimpin parti politik yang popular dan akhirnya perdana menteri yang mulia.

Jika popular, tentu beliau mampu membuat keputusan dengan yakin dan berani. Bagaimanapun, keberanian sebegini juga ada jerangkapnya sendiri. Ramai ahli politik yang berani hanya kerana menyangka dirinya popular.

Sebab itu, arena politik kita masih mempunyai watak politik yang enggan bersara politik kerana menganggap dirinya popular, walaupun “kubur politik berkata mari dan kubu politiknya kata pergi”.

Ada juga ahli politik yang enggan bersara kerana salah tafsir populariti ayah-bondanya boleh dipusakai sampai mati.

Sehingga negara boleh menemui perdana menteri berwawasan, ikhlas dan bijaksana dan bijaksini, sukarlah mana-mana perdana menteri menubuhkan Kabinet yang berdisiplin dan cerdik.

Maka, setiap parti politik bijak seharusnya bijak memilih presiden atau pemimpin parti yang berkualiti istimewa ini. Yang hendak memilih mesti ahli-ahli yang insaf bahawa politik adalah tanggungjawab murni.

Contohilah ahli Parlimen DAP Damansara ini – jadi orang bijak dan jauhi politik kerana politik itu kotor. Tetapi, jadilah pemimpin lebih cerdik yang ikhlas menjadi jambatan bagi dilalui wazir dan menteri yang bijaksana.

Adakah demikian sebabnya Pua atau Ong Kian Ming mahu menjarakkan diri daripada politik? Adakah mereka dila’ehkan politik kotor dalam parti sendiri atau mahu menurut jejak taiko politik DAP, Lim Kit Siang berundur diri?

Benar dan tepatkah merumuskan orang bijak? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.