`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, May 22, 2022

Pertimbang cadangan wujud zon kekal pengeluaran ayam, kata Zahid

 

Ahmad Zahid Hamidi berkata, masalah kekurangan bekalan ayam sudah lama diketahui sejak pandemik Covid-19, tetapi belum ada mekanisme berkesan untuk menangani isu itu.

PETALING JAYA: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan mewujudkan zon kekal pengeluaran ayam bagi menstabilkan harga dan menjamin bekalan ayam untuk pasaran tempatan.

Katanya, kaedah itu dijangka mampu mengekalkan kadar kompetitif pengeluaran ayam, selain memberi penjimatan jangka panjang kepada semua pihak.

Beliau turut menyokong seruan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob supaya Pertubuhan Peladang Kebangsaan menguasai industri penternakan ayam untuk menangani isu itu.

Katanya, masalah kekurangan bekalan ayam sudah lama diketahui sejak pandemik Covid-19, tetapi belum ada mekanisme berkesan untuk menangani isu itu.

“Implikasi permasalahan bekalan ayam tentu tidak begitu teruk, jika kementerian berkaitan bersama penternak telah mencapai titik persefahaman sebelum ini.

“Ketika ini, rakyat berdepan kesukaran mendapatkan bekalan ayam, manakala golongan peniaga terbeban.

“Paling dikhuatiri kekurangan bekalan ayam akan menyebabkan harga ikan terus meningkat apabila permintaannya pula bertambah,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Ismail dilaporkan berkata, mesyuarat Kabinet yang biasanya diadakan pada Rabu diawalkan ke esok bagi membincangkan isu bekalan bahan mentah, termasuk ayam dan kenaikan harga barang serta kos sara hidup.

Beliau sudah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan membentangkan rancangan jangka pendek dan panjang bagi bagi memastikan rantaian bekalan makanan mencukupi serta menangani kenaikan kos sara hidup. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.