`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, May 23, 2022

Ulama syor kaji fatwa larang umat Islam ke Masjid Al-Aqsa

 

Sidang Kemuncak Ulama Islam 2022 mencadangkan supaya fatwa yang tidak menggalakkan umat Islam ke bumi Al-Aqsa atas alasan ia pengiktirafan diplomatik terhadap penjajahan Zionis dikaji semula. (Gambar AP)

SEPANG: Sidang Kemuncak Ulama Islam 2022 mengesyorkan agar kajian dibuat terhadap fatwa yang melarang umat Islam melawat Masjid Al-Aqsa kerana kawasan itu termasuk dalam jajahan Israel, kata Pengerusi Jawatankuasa Program Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, cadangan itu merupakan antara 24 resolusi dicapai menerusi persidangan tiga hari bermula Jumaat lepas, dihadiri lebih 150 ulama Islam dari lebih 50 negara antaranya Indonesia dan Algeria.

“Orang Islam Al-Aqsa sangat memerlukan sokongan moral daripada orang Islam sedunia. Kita mengajak untuk menyemak kembali fatwa yang tidak menggalakkan umat Islam datang ke bumi Al-Aqsa atas alasan ia satu pengiktirafan diplomatik terhadap penjajahan Zionis.

“Dengan perkembangan semasa ketika umat Islam di Al-Aqsa memerlukan sokongan dunia, kita mengajak untuk dikaji semula fatwa itu berdasarkan kepada perubahan dan keadaan semasa,” katanya kepada pemberita pada majlis makan malam sempena sidang kemuncak itu di sini hari ini.

Khairuddin berkata, sidang kemuncak itu turut bersetuju menerbitkan sebuah ensiklopedia khas berkaitan Palestin yang antara lain berfungsi memaparkan maklumat ilmiah berkaitan sejarah dan perjuangan Palestin.

Beliau berkata, penerbitan ensiklopedia oleh ulama juga amat perlu berikutan terdapat usaha untuk menyalurkan maklumat salah mengenai Palestin di peringkat dunia.

Resolusi lain termasuk menggalakkan penggunaan media sosial oleh masyarakat seluruh dunia untuk mendedahkan kezaliman Zionis Yahudi di bumi Palestin.

“Kita ajak rakyat guna media sosial semaksimum yang boleh untuk kita dedah kepincangan yang berlaku di Palestin atas dasar kemanusiaan,” katanya.

Khairuddin juga berkata satu jawatankuasa dinaungi Kesatuan Ulama Islam Sedunia akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu Palestin.

Beliau berkata jawatankuasa itu, yang berpangkalan di Kuala Lumpur, antara lain berfungsi secara khusus mengumpulkan semua kesatuan umat Islam sedunia di bawah satu bumbung dan pada masa sama, memastikan 24 resolusi yang diputuskan dalam persidangan tersebut dapat dicapai.

Persidangan itu dianjurkan oleh Yayasan MyAQSA dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.