`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, July 4, 2022

Moratorium sewa 6 bulan untuk pengusaha makanan di IPT, kata menteri

 

Noraini Ahmad berkata menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 setiap hidangan akan diperkenalkan bawah inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju memberikan moratorium bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan dalam kampus institusi pengajian tinggi (IPT) awam, kata menterinya, Noraini Ahmad.

Moratorium bermula bulan ini diberikan bagi membolehkan tanggungan kos sewa diserap sekaligus dapat menurunkan harga makanan kepada pelajar susulan peningkatan harga barangan yang memberi kesan kepada warga kampus.

Selain itu, Noraini juga berkata, menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 setiap hidangan akan diperkenalkan di bawah inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia, selaras dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu, Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, kerajaan akan memperkenalkan “Menu Keluarga Malaysia” di restoran koperasi, kafeteria serta premis jualan makanan di IPT sebagai alternatif bagi golongan sasar mendapatkan hidangan pada harga berpatutan, membabitkan hidangan pagi, tengahari dan malam.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Noraini berkata, KPT juga akan memperkasa inisiatif Food Bank Siswa dan Food@Campus di IPT dengan kerjasama pelbagai kementerian, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan badan-badan persendirian.

“Kementerian juga bersetuju dengan cadangan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan untuk membentuk Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia yang dipengerusikan oleh saya selaku Menteri Pengajian Tinggi.

“Jawatankuasa itu adalah untuk menyelaras dan melaksana dasar, memantau kawalan harga barang dan perkhidmatan serta membentuk jaringan kolaborasi dengan pihak berkepentingan secara holistik,” katanya menurut laporan Bernama.

Jawatankuasa itu turut disokong di peringkat institusi, melalui jawatankuasa yang dipengerusikan oleh naib canselor, rektor atau pengarah bagi memperkemas pelaksanaan ke atas keputusan dasar yang dibuat di peringkat kementerian, katanya.

“Pihak KPT sentiasa prihatin dan cakna terhadap kebajikan pelajar di IPT bagi memastikan sesi pembelajaran dan pengajaran sepanjang pengajian mereka berjalan dengan lancar,” katanya.

Noraini berkata, kemudahan pengangkutan pelajar dalam dan ke luar kampus akan turut ditambah baik melalui penyediaan jadual pergerakan yang lebih kerap agar memudahkan dan menjimatkan masa perjalanan aktiviti harian pelajar. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.