`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, August 11, 2022

Kebenaran sementara solat Jumaat di 228 surau Melaka tamat

 

Mufti Melaka Abdul Halim Tawil berkata, solat Jumaat terakhir didirikan di semua surau berkenaan adalah pada esok. (Gambar Bernama)

MELAKA: Kebenaran mendirikan solat Jumaat yang diberikan kepada 228 surau secara sementara di negeri ini sejak wabak Covid-19 dua tahun lepas ditamatkan berkuat kuasa 19 Ogos.

Mufti Melaka Abdul Halim Tawil berkata, keputusan itu diputuskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini, selaras dengan syor Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang bersidang pada 27 Jun lepas untuk menamatkan kebenaran sementara itu.

“Ini bermakna 12 Ogos adalah solat Jumaat terakhir didirikan di semua surau berkenaan dan selepas tarikh tersebut, semua anak kariah hendaklah kembali bersolat di masjid kariah masing-masing.

“Ini berdasarkan justifikasi bahawa ruang masjid masih boleh menampung kapasiti jemaah dalam satu-satu masa, di samping mengimarah dan meninggikan syiar Islam di masjid-masjid serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat melalui penglibatan bersama dalam aktiviti masjid,” katanya kepada pemberita di Dewan Alamanda Jasin hari ini.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Terdahulu beliau hadir sebagai panel Forum Kesedaran Derma Organ “Kitar Semula Organ Demi Sebuah Kehidupan” sempena Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri yang disempurnakan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Abdul Halim berkata, setakat ini hanya dua surau sementara di kariah Masjid Serkam Darat dan Masjid Kampung Gelam, Tangga Batu yang dibenarkan untuk terus mendirikan solat Jumaat kerana masjid berkenaan dalam proses pengubahsuaian dan pembinaan semula.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sedang mengesan aktiviti ajaran Hadi Minallah jika terdapat pengikutnya di negeri ini yang terpengaruh dengan kumpulan terbabit.

“Kami juga bekerjasama dengan polis Cawangan Khas dan negeri lain untuk meneliti dan memantau jika terdapat elemen pengaruh ajaran sesat itu di Melaka,” katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial video memaparkan tindakan beberapa wanita berniqab memeluk dan mencium tangan seorang lelaki dipercayai pengasas ajaran tersebut dalam satu majlis di Langkawi.

Berdasarkan video tersebut, kumpulan tersebut mengadakan majlis konvokesyen di Pulau Langkawi pada 10 hingga 13 Jun lepas. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.