`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, August 16, 2022

Tak cukup pekerja, restoran dan kedai mamak Ipoh tak mampu buka 24 jam

 

Banyak restoran mengalami kekurangan pekerja kerana ramai yang pulang ke negara asal sewaktu PKP dan tidak dapat kembali ke Malaysia.

IPOH: Beberapa restoran atau kedai makan 24 jam popular di pusat bandar raya ini masih tidak mampu beroperasi sepenuhnya kerana kekurangan pekerja, walaupun tempoh perniagaan dibenarkan tanpa had masa selepas negara memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik sejak April lepas, kerana kekurangan pekerja.

Tinjauan Bernama mendapati keadaan ini menyebabkan perniagaan seperti restoran nasi kandar dan nasi biryani terjejas dari segi perkhidmatan dan kualiti kerana kekurangan pekerja merencatkan pengoperasian mereka.

Pemilik restoran nasi vanggey, Ahmad Azlan Shah Saiful Jaafar Sadik, 31, berkata premisnya yang terletak di Pusat Perdagangan Greentown hanya mampu beroperasi dari 10 pagi hingga 11 malam dengan tenaga kerja 10 orang pekerja tempatan dan warga asing.

“Restoran ini tidak mempunyai pekerja yang mencukupi jadi kami tidak dapat menjalankan perniagaan selama 24 jam seperti sebelum Covid-19,” katanya.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

“Saya terpaksa menguruskan pekerja kepada dua syif iaitu pagi dan petang bagi tugas pembantu dapur, mengambil dan menghantar pesanan serta mencuci.”

Beliau berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan pengambilan 30 orang pekerja warga asing dari Pakistan sejak empat bulan lalu dan akhirnya memperoleh kelulusan pada bulan lepas setelah melalui pelbagai proses termasuk sesi temu duga di Jabatan Tenaga Kerja.

Azlan berkata, kelulusan permohonan pekerja itu memberi harapan kepada kelangsungan perniagaan yang telah diusahakannya sejak 2008 dan berharap proses penghantaran mereka dapat dilaksanakan segera.

“Saya difahamkan proses untuk membawa mereka ke sini mengambil masa selama sebulan lebih bagi urusan pemeriksaan kesihatan dan dokumen jadi saya sudah melakukan perancangan supaya dapat menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan yang ramai, khususnya apabila hari cuti,” katanya.

Sementara itu, seorang pemilik restoran nasi biryani, Abdul Hamid Abdul Mutalib, 60, berkata pihaknya masih menanti status permohonan 20 pekerja warga asing yang dibuat sejak tiga bulan lepas. Beliau berharap diberi kelulusan segera bagi memastikan perniagaannya dapat berjalan lancar kerana kini restoran itu hanya memiliki 10 pekerja, termasuk dua warga tempatan.

“Pelbagai usaha telah saya lakukan untuk mencari pekerja tempatan tetapi mereka tidak berminat, malah ada yang datang bekerja selama sehari atau dua hari sahaja lalu menghilangkan diri.

“Saya juga pergi sendiri ke sebuah kolej kemahiran mencari pelajar lepasan bidang kulinari untuk menawarkan pekerjaan di restoran supaya mereka dapat menimba pengalaman dalam perkhidmatan makanan tetapi hampa apabila ramai tidak berminat kerana ingin bekerja di hotel.

“Jadi saya harap kerajaan segera membawa masuk semula pekerja warga asing untuk membantu peniaga restoran seperti kami supaya dapat bertahan kerana ramai yang pulang ke negara masing-masing semasa wabak Covid-19,” katanya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan kekurangan pekerja menyebabkan banyak premis perniagaan termasuk kedai makan masih tidak dapat beroperasi 24 jam.

Presiden Persatuan Restoran Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali Taib Khan dilaporkan berkata, situasi itu disebabkan kebanyakan pengusaha restoran mamak tidak cukup pekerja untuk menampung operasi walaupun terdapat permintaan tinggi. Keadaan ini disebabkan ramai yang pulang ke negara asal semasa tempoh perintah kawalan pergerakan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.