`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, December 8, 2022

Sukar puaskan hati semua, buktikan kita boleh ‘deliver’, kata Ewon

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick berkata apa juga diputuskan perdana menteri pasti akan ada yang tidak puas hati.

KUALA LUMPUR: Ewon Benedick berkata Jemaah Menteri perlu melaksanakan tanggungjawab diamanahkan dan sekarang bukan masa untuk menguruskan sentimen tidak puas hati terhadap kerajaan perpaduan.

Menteri pembangunan usahawan dan koperasi berkata, barisan Jemaah Menteri perlu membuktikan lantikan mereka oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah tepat.

“Pandangan saya, apa juga diputuskan perdana menteri pasti akan ada yang tidak puas hati.

“Secara realistik, kita ikut titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya kerajaan perpaduan dibentuk dan masa inilah sepatutnya kerajaan perpaduan ini buktikan boleh ‘deliver’ banyak perkara pada rakyat,” katanya dalam temubual bersama FMT.

Jemaah Menteri Anwar dianggotai 15 Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) enam, lima daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), seorang daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan seorang bukan ahli mana-mana parti.

Dalam kalangan parti PH, PKR mempunyai lapan ahli, DAP (empat), Amanah (dua) dan Upko (satu).

Sebelum ini, ada pihak tidak berpuas hati dengan komposisi dan lantikan beberapa individu dalam kerajaan perpaduan dipimpin Anwar.

Pengkritik turut mempersoalkan pelantikan Tengku Zafrul Aziz sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri walaupun kalah pada PRU15.

Beliau salah seorang daripada empat individu yang dilantik sebagai senator oleh Dewan Negara bagi menjawat jawatan menteri.

Ewon berkata, bagaimanapun dalam usaha menambah baik ketidakpuasan hati pihak terbabit terhadap kerajaan perpaduan, beliau boleh mencadangkan kepada Anwar mengenai apa disuarakan mereka.

Semak dan imbang

Sementara itu, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata pembangkang memainkan peranan penting untuk semak dan imbang dalam kerajaan perpaduan.

Katanya, ini perlu supaya Jemaah Menteri yang dilantik bekerja lebih kuat bagi membuktikan pemilihan mereka tidak salah.

“Saya alu-alukan peranan pembangkang dalam soal semak dan imbang terhadap kerajaan perpaduan ini.

“Mesej saya…Agong telah perkenan kerajaan persekutuan ini maka sebaiknya biar semua pihak jalankan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ewon berkata kemenangannya dengan majoriti besar 14,410 undi ke atas penyandang kerusi Penampang, Darell Leiking daripada Warisan disebabkan penduduk mahu wakil rakyat baharu.

Beliau berkata, antara faktor lain kerana rakyat Penampang mahu perdana menteri baharu dan inginkan kerajaan dibentuk memberikan banyak perkara untuk mereka dan Sabah.

“Saya fikir tiga sebab itu rakyat Penampang beri majoriti yang begitu besar. Sebab itu saya kata masa ini adalah untuk bekerja,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.