`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, February 7, 2023

Kekuatan orang Melayu

 

Saya mulakan dengan memetik sebahagian laporan FMT siaran 5 Feb 2023 yang bertajuk: “Sultan Johor hadir majlis santapan sempena Thaipusam”.

Perenggan lima menyebut: “Minggu lalu Majlis Agama Islam Johor mengeluarkan fatwa melarang umat Islam menghadiri dan menyertai upacara keagamaan agama lain di negeri itu.”

Pengerusi jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Mohd Fared Mohd Khalid dipetik berkata Sultan Johor memperkenankan fatwa itu yang berkuatkuasa 2 Feb.

Pada hari yang sama Sultan Johor bertitah fatwa itu tidak bercanggah dengan nilai toleransi, perpaduan, dan persefahaman antara agama bawah konsep Bangsa Johor.

Sultan Johor menjelaskan ia hanya melarang umat Islam mengambil bahagian dalam upacara keagamaan lain tetapi mereka masih boleh menghadiri acara perayaan agama lain.

Lantas Sultan Johor berkenan menghadiri majlis santapan sempena Thaipusam peringkat negeri di Kuil Arulmigu Sri Bala Subramaniar di Skudai 5 Feb lalu.

Majlis Gereja Malaysia mengalu-alukan langkah pihak berkuasa Islam Johor mengeluarkan fatwa berkenaan. Setiausaha Agung Jonathan Jesudas berkata fatwa oleh MAINJ panduan yang baik untuk orang Islam dan orang bukan Islam lebih memahami had yang ditetapkan oleh undang-undang Islam, dan dengan itu menjadi lebih sensitif apabila mengundang rakan-rakan Islam ke majlis perayaan mereka.

Perkembangan yang baik untuk Malaysia yang rakyatnya berbilang kaum dan agama. Pun begitu untuk sekian lama orang bukan Islam tidak menjemput rakan-rakan mereka yang beragama Islam menyertai acara keagamaan. Mereka tahu had dan batas.

Rakan-rakan mereka yang beragama Islam juga untuk sekian lama tahu apa erti “menyertai” serta “mengambil bahagian” acara keagamaan kepercayaan lain. Ertinya mereka tahu membezakan apa itu “menyertai” dan “mengambil bahagian” dengan “menghadiri”.

Oleh itu selama ini umat Islam yang menghadiri majlis perayaan agama lain, setahu saya, sekadar hadir dan meraikan tetapi tidak ikut sama upacara sembahyang, doa, atau pemujaan.

Katalah apa yang anda mahu kata, tetapi orang Melayu tidak mudah atau tidak akan tukar agama semata-mata dengan hadir majlis keagamaan agama lain, atau mendengar syarahan atau melihat lambang dan gambar berkait agama lain.

Mufti Perlis Asri Zainul Abidin pada satu syarahannya tidak lama dahulu menyatakan rasa kagum akan kehebatan orang Melayu-Islam yang walaupun beratus tahun dijajah Portugis, Belanda, dan Inggeris tidak menukar agama.

Kalau itu zaman lalu, zaman sekarang juga tidak kurang hebat. Kata Asri walaupun “orang Melayu minum (arak) dan lakukan benda-benda pelik, akidahnya tetap mereka jaga.”

Benar. Meskipun ada yang tidak solat dan sebagainya, tukar agama tidak sekali. Satu lagi pantang besar ialah makan babi. Macam mana “jahat” pun orang Melayu Islam, babi mereka tidak akan sentuh apa lagi makan.

Ini kekuatan orang Melayu. Kelemahan memang ada. Tetapi kali ini kita bercakap tentang kekuatan, bukan kelemahan.

Kawan lama saya, bekas wartawan Straits Times Singapura, Ismail Kassim pernah menceritakan bagaimana usaha mengkristian dijalankan terhadapnya sebanyak tiga kali.

Kisah ini ada dalam buku berjudul “No Hard Feelings” yang Ismail hasilkan pada 2008.

Kata Ismail kali pertama ialah pada 1960. Pendakwah Kristian terkenal dari Amerika Syarikat, Billy Graham, melawat Singapura dan mengadakan ceramah perdana di Stadium Jalan Besar.

Graham mempunyai reputasi sebagai pendakwah hebat yang boleh menyakinkan orang ke jalan Jesus Christ. Menurut Ismail, beliau diberitahu jika dengar hujah Graham sekali akan percaya selama-lamanya.

Sebenarnya bukan orang bukan Islam yang mahu Ismail dengar hujah Graham. Sebaliknya Ismail sendiri yang mahu mendengar apa yang disampaikan Graham.

Lalu Ismail mengajak kawannya beragama Kristian menemaninya ke Stadium Jalan Besar. Ismail pun melihat sendiri dan mendengar Graham bercakap mengenai pengembaraan keagamaannya dan apa yang membuatnya menerima Bible sebagai kata-kata tuhan – atau Word of God.

Pada akhir ceramah, Graham menyeru semua yang hadir menerima Christ sebagai penyelamat peribadi atau “personal savior”.

Kali kedua ialah pada 1980-an. Kata Ismail, seorang kenalannya tiba-tiba kerap bercakap mengenai agamanya dan kehebatan yang berlaku dalam hidupnya sejak dia mula kembali ke agamanya. Ismail faham kawannya itu sedang berdakwah.

Kali ketiga ialah pada 2007. Dua wanita memegang Bible datang ke kediamannya dan bercakap mengenai agama.

Ketiga-tiga kali Ismail tidak terpujuk akan dakwah yang disampaikan walaupun Ismail sendiri mengaku beliau bukan seorang Muslim yang “kuat” ketika usaha mengkristiankannya dijalankan.

Terutama pada 1960 ketika orang muda ramai yang hidup bebas. Ismail mengaku belajar solat hanya pada 1983.

Pun begitu Ismail tidak berganjak. Beliau tetap Islam – hidup sebagai seorang Muslim yang mengamalkan ajaran dan tuntutan agama. “A practicing Muslim” hingga ke akhir hayat pada 2019.

Allahyarham tidak marah terhadap pendakwah. Ismail tahu mengapa mereka berdakwah. Pada Ismail, mereka berhak menyampaikan mesej mereka dan beliau juga berhak untuk tidak menerima mesej itu.

Al-Fatihah buat Ismail Kassim. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.