`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, February 7, 2023

Serah kontrak pada anak, menantu, bekas pengarah urusan diarah bela diri

 

Bekas pengarah urusan Felcra Training & Consultancy Sdn Bhd (FTC), Rohaizat Ahmad diarah bela diri atas 33 pertuduhan salah guna kuasa melibatkan projek bernilai RM1.64 juta. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan bekas pengarah urusan Felcra Training & Consultancy Sdn Bhd (FTC) membela diri atas 33 pertuduhan menggunakan kedudukan memberi pelbagai kontrak pembekalan kepada anak dan menantunya membabitkan RM1.64 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membuat keputusan itu terhadap Rohaizat Ahmad selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

“Mahkamah berpuas hati dan memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kamu (Rohaizat) atas 33 pertuduhan dan pindaannya mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menggunakan jawatan serta kedudukan untuk mendapatkan suapan.

“Oleh demikian, tertuduh diperintah membela diri dan mematahkan anggapan di bawah Seksyen 23 (2) akta berkenaan. Tiga cara membela diri sebagai seperti mana ditetapkan mengikut Kanun Tatacara Jenayah,” katanya menurut Berita Harian.

Susulan itu, Rohaizat memilih memberi keterangan bersumpah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-16, Rohaizat didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan mendapatkan suapan dengan melantik syarikat Al Maisan Enterprise milik menantunya, bagi membekalkan peralatan elektronik dan sumbangan cenderahati, selain rakan strategik program latihan kemahiran, pembekal baju kurung dan T-shirt berkolar.

Pertuduhan ke-17 hingga ke-33, dia didakwa melakukan kesalahan sama dengan melantik anaknya sebagai pengerusi syarikat Hexa Tech Pride sebagai pembekal antaranya cenderahati korporat, telefon pintar, projektor, komputer riba, barangan elektronik dan sebagai perunding program keusahawanan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di Felcra Training & Consultancy Sdn Bhd, No 22, Jalan Rampai Niaga 4, Rampai Business Park antara 23 Apr 2014 hingga 27 Jun 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam bela Rohaizat, Mohd Baharuddin Ahmad Kassim, memohon mahkamah melapangkan 27 dan 28 Feb bagi prosiding bela diri kerana memerlukan masa menyediakan pernyataan saksinya.

“Pembelaan akan memanggil empat saksi dan akan menyerahkan salinan penyataan mereka yang agak panjang kepada pendakwaan. Kami mohon ihsan terhadap permohonan yang boleh dipertimbangkan oleh mahkamah kerana ia adalah kes pembelaan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong, pula memohon 17 Mac ini dilapangkan kerana terikat dengan kes lain.

Hakim kemudian menetapkan bicara bela diri itu selama sembilan hari iaitu 22, 27 dan 28 Mac serta 3 hingga 6, 17 dan 18 Apr. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.