`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, September 19, 2024

Kesatuan guru minta sistem penilaian Tahun 6, Tingkatan 3 dikekalkan

 

spm exam
NUTP berkata dasar ketika ini meliputi semua termasuk penilaian ujian akhir sesi akademik bagi Tahun 6 dan Tingkatan 3. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa sistem berkait peperiksaan bagi Tahun 6 dan Tingkatan 3 dikekalkan di sebalik gesaan rombakan dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, minggu lalu.

Setiausaha Agung Fouzi Singon berkata Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengekalkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) berjalan dengan baik kini.

Menurut Fauzi, dasar itu memfokuskan kepada semua pelajar yang dinilai dari pelbagai aspek termasuk menerusi ujian akhir sesi akademik.

“Cabaran sekarang untuk beri kefahaman kepada ibu bapa berhubung dasar KPM untuk mengukur tahap murid. 

Kita harap KPM konsisten dan tidak berubah-ubah kerana ada tekanan,

 katanya kepada FMT.

Ahad lalu, Zahid menggesa dasar berkait peperiksaan bagi Tahun 6 dan Tingkatan 3 dirombak selepas difahamkan kebanyakan daripada lebih 10,000 yang tidak menduduki SPM tahun lalu tidak boleh membaca, menulis, atau mengira (3M).

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid Tahun 6 dimansuhkan pada 2021 dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada 2022 sebaliknya digantikan PBD serta PBS.

Isnin lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata KPM melihat positif gesaan itu dan mungkin membawanya ke Jemaah Menteri untuk dibincangkan serta diputuskan.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Rahim berkata masalah sebenar dihadapi masa ini adalah cara pengajaran dan pembelajaran untuk peperiksaan dilihat terlalu tegar.

Menurutnya, pelajar dilatih belajar secara hafalan dan bukan untuk membina daya fikiran kritis.

“Rumusan yang disyorkan ialah untuk memperkasakan pendidikan berdasarkan sekolah (PBS) yang mampu menilai seseorang pelajar secara holistik.

Kita sudah berganjak dari kaedah peperiksaan dan hafalan, tidak perlu langkah ke belakang lagi,
 katanya.

Beliau juga meminta KPM melihat data untuk mengkaji kemerosotan bukan semata-mata mengubah berdasarkan cadangan mengikut arus politik.

Inilah punca segala masalah pendidikan,
 katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.