Sunday, May 24, 2026

Kaji hubungan Bersatu bukan Hadi sahaja tentukan, kata setpol

 Setiausaha politik presiden PAS, Syahir Sulaiman berkata parti itu tidak amal sistem 'mullah' kerana ada semak dan imbang di setiap peringkat.

Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman, berkata kajian semula hubungan dengan Bersatu seperti disebut Presiden PAS Hadi Awang adalah ‘perkara biasa’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Setiap keputusan diambil PAS dibuat secara musyawarah dan bukan ditentukan Presiden Abdul Hadi Awang sahaja berkait kajian semula hubungan PAS-Bersatu, kata Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman.

Beliau yang juga setiausaha politik Hadi, berkata tuduhan kononnya PAS mengamalkan sistem ‘mullah’ serta pendekatan diktator disifatkan tidak berasas.

“PAS mengamalkan syura dan musyawarah, dengan al-Quran dan sunnah sebagai sumber tertinggi.

“PAS mempunyai mekanisme ‘semak dan imbang’ di setiap peringkat, termasuk terhadap mursyidul am dan presiden; tiada yang terkecuali. Keputusan PAS dibuat secara kolektif, daripada akar umbi hingga ke peringkat pusat dan Majlis Syura, bukan ditentukan dari Rusila (Hadi),” katanya dalam kenyataan.

Rusila merujuk kepada Masjid Rusila, Marang, yang sering Hadi menyampaikan kuliah agama. Presiden PAS itu merupakan Ahli Parlimen Marang.

Katanya, atas dasar mengamalkan syura dan musyawarah menjadikan PAS sentiasa dikawal dan terkawal.

Mengulas lanjut, Syahir yang juga penolong setiausaha agung PAS turut menjelaskan, sebarang bentuk kajian termasuk melibatkan soal kerjasama merupakan perkara biasa dalam usaha menambah baik sesuatu perancangan atau perjalanan organisasi.

“Muhasabah itu perkara biasa. Kajian semula juga proses yang biasa. Contohnya belanjawan dan RMK, terdapat kajian separuh penggal, itu amalan biasa.

“Tempoh refleksi dan ruang konsultasi untuk memperbetul serta memperbaiki — apa yang perlu ditambah, ditolak, dikekalkan atau diganti,” katanya.

Jumaat lalu, Hadi memberi amaran kepada Bersatu bahawa kesabaran parti itu ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan parti berkenaan yang didakwa melanggar semangat setia kawan dalam Perikatan Nasional (PN).

Tegasnya, PAS akan menilai semua tindakan dan kerjasama dengan Bersatu kerana pilihan raya semakin hampir, selain sebarang keputusan perlu mengambil kira untung rugi politik.

Terdahulu, Malaysiakini memetik sumber dalaman Bersatu sebagai berkata, isu dibangkitkan Hadi sebenarnya sudah diselesaikan secara konsensus selepas dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.

Sumber itu juga mengingatkan PAS bahawa PN satu organisasi ditadbir mengikut semangat kerjasama dan persefahaman antara anggotanya, bukan ditentukan oleh seseorang secara mutlak.

“Bercakap tentang hal dalaman kepada orang luar bukanlah caranya. Presiden PAS juga tiada kuasa veto untuk membatalkan keputusan MT. PN tidak guna sistem mullah,” kata sumber itu.

Sistem ‘mullah’ merupakan amalan pentadbiran atau pemerintahan yang didominasi oleh golongan ulama dalam politik dan negara. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.