Sunday, May 24, 2026

Muktamar Pemuda Dungun minta pimpinan PAS nilai semula hubungan dengan Bersatu

 Usul juga minta PAS 'kembali menjadi teras' tanpa bergantung kepada pihak yang tidak lagi membawa kekuatan serta manfaat.

Sanusi Md Nor
Usul minta PAS nilai semula hubungan politik dengan Bersatu lulus secara sebulat suara pada muktamar Pemuda Dungun semalam.
PETALING JAYA:
Muktamar Pemuda PAS Dungun meluluskan usul meminta pucuk pimpinan parti menilai semula hubungan politik dengan Bersatu.

Permintaan itu berdasarkan beberapa perkembangan mutakhir, yang menurut usul itu “merugikan perjuangan rakyat dan melemahkan kekuatan gerakan pembangkang”.

Usul dikemukakan Pemuda PAS Dungun itu lulus dengan sebulat suara, semalam.

Suatu kertas dilihat FMT menyenaraikan beberapa asas bagi usul itu, mendakwa Bersatu di Dungun dilihat semakin lemah, dan “gagal membantu memperkukuhkan kekuatan politik PAS serta PN di kawasan”.


Ia turut menyentuh mengenai tindakan Bersatu memecat beberapa Ahli Parlimen, mendakwa keadaan itu “akhirnya melemahkan kuasa rakyat dan menyebabkan suara rakyat semakin tenggelam”.

Justeru, katanya PAS perlu kembali menjadi teras utama perjuangan rakyat, “tanpa bergantung kepada mana-mana pihak yang tidak lagi membawa kekuatan serta manfaat kepada perjuangan Islam dan rakyat”.

Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat, Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi, mengesahkan perkara ini ketika dihubungi.

“Dungun bukan kawasan yang pertama (buat usul nilai semula hubungan dengan Bersatu). Saya dimaklumkan bahawa Pemuda di Selangor ada membuat usul yang lebih kurang sama,” katanya.

Tengku Muhammad Fakhruddin tidak mengulas lanjut, menerangkan keputusan akhir di tangan majlis syura ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat.

Usul ini berlatarkan amaran Presiden Hadi Awang kepada Bersatu, pada Jumaat.

Hadi memberi amaran kepada Bersatu bahawa kesabaran ‘ada batas’ setelah PAS “mengkaji satu persatu tindakan Bersatu”, mengambil contoh situasi politik di Negeri Sembilan dan Perlis, serta pendirian berkenaan usaha membawa masuk parti tertentu ke dalam PN. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.