`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, November 27, 2019

Gagal lantik senator: Adun PKR minta maaf atas ‘kekeliruan’, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim (ditengah), bersama Adun Ginie Lim Siew Lin dan Jailani Khamis (kanan Anwar) meminta maaf atas ‘kekeliruan’ mereka berhubung kontroversi pelantikan senator baru-baru ini.
PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata 2 Adun PKR Melaka memohon maaf atas “kekeliruan” kerana tidak ada semasa proses mengundi di Dewan Undangan Negeri, yang menyebabkan parti itu gagal melantik seorang senator.
Dua wakil rakyat terbabit, Muhammad Jailani Khamis dan Ginie Lim Siew Lin, yang juga exco negeri, bertemunya petang tadi bagi menjelaskan tindakan mereka keluar DUN ketika itu.
“Kedua-dua exco sudah memberi penjelasan dan memohon maaf kerana ada kekeliruan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.
Mereka menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi pada kerajaan negeri, tetapi “mahu ikut proses yang betul”.
“Jadi, tidak timbul masalah soal keretakan kerajaan Pakatan Harapan di Melaka,” tambahnya.
Anwar bagaimanapun tidak menghuraikan “kekeliruan” 2 wakil rakyat itu.
Sementara itu, pelantikan senator PKR, yang pada mulanya mencalonkan ketua parti negeri itu, Abdul Halim Bachik ditangguhkan.
“Kita akan ikut proses perbincangan dalaman parti yang tidak perlu disegerakan,” katanya.
“Hal ini kerana mesyuarat dewan undangan negeri hanya akan berlangsung pada Mac depan.”
Sebelum ini, Anwar membidas tindakan 2 wakil rakyat PKR yang keluar DUN lalu menyebabkan usul mencadangkan Abdul Halim sebagai ahli Dewan Negara gagal pada Isnin lalu.
Usul berkenaan hanya meraih 12 undi berbanding 13 yang menolak.
Kerajaan PH Melaka ketika ini mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu PKR 3 kerusi, DAP 8 kerusi, PPBM dan Amanah 2 kerusi.
Pembangkang pula mempunyai 13 kerusi DUN yang semuanya dari Umno.
Anwar berkata dakwaan Halim memegang pelbagai jawatan lain turut dibincangkan, namun Anwar menjelaskan ia hanyalah kekhilafan.
“Kita bincang dan semua ini sudah dirumuskan, hal ini kerana ada beberapa kekhilafan penafsiran, yang berbangkit adalah ruang untuk berbincang dan saya sendiri sudah bersetuju,” katanya.
Anwar sendiri sudah memaklumkan perkara ini kepada pimpinan tertinggi Pakatan Harapan.
“Mereka sudah diberi penjelasan termasuk ketua menteri Melaka…Walaupun ada perbezaan pendapat, tetapi tidak berbangkit soal ketidakpercayaan kerajaan PH,” katanya.
Mengulas gesaan tindakan disiplin terhadap Lim dan Jailani, Anwar berkata perkara itu sudah selesai dan tidak perlu diambil sebarang tindakan.
“Selepas mesyuarat, semua perkara itu sudah selesai dengan sendirinya. Sekarang ini mereka tumpu kepada kongres PKR minggu depan,” katanya lagi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.