`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, March 5, 2020

Cina gemuk belakang rumah



Ahad lepas, 29 Feb berlaku sesuatu. Ada sebuah keluarga Cina di kejiranan awak. Keluarga Cina itu awak difahamkan, makan babi waktu pagi, tengahari, dan malam. Yang perempuan dari keluarga Cina itu berseluar pendek menampakkan selulit; membawa anjingnya yang banyak bulu dan rambut untuk berak di luar kawasan rumah setiap sore.
Mereka kurang fasih berbahasa Melayu. Anak mereka malahan bersekolah jenis kebangsaan di Kajang. Awak memang meluat dengan mereka. Malahan mereka dikatakan angkuh, kurang bercampur dan awak tertanya-tanya apa yang mereka lakukan dalam kawasan kejiranan Melayu.
Makan minggu dan tahun, kebencian awak terhadap keluarga Cina ini berkembang. Yang lelaki perutnya gendut dan suaranya seperti Doraemon. Cina gemuk.
Ahad lepas, 29 Feb berlaku sesuatu. Awak sedang jogging petang itu, kurang lebih pukul 5 petang. Awak terserempak sampul tebal di tubir trek larian. Awak membuka sampul itu dan menemukan sekepuk wang banyak. Lebih RM10,000. Pada sampul itu terdapat nama Cina gemuk tersebut. Juga alamat rumahnya.
Terdapat semacam nota menjelaskan itu bayaran untuk kerjanya sebagai kontraktor. Memang wang itu hak Cina tersebut. Cina yang isterinya berseluar pendek menampakkan selulit; membawa anjingnya yang banyak bulu dan rambut untuk berak di luar kawasan rumah. Cina yang anaknya bersekolah jenis kebangsaan dan tidak tahu bertutur bahasa Melayu, apatah lagi menulis Jawi. Cina perutnya gendut dan suaranya seperti Doraemon. Cina yang angkuh.
Jelas sampul itu kepunyaan Cina gemuk tersebut. Jiran tidak bergaul. Jiran yang tidak reti bersantun dengan Melayu. Cina yang agaknya tidak peduli apa terjadi dengan dunia. Bahawa ada orang Islam dibunuh Modi di India. Atau orang Islam China dikepung di Xinjiang.
Awak mengambil wang itu pulang. Lagipun wang itu ditemukan di tubir jalan. Lagipun wang itu Cina yang punya. Cina gemuk. Cina angkuh yang suaranya seperti Doraemon.
Awak pun membawa wang itu balik ke rumah. Wang itu sekarang awak yang punya. Adakah itu mencuri? Tidak juga. Wang itu keciciran, orang yang punya. Cina yang punya. Sekarang wang itu jadi hak awak. Sebab peluang terbuka. Peluang yang terbuka mesti disebat. Ahad lepas, 29 Feb berlaku sesuatu.
Wang itu bukan awak idam-idamkan. Awak tidak mencari wang itu. Tetapi wang itu datang berkepuk begitu sahaja. Lagipun dengan wang itu awak boleh selamatkan negara. Ada macam-macam cara. Awak tak berkehendak wang itu. Awak jumpanya tak sengaja. Ini namanya rezeki terpijak. Awak pulang ke rumah. Bawa pulang wang itu.
Awak sujud syukur. Terpijak rezeki yang awak tidak idam-idamkan.
Kemudian, ada lagi yang aneh berlaku pada ahad lepas, 29 Feb. Tanpa semena-mena, ada satu hantaran Food Panda yang menurut anak awak, tidak pun ia lakukan. Jadi tempahan itu memang salah orangnya. Atau kebetulan nama pula sama. Atau alamat jalan juga dibaca cuai. Atau mungkin ada orang lain memesankan untuk awak dan keluarga. Mungkin isteri awak yang pulang dari kedai runcit. Awak tidak banyak tanya.
Peliknya hantaran Food Panda itu tiba di pintu belakang. Bukan mengikut jalan hadapan. Anak kecil awak menyangkakan awak yang menempah, menerima hantaran itu tanpa banyak tanya juga. Makanan itu malah sudah dibayar.
Maka awak makan sahaja hantaran dari Food Panda itu. Lima enam bungkus nasi beriani berlauk kambing. Dalam poket awak juga ada duit banyak milik Cina gemuk yang kini jadi milik awak. Sungguh ini hari 29 Feb.
Isteri awak pulang seraya membebel, dia menunjukkan satu video di media sosial; seorang yang awak kenali – “berwibawa dan berintegriti” – bersujud syukur setelah mengambil hak orang. Isteri awak meleter, “Tak tahu malu. Muka tembok. Pengkhianat. Katak panjat belakang ular.”
Kemudian ada video lain, lelaki lain mengaku “perjuangan merebut tiara” selama seminggu kini berakhir dan berhasil.
Isteri awak yang kehairanan melihat meja penuh hidangan dengan nasi beriani mulai kaget. “Mana datangnya ini?”
Awak hanya menjawab, “Rezeki”. Isteri awak terkesima melihat awak meletakkan jiwa dan raga menjamah hidangan itu.
“Mana datangnya ini? Saya tidak beli ini.”
Isteri awak duduk di sisi, dengan aneh bersuara; “Saya tak makan hidangan kenduri yang tidak dijemput.”
Awak menelan suapan terakhir. Membasuh tangan. Naik ke kamar tidur. Duduk seketika di tubir katil, dan melihat berita bermunculan di media sosial menerusi telefon tangan. Ada video di media sosial; seorang yang awak kenali – berwibawa dan berintegriti – bersujud syukur setelah mengambil hak orang. Entah kenapa video sujud syukur itu amat mengganggu. Ahad lepas, 29 Feb itulah yang berlaku.
Awak berjemaah maghrib di surau. Ramai Melayu seronok dengan perubahan bakal berlaku. Ada jemaah menyatakan senanglah sekarang kerana sekolah vernakular akan ditutup. Ada menyampuk, senanglah sekarang kalau ada yang mencuri akan dipotong tangan. Mereka semua suka kasino di Genting dan kilang Carlsberg di Shah Alam akan henti beroperasi.
Entah kenapa awak terkenang cerita waktu anak-anak dulu. Awak bawa pulang wang siling 50 sen ke rumah. Awak malah berbangga menunjukkan kepada abah. Wang yang awak temui. Awak memasang angan-angan untuk membeli aiskrim esok di sekolah.
Akan tetapi apa kata abah?
“Kita tidak bawa pulang barang yang kita jumpa di jalan. Apa pun alasannya.”
Awak bertanya kepada arwah abah, “Meskipun alasannya adalah untuk menyelamatkan negara.”
Abah hanya geleng.
“Meskipun wang ini milik Cina?”
Abah lagi geleng.
Abah berkata, “Negara boleh terus berkembang jika ada ateis, tetapi tidak boleh berkembang jika ada pencuri.”
Awak pulang ke rumah dan mencari isteri. Anak-anak sedang buat kerja sekolah. Isteri awak ralit menonton Astro Awani. Ada perubahan lanskap politik besar. Isteri awak hanya mengulang kata-kata penuh kesal, “Kita tak ambil hak orang. Hatta kita benci seseorang, Islam tak ajar ambil.”
Entah kenapa memori awak kepada abah sangat menyentuh hati. Awak menangis teresak-esak seperti esak YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim. Awak bangun, dan keluarkan sampul wang itu.
Awak berjalan kaki menuju ke rumah Cina gemuk. Cina sombong. Cina yang kata orang di surau makan babi waktu pagi, tengahari, dan malam. Yang amoinya berseluar pendek menampakkan selulit; yang nyonyanya membawa anjing banyak bulu dan rambut untuk berak di luar kawasan rumah. Cina yang kurang fasih berbahasa Melayu. Cina yang anak mereka malahan bersekolah jenis kebangsaan di Kajang. Cina yang awak memang meluat. Cina yang tidak bercampur dan awak tertanya-tanya apa yang mereka lakukan dalam kawasan kejiranan Melayu. Cina yang sejak jadi pendatang ke kawasan perumahan itu 22 bulan lalu bukan main lagi mencina. Cina yang lelaki perutnya gendut dan suaranya seperti Doraemon.
Awak ambil jalan belakang, mengarah ke pintu dapur mengetuk pintu belakang. Cina gemuk itu yang membuka pintu. “Haiya haji apa sebab ikut jalan belakang? Ikut depanlah. Ini pintu kunci mati. Tak mahu bagi orang jahat masuk curi.”
Awak akur. Awak bergerak semula, dan di pintu hadapan rumah Cina itu sedia menunggu.
Awak hulurkan sampul berisi duit. Awak beritahu awak temukan di jalanan sewaktu berjogging. Awak beritahukan itulah yang paling bermoral untuk dilakukan. Awak ceritakan awak terkenang arwah abah. Awak bawa pulang wang siling 50 sen ke rumah. Awak malah berbangga menunjukkan kepada abah. Wang yang awak temui. Awak memasang angan-angan untuk membeli aiskrim esok di sekolah. Akan tetapi apa kata abah?
“Kita tidak bawa pulang barang yang kita jumpa di jalan. Apa pun alasannya.”
Cina gemuk itu terkesima. Dia rasa terharu. “Haji sangat baik,” Kata Cina itu.
“Rupanya masih ada Melayu yang baik,” tambah Cina itu.
Ada orang yang akan menemukan kesempatan baik untuk merompak, pasti melakukannya. Alasan orang itu mungkin bermacam-macam, seperti awak pernah tanyakan kepada abah, “Meskipun untuk selamatkan negara dan ummah?”
Cina yang terharu itu mendakap awak. Buat seketika, awak membiarkan diri dipeluk Cina gemuk. Pengalaman itu terasa aneh. Ia satu keadaan maha sureal.
Awak pulang ke rumah. Isteri awak masih menonton tivi. Anak-anak sedang bersiap menjamah nasi beriani. Yang tua sedang menyenduk, yang bongsu sedang menyuap pertama. Awak menjerkah, “Jangan dimakan nasi beriani ini.”
Semua dalam rumah terpempan. Awak bersuara, “Jangan…jangan dimakan. Bukan kita punya. Tak tahu siapa punya. Ini disalah hantar.”
“Negara boleh terus berkembang jika ada ateis, tetapi tidak boleh berkembang jika ada pencuri,” kata abah mengelus gegendang telinga.
Di televisyen ada perutusan khas. Isteri awak berleter tentang moral. Tentang khianat. Tentang beza orang baik dengan orang jahat.
“Saya tahu ada yang marah dengan saya dan ada gelar saya sebagai pengkhianat. Saya bukanlah pengkhianat, naluri saya jelas, keberadaan saya di sini adalah untuk selamatkan negara.”
Malam itu bermimpi abah. Dia datang dengan senyuman. Abah hanya bercakap ringkas; “Haji sangat baik.”
Entah kenapa, untuk satu ketika setelah lama; awak akhirnya dapat berasa aman. Awak terjaga di tengah malam. Awak dapat berasa lega. Beban 50 sen zaman kecil-kecil dahulu itu seakan terangkat.
Awak terngiang kata sendiri; “Kita tidak bawa pulang barang yang kita jumpa di jalan. Apa pun alasannya. Apa pun alasannya.”
Ahad lepas, 29 Febr itulah yang tidak berlaku. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.