`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, January 18, 2021

Rebat elektrik dalam pakej PERMAI bukanlah diskaun sebenar, dedah Najib

 

PETALING JAYA: Rebat elektrik yang diberikan kepada semua pengguna domestik dan bukan domestik pada kadar 2 sen setiap kilowatt sejam seperti yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin petang tadi bukanlah diskaun yang sebenar, kata Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu berkata, sebaliknya, perkara itu sudah pun diumumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 23 Dis lalu.

“Ini bermakna tiada diskaun elektrik diberi kepada rakyat biasa walaupun ramai disuruh duduk rumah masa perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya menerusi catatan di Facebook beliau.

Najib berkata, rebat 2 sen setiap kilowatt sejam sebenarnya adalah penyelarasan caj elektrik mengikut formula tetap kadar kos pelepasan tidak seimbang (ICPT) yang dimulakan ketika pemerintahan Barisan Nasional dengan kadar akan dikaji setiap enam bulan mengikut kos bahan api semasa.

“Sudah tentu bil elektrik bagi bulan PKP ini akan lebih tinggi sebab semakin lama kita duduk rumah, semakin tinggi penggunaan elektrik.

“Sebab itu, wajar untuk kerajaan PN memberi diskaun elektrik sehingga 30% selagi PKP dilaksanakan.”

Petang tadi, Muhyiddin mengumumkan memberikan diskaun khas bil elektrik sebanyak 10% bagi tempoh Jan hingga Mac kepada enam sektor perniagaan di seluruh negara.

Ini meliputi pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.

Najib berkata, rebat bagi sektor komersial itu juga jauh lebih rendah daripada zaman pemerintahan Pakatan Harapan iaitu diskaun sebanyak 15% selama enam bulan bagi sektor yang terbabit, berbanding diskaun 10% untuk tiga bulan pada kali ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.