`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Thursday, February 25, 2021

Hentikan bantahan, langkah usir pendatang Myanmar ‘tidak dibuat terburu-buru’, kata pakar

 

Jabatan Imigresen mengizinkan tiga kapal tentera laut Myanmar membawa pulang pelarian Myanmar dan pencari suaka beberapa jam selepas menerima perintah mahkamah menghalang langkah tersebut. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik mempertahankan langkah kerajaan menghantar pulang lebih 1,000 pendatang tanpa izin ke Myanmar walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan sementara langkah itu.

Pakar Kajian Strategik dan Antikeganasan Universiti Malaysia Perlis Mizan Mohammad Aslam berkata, semua pihak perlu melihat pengusiran itu secara holistik demi keselamatan negara, bukannya membantah secara beremosi.

Katanya, langkah itu tidak diambil secara terburu-buru, malah dirancang sejak sekian lama dengan mengambil kira faktor hubungan diplomatik.

“Perlu diingat, kerjasama untuk menghantar pulang pendatang yang termeterai antara Malaysia dan Myanmar adalah julung-julung kalinya diadakan,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas bantahan beberapa kumpulan terhadap pengusiran tersebut.

Mizan Mohammad Aslam

“Ia adalag detik bersejarah dan mempunyai implikasi besar, terutama kepada hubungan dua hala diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Myanmar.

“Terma yang terkandung dalam perjanjian yang termeterai antara kedua negara ini pastinya tidak boleh dihuraikan kepada umum kerana ia melibatkan keselamatan kedua-dua negara.”

Mizan, yang juga ahli panel pakar deradikalisasi Kementerian Dalam Negeri, tidak menolak tindakan beberapa kumpulan membantah pengusiran itu dibuat atas kepentingan tertentu, termasuk agenda politik.

Beliau turut mencadangkan supaya Malaysia menyelesaikan isu berkaitan pelarian Myanmar termasuk Rohingya di negara asal mereka.

“Perlu dilihat juga prospek Malaysia dan Asean bekerjasama dengan kerajaan Bangladesh untuk memperkukuh kedudukan Pulau Bashar Chan yang dikhaskan untuk pelarian agar masalah ini tidak dibawa masuk ke Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Human Rights Watch (HRW) menggesa ketua pengarah imigresen digantung tugas dan satu siasatan dibuka berhubung penghantaran pulang lebih 1,000 pendatang tanpa izin ke Myanmar walaupun terdapat perintah mahkamah untuk menghalang langkah tersebut.

Walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan sementara untuk menghentikan pengusiran membabitkan hampir 1,200 pelarian Myanmar dan pencari suaka kembali ke tanah air mereka, Jabatan Imigresen mengizinkan tiga kapal tentera laut Myanmar untuk membawa mereka dari pangkalan tentera laut di Lumut, Perak, beberapa jam kemudian.

Sambil menyifatkan Jabatan Imigresen seolah-olah berada “di atas undang-undang”, timbalan pengarah HRW (Asia) Phil Robertson berkata, langkah itu “benar-benar keterlaluan dan tidak dapat diterima”.

Menurut Jabatan Imigresen, pendatang asing tanpa izin tersebut dihantar pulang ke Myanmar secara sukarela. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.