`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, April 16, 2021

5 tahun terpisah antara benua, bapa akhirnya bersatu dengan anak

 

K Arvind di luar Istana Kehakiman di Putrajaya. Beliau memperoleh perintah daripada Mahkamah Rayuan bagi hak penjagaan tunggal anaknya, Ziona Kashmirah.

KUALA LUMPUR: Selepas hampir lima tahun, seorang bapa akhirnya disatukan semula dengan anak perempuannya yang dilarikan ke New Zealand oleh isterinya.

Ia menjadi lebih bermakna apabila K Arvind dapat menyambut ulang tahun kesembilan anaknya itu, Ziona Kashmirah, hari ini bersama datuk dan neneknya di sini.

Disember lalu, mahkamah keluarga di Napier, bandar di Pulau Utara negara itu, memutuskan beliau mendapat hak penjagaan penuh Ziona. Dua beranak itu akhirnya bersatu semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4 April lalu.

Arvind, seorang pengurus projek, mewakili dirinya sendiri dalam prosiding yang diadakan secara maya, dengan bantuan peguamnya di Ipoh, Balakrishna Balaravi Pillai yang membantunya menyiapkan hujahan.

“Saya tidak dapat ke sana disebabkan wabak Covid-19 dan melantik peguam di New Zealand untuk berhujah bagi kes saya,” kata beliau kepada FMT.

Dengan bantuan seorang rakan di New Zealand, Arvind kemudian menghantar tiket penerbangan dan permit kecemasan yang dikeluarkan Jabatan Imigresen di sini, untuk diserahkan kepada mahkamah bagi membolehkan Ziona pulang ke Malaysia.

“Pada mulanya Ziona tidak menunjukkan emosi ketika kakitangan lapangan terbang menyerahkannya kepada saya. Namun dia terus mengenali saya apabila saya menyebut ‘Avi’,” kata beliau, merujuk kepada gelaran kanak-kanak itu kepadanya ketika dia masih kecil.

Arvind mengahwini S Rajinah di sini pada 2011 dan anak mereka dilahirkan setahun kemudian.

Masalah bermula pada 2015 selepas Rajinah, seorang surirumah, pergi ke New Zealand berseorangan untuk “bercuti” selama tiga bulan, sebelum melanjutkannya sehingga setahun.

Akhbar dalam talian New Zealand, Stuff, pada Disember 2018 melaporkan wanita itu mendakwa melarikan diri daripada “kehidupan dibelenggu keganasan dan penderaan” dengan Arvind.

“Dia kembali ke sini untuk perkahwinan adik perempuannya pada 2016,” kata beliau, dengan menambah, Rajinah membawa Ziona keluar dari rumah atas alasan kanak-kanak itu akan menjadi gadis bunga pada majlis perkahwinan itu di Rawang.

Setelah majlis itu selesai, Rajinah terus tinggal bersama ibu bapanya tetapi kemudian pergi ke Pulau Pinang sebelum membawa Ziona keluar dari negara ini tanpa pengetahuan Arvind.

“Sistem imigresen Malaysia kemudian mendedahkan mereka berdua pergi ke Arab Saudi dalam perjalanan ke New Zealand,” kata Arvind.

Beliau kemudian memperoleh hak penjagaan tunggal anaknya itu daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Oktober 2016, katanya.

Bagaimanapun, Rajinah turut melantik peguam untuk mendapatkan perintah penjagaan ex-parte interim di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Februari 2017 bagi membolehkan Ziona terus tinggal di New Zealand.

Rajinah kemudian memperoleh perintah penjagaan baharu daripada Mahkamah Tinggi di Ipoh pada Julai 2018, tanpa pengetahuan Arvind.

Arvind hanya mendapat tahu mengenai perintah Mahkamah Tinggi Ipoh itu selepas pegawai imigresen memaklumkan bahawa ia digunakan Rajinah untuk memohon dan melanjutkan visa New Zealand serta pasport Malaysia Ziona.

Mahkamah Rayuan kemudian mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh itu kerana diperolehi selepas perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dikeluarkan buat Arvind.

Arvind kemudian menghantar perintah Mahkamah Rayuan itu kepada pihak berkuasa imigresen New Zealand untuk membuktikan Rajinah tidak lagi mempunyai hak penjagaan tunggal Ziona, dan kanak-kanak itu perlu dikembalikan kepada bapanya di Malaysia.

Pada masa sama, Rajinah memohon kepada mahkamah di Napier untuk mendapatkan hak penjagaan Ziona.

Balakrishna berkata, Rajinah telah didakwa di mahkamah di New Zealand kerana melakukan penipuan imigresen, dan diperintahkan tahanan.

FMT juga difahamkan, Rajinah kini tinggal dengan lelaki lain dan mempunyai dua anak bersamanya di New Zealand walaupun dia masih isteri sah Arvind.

“Kami belum bercerai dan saya akan memikirkannya kemudian, namun buat masa ini saya mahu menghabiskan masa bersama anak saya,” kata Arvind. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.