`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, April 16, 2021

Orang ramai bersesak datang dari segenap penjuru, kata peniaga bazar Ramadan

 

Lonjakan kes Covid-19 baru-baru ini menimbulkan kebimbangan mengenai bazar Ramadan.

PETALING JAYA: Kesesakan sehingga berlaga bahu di bazar Ramadan berpunca daripada pengunjung yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan masuk dari semua arah, kata peniaga, tetapi ia boleh ditangani dengan beberapa cara, menurut seorang pakar kesihatan.

Setiausaha Agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Mohamed Zamri Mohammed, berkata mereka telah meramalkan akan berlaku kesesakan di bazar tertentu tetapi pengunjung tidak mematuhi peraturan, walaupun terdapat SOP yang ditetapkan.

Walaupun pintu masuk dan keluar telah ditentukan, pengunjung “datang dari semua arah, mengerumuni tempat itu”, kata beliau, kepada FMT.

Ia dibangkitkan setelah gambar bazar Ramadan yang sesak dengan tahap kepatuhan rendah tular sejak dua hari lalu. Beberapa bazar ini terletak di Putrajaya, Melaka, Kuala Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Lonjakan kes Covid-19 baru-baru ini turut menimbulkan kebimbangan mengenai bazar Ramadan. Hari ini sahaja, 2,551 kes baharu dilaporkan.

Zamri berkata, penganjur bazar mematuhi SOP, tetapi oleh kerana bazar diadakan di tempat terbuka, penguatkuasaan yang lebih ketat diperlukan untuk memastikan orang ramai mematuhi peraturan.

Pakar kesihatan Dr Lee Boon Chye bagaimanapun berkata, ada cara untuk mengawal kesesakan.

Beliau mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan mengurangkan jumlah peniaga kepada separuh dan menempatkan mereka di tempat lain, sambil menambah, ini akan memudahkan pasukan penguatkuasa mengawal orang ramai.

Tambah Lee, lebih banyak bazar bersaiz kecil perlu dibuka di tempat lain bagi mengelakkan orang ramai berkumpul di satu lokasi.

“Lot-lot peniagaan juga perlu dijarakkan lebih jauh antara satu sama lain,” kata beliau kepada FMT.

Ahli Parlimen PKR itu menambah, pihak berkuasa tempatan seharusnya tampil dengan rekaan yang lebih baik bagi menggalakkan laluan sehala di lot terbabit.

“Perlu difikirkan cara baharu untuk mengelakkan kesesakan dan penyeberangan tidak terkawal ke bazar,” tambah beliau, sambil mengingatkan bahawa jumlah kes berisiko melonjak sekiranya kesesakan orang ramai tidak dikawal.

Sejak dua hari lalu, jumlah kes telah melebihi paras 2,000. Dua perintah sekatan telah dikenakan di negara ini, iaitu pada Mac hingga Mei tahun lalu, dan Januari hingga Mac tahun ini.

Umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 13 Mei. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.