`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, April 16, 2021

Sukar bagi Warisan bergerak sendirian, kata penganalisis

 

Pengumuman Presiden Warisan, Shafie Apdal bahawa parti itu kini ‘minus’ Pakatan Harapan, dilihat membuka ruang untuk bekerjasama dengan gabungan lain, termasuklah Perikatan Nasional atau Gabungan Rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Penganalisis berpendapat, agak sukar bagi Warisan untuk bergerak ke hadapan sekiranya tidak bekerjasama dengan mana-mana gabungan politik pada pilihan raya Umum (PRU) akan datang.

Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, selepas Presiden Warisan, Shafie Apdal mengumumkan bahawa Warisan kini “minus” Pakatan Harapan (PH), mereka dilihat membuka ruang untuk bekerjasama dengan gabungan lain, termasuklah Perikatan Nasional (PN) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Tindak tanduk Shafie itu seolah-olah menunjukkan beliau sedang menunggu tawaran terbaik daripada PH atau PN.

“Sekiranya PN membuat tawaran lebih baik berbanding PH, maka sudah pasti Warisan akan menimbangkan tawaran berkenaan bagi memastikan ‘survival’ atau kelangsungan parti itu.

Awang Azman Pawi.

“Bagaimanapun, jelas agak sukar bagi Warisan bergerak ke depan tanpa dukungan PH atau PN dan GRS,” katanya kepada FMT.

Azman berkata, Warisan juga dijangka mengadakan rundingan kerjasama dengan gabungan parti pembangkang di Sabah pada PRU nanti.

“Jika gagal, maka Warisan akan cuba meneruskan kerjasama dengan PKR, DAP dan Upko sebagai Warisan Plus seperti pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

“Sekiranya tiada kerjasama antara mereka, peluang Warisan untuk berkembang dan meluaskan kekuatan parti pada PRU akan terhambat,” katanya.

Sementara itu, pensyarah UMS, Romzi Ationg pula berkata, walaupun beberapa kenyataan pemimpin Warisan dan PKR seolah-olah membayangkan dua parti itu bakal memutuskan kerjasama, namun tidak mustahil mereka akan kembali “berpegangan tangan” untuk menghadapi PRU nanti.

Katanya, kegagalan Warisan dan PH menyelesaikan isu kerjasama antara mereka juga pasti memberi impak signifikan ke atas potensi kemenangan parti masing-masing.

“Politik Sabah selalunya ada kejutan. Ketika ini, blok pembangkang kelihatan tiada kesatuan.

Romzi Ationg

“Mungkin Warisan dan Upko masih mempunyai kerjasama politik yang baik, namun kerjasama antara parti lain dalam Warisan Plus, iaitu PKR serta DAP masih samar.

“Malahan, Raymond Ahuar (ketua Pemuda PKR Sabah) mula mencanang kemungkinan PKR tidak lagi bersama Warisan Plus dan ini memungkinkan blok pembangkang berpecah dalam PRU akan datang.

“Bagaimanapun kemungkinan blok ini bersatu semula masih ada berikutan keperluan menawan kerusi yang dipertandingkan pada PRU15,” katanya.

Romzi berkata, kegagalan Warisan Plus menyelesaikan isu kerjasama antara mereka juga akan memberi impak signifikan ke atas potensi kemenangan calon masing-masing.

“Ramai meramalkan Warisan memenangi lebih banyak kerusi jika bersendirian atau bekerjasama dengan parti tempatan.

“Persaingan sudah semestinya sengit. Oleh itu, isu pemilihan calon dan manifesto wajar menjadi tumpuan sama ada di pihak pembangkang mahupun blok pemerintah.

“Ini kerana wujud kemungkinan kesepakatan politik diragui di kedua-dua blok,” katanya.- FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.