`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, May 25, 2021

Hilang peluang keemasan

 

Ingat lagi dakwaan bekas Ketua Polis Negara? Tak kan lupa kot! Baru sebulan berlalu sejak Hamid Bador mendakwa ada campur tangan politik dalam urusan polis. Juga gejala rasuah yang menyaksikan orang politik lompat parti. Ingat kan?

Mengenai dakwaan campur tangan orang politik dalam polis, nampaknya seolah tidak ada tindakan susulan pihak berkuasa. Tiada perkembangan. Sunyi. Mungkin sesuatu penyelidikan dijalankan secara senyap. Mungkin tumpuan sedang diberi terhadap memerangi Covid-19. Waullahualam.

Mengenai dakwaan ada unsur rasuah ketika orang politik lompat parti, Hamid, ketika membuat dakwaan itu, menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia siasat.

Sebenarnya, apa yang dikatakan Hamid sudah lama diperkatakan orang ramai. Atau ramai dalam kalangan orang ramai. Ertinya sebahagian rakyat. Secara senyap atau pun dalam kalangan sesama sendiri. Semasa borak-borak dan sembang-sembang kosong.

Ramai yang mengesyaki orang yang berpaling tadah tinggalkan parti, lompat, dan sokong parti lain (terutama parti yang memerintah) telah disogok dan terima habuan. Kata-kata seperti bertukar parti demi rakyat dan negara ditolak. Lazimnya.

Seperti dikatakan tadi, ramai percaya habuan besar “memujuk” aksi lompat parti. Itu, seperti dikatakan tadi, adalah syak wasangka atau persepsi. Satu persepsi cukup negatif. Persepsi, seperti kita kerap dengar, adalah segala-galanya dalam politik. “Perception is everything in politics”.

Bagaimanapun, oleh kerana orang ramai tidak ada bukti kukuh untuk mengiringi apa yang mereka percaya, syak tinggal syak, persepsi kekal persepsi. Namun ini bukan bererti mereka sudah tidak percaya. Mereka masih percaya apa yang mereka percaya. Cuma, bila tidak ada butki dan orang yang mereka syaki bebas berpolitik seperti biasa ke sana dan ke sini, apa yang dipercayai dipendamkan. Ia tetap ada, cuma dipendamkan.

Apabila Hamid berkata beliau juga percaya ada rasuah apabila lompat parti berlaku, ramai yang teruja. Kepercayaan yang terpendam membara.

Imbas kembali apa yang dikatakan Hamid pada sidang media terakhirnya selaku KPN pada 30 April sebelum beliau bersara.

“Saya lawan rasuah dalam pasukan (PDRM), tapi saya tengok dalam politik rasuah berlaku merata-rata tempat. Mabuk kuasa sanggup melakukan perbuatan memberi sana mengugut orang ini. Itu rasuah namanya. Rakyat Malaysia dah muak. Sekejap katak melompat sana sekejap katak berbunyi sana. Apa tu? Ada unsur rasuah. Naik ‘private jet’. Mana datang duit? Pergi Sabah. Tiba-tiba seorang mengaku nak lompat.”

Cukup di situ, meskipun panjang lebar lagi yang didakwa Hamid. Ramai tentunya sudah baca laporan media dan tengok video sidang akhbar beliau. Video itu masih boleh ditontoni di alam maya.

Kita tahu Hamid meminta SPRM “masuk dan siasat. Jangan takut”. Kata beliau, SPRM tidak boleh membiarkan perkara itu berleluasa “seolah-olah negara kita ini tidak ada undang-undang – siapa-siapa pun boleh buat, untuk membeli ini”.

Sebelum itu Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dilapor telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dengan membawa dakwaan ada Ahli Parlimen partinya (PKR) mengaku ditawar sogokan untuk lompat parti.

Pada tahun lalu, Malaysiakini memetik Azam berkata, SPRM sudah menghantar laporan kepada Jabatan Peguam Negara mengenai satu rakaman audio yang dikatakan mirip suara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Individu dalam rakaman itu berkata Ahli Parlimen Umno boleh dipikat untuk menyertai Bersatu (parti pimpinan beliau) jika ditawarkan jawatan menteri atau jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tidak ada pengesahan sama ada audio itu sememangnya suara Muhyiddin atau sebaliknya. Belum ada kenyataan lanjut pihak berkenaan mengenai tindakan atas laporan SPRM itu.

Pada 9 Mei lalu, FMT pula menyiarkan dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa ada kalangan pemimpin Bersatu menawarkan diri untuk melompat ke Pejuang (parti Mahathir sekarang yang pendaftarannya belum diluluskan pihak berkuasa) jika Pejuang “boleh menandingi imbuhan sehingga RM70,000 sebulan yang diterima mereka sekarang”.

Segala laporan media ini menggambarkan politik wang tetap menjadi realiti di negara ini, malah ramai berpendapat, amalan itu semakin buruk.

Berbalik kepada sidang akhbar Hamid tempoh hari khususnya saranan beliau kepada SPRM menyiasat rasuah lompat parti.

Pada 4 Mei lalu, Bernama memetik Azam sebagai berkata SPRM hanya bertindak menyiasat ahli politik yang lompat parti jika terdapat bukti adanya unsur penawaran wang.

Sebaliknya, kata Azam, mana-mana ahli parti politik bebas lompat parti kerana tidak ada undang-undang yang boleh digunakan ke atas perkara itu. “Tidak ada lagi undang undang melarang mana-mana pihak untuk pergi ke parti lain. ‘Anti-hopping law’ tidak wujud. Ini bukan satu kesalahan.

“Yang SPRM siasat adalah ke atas sebarang bukti penawaran wang berlaku seperti semasa meraih sokongan,” kata beliau kepada Bernama dalam laporan yang dilihat sebagai susulan terhadap gesaan Hamid kepada SPRM.

Tidak dilaporkan sama ada SPRM sedang mengumpul bukti yang diperlukan atau tidak. Berdasarkan kenyataan Azam itu bolehkah disimpulkan SPRM tidak akan bertindak terhadap saranan atau gesaan Hamid? Maksudnya, tiada siasatan dijalankan?

Bagi saya, jika tiada siasatan, ahli politik yang lompat parti terlepas peluang keemasan atau dinafikan peluang keemasan bagi membersihkan nama mereka jika mereka benar-benar bersih dan melompat “demi menyelamatkan rakyat dan negara”.

Tanpa siasatan yang boleh membersihkan nama masing-masing, mereka akan sentiasa dihantui syak, persepsi negatif, dan tuduhan rakyat. Mereka akan terus dilihat sebagai penerima habuan untuk lompat parti walaupun jika benar tidak ada habuan yang diterima. Gelaran “perasuah” akan tersemat bak nyanyian Alleycats – hingga akhir nanti. Kesian. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.