`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Thursday, June 24, 2021

Kes bunuh diri meningkat ketika pandemik, kerajaan perlu bantu golongan terkesan teruk, kata Anwar

 

Anwar Ibrahim berkata dengan peningkatan kes bunuh diri sebanyak 20%, iaitu daripada 188 kes pada 2018 kepada 226 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu, usaha perlu dilakukan bagi membantu golongan terkesan teruk akibat pandemik.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan susulan peningkatan kes bunuh diri yang dilaporkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara tahun lalu.

Beliau berkata, dengan peningkatan kes bunuh diri sebanyak 20%, iaitu daripada 188 kes pada 2018 kepada 226 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu, usaha perlu dilakukan bagi membantu golongan terkesan teruk akibat pandemik.

“Kita mesti mencari jalan, ikhtiar, hubungi mereka yang kadang-kadang sesak, susah bantu dan cari jalan supaya jangan menjurus keadaan ini (bunuh diri),” katanya menerusi program Bicara Anwar “Benarkah kerajaan berjaya kawal pandemik Covid-19?” di Facebooknya malam ini.

Anwar turut membidas kenyataan segelintir menteri yang menyifatkan kerajaan berjaya menguruskan pandemik Covid-19 dengan baik dan banyak kejayaan besar dilakukan, sedangkan rakyat sebenarnya masih dalam keadaan susah.

Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan mengkaji semula strategi pelaksanaan penuh perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika ini kerana ia didakwa tidak berkesan dan gagal menurunkan kadar jangkitan Covid-19.

Katanya, apa yang perlu kerajaan lakukan adalah meningkatkan ujian saringan harian Covid-19 pada kadar lebih tinggi melebihi 150,000 sehari seperti disaran pakar dari dalam dan luar negara bagi memastikan penularan dapat dikawal.

Anwar berkata, jika kerajaan enggan mengubah cara pelaksanaan PKP ketika ini dengan lebih baik, beliau menyarankan supaya kerajaan baharu dipilih menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bawah pimpinan Muhyiddin Yassin.

Beliau juga mempersoalkan jumlah saringan harian ketika ini iaitu sekitar 50,000 berbanding lebih 126,000 beberapa bulan lalu, menyebabkan kadar jangkitan nampak menurun sekitar 4,000 dan 5,000.

Katanya, angka jangkitan turun kerana saringan harian juga menurun daripada 90,000 kepada 50,000 sehari.

“Padanlah angka kes positif menurun kepada 4,000 atau 5,000. Kalau buat ujian 150,000 sehari, kes (akan) lebih tinggi walaupun PKP penuh dilaksanakan, ini bentuk kekeliruan dan penipuan kepada rakyat,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.