`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Thursday, July 22, 2021

Bomoh Muda

 

Amelia mengajak saya bertemu Bomoh Muda. Menurut Amelia, ini saja caranya. Saya kurang selesa. Malah saya tidak percaya ini sahaja caranya. Lagipun, saya tidak begitu meyakini bomoh dan dunianya. Masakan kita terlalu memuja bomoh? Siapakah bomoh ini? Bagaimana kalau kita terjebak dalam dunia bomoh-membomoh? Tidakkah itu menakutkan?

Akan tetapi Amelia bertegas, dia menyanggah saya dengan mudah. “Kau pensyarah di Institut Alam dan Tamadun Melayu, takkan kau tak tahu peranan dan kepentingan bomoh?”

Memang, kalau direnungkan seluruh aspek Melayu itu, bomoh dan perbomohan sukar dipisahkan dari orang Melayu. Prof Mohd Taib Osman, seorang ahli antropologi terkemuka dalam “Patterns of supernatural premises underlying the institution of the Bomoh in Malay Culture” ada menyebutkan status bomoh dalam masyarakat. Status itu sulit dipertikaikan:

“The bomoh is an indispensable figure in a Malay village: in fact, without a bomoh, the village community is felt to be incomplete. But it is also a common belief among Malays that however large a bomohs earnings are, they cannot bring him happiness or riches because his ilmu is hot (panas). And moreover since a bomoh may traffick with those forces of evil, his end will come on his deathbed in a painfully lingering manner.

“It should be borne in mind too that Islam recognises the existence of magic (sihr), but the practice is forbidden because it is regarded as the work of evil creatures such as the devil (shaitan or iblis) and the ‘infidel jin’. The place of bomoh in a Malay community is not to be looked at as an institution outside the character of the community as a Muslim community, but rather as part of it.”

Oleh sebab mengambil kira itu, saya pun pejam mata menganggap ia sebagai sebahagian kerja lapangan. Saya anggap yang saya temukan nanti itu bukan ahli sihir, tetapi, saya mesti melihat ini sebagai kerja seorang pensyarah dalam bidang pengajian Melayu. Yakni untuk mengerti perihal bomoh.

Pada mulanya saya agak kaget. Dalam benak saya menggambarkan bomoh yang akan ditemui itu tinggalnya di ceruk Felda, atau di puncak bukit yang belum diteroka. Saya juga mengkhayalkan bomoh itu sudah tua, terkumat-kamit mulutnya, dan membakar kemenyan atau setanggi. Sepertinya bomoh yang lazim ditemui oleh para profesor di universiti untuk tujuan mengasap kedudukan bagi naik pangkat jawatan VK7.

Rupanya bomoh itu masih muda. Usianya baru 22 tahun. Dia malah memberitahu saya masih menuntut di sebuah kolej swasta yang pengasasnya baru meninggal dunia. Bomoh itu pula mengenakan seluar pendek Adidas, dan t-shirt cool tertera kata-kata: “Never Stop The Hustle”.

Bomoh tersebut agak sasa. Misai tipis-tipis. Rambut ada kaler mahogani jarang-jarang. Kalau dia kenyit mata, agaknya Amelia terus rebah. Bomoh muda itu tergolong kacak. Ada iras Kim Seok-jin.

Akan tetapi saya makin cuak. Sebabnya, bomoh muda itu menurut saya mengisyaratkan dia kurang pengalaman. Banyakkah ‘ilmunya’ bomoh muda ini? Pun jika saya mengambil kira tulisan Taib pada 1972 itu, ‘ilmu’ bomoh itu banyak bergantung kepada pewarisan, bukan sangat dari menuntut. Kadang ia diturunkan dalam mimpi. Bomoh adalah institusi. Tulis Taib lagi:

“But the ilmu is not what makes a bomoh a bomoh: it is more on the qualities ascribed by the culture to the office occupied by a person that causes one to be accepted as a bomoh. Even the spells and rituals performed by the bomoh are not so much his ilmu or something personally attributed to him, but rather they are an inheritance from the past or a revelation communicated in a dream.

“In other words, it is the institution rather than the person or his ilmu which is significant for the bomoh in the eyes of his culture.”

Bomoh muda itu tinggal di sebuah pangsapuri menghadap taman lampu-lampu WaterPark. Jantung saya berdetak dan berdebar apabila kami melangkah masuk. Sebaik pintu dibuka asap sesak menyerbu keluar. Hairan, tidak berbunyi pula penggera.

Bomoh muda itu mengajak kami masuk. Dia membuat isyarat untuk tidak mahu berjabat tangan. Kami duduk di atas sebuah sofa kusam. Ruang tamu pangsapuri itu nampak semak dan tidak berkemas. Ada bekas pembakaran, lilin, duit syiling 50 sen jenis lama, kotak mancis, kertas-kertas yang sudah dicetak dengan muka orang berbagai-bagai pose, balang berisi kuih suji lebihan Raya Puasa, dan beberapa boneka kecil yang tampak diperbuat dari kurma lenyek.

Dalam kepala saya, tentu nama boneka itu Latta atau Uzza, boleh diisi dalam kocek, dan kalau lapar boleh dipatahkan di mana-mana bahagian untuk dimakan.

Saya agak kesemputan oleh asap yang terapung dalam rumah. Sementara Amelia berbasa-basi saya minta izin untuk menggunakan tandas kerana ingin membuang air kecil. Bomoh muda itu nampaknya macam tidak selesa. Akan tetapi saya memandangnya dengan muka menuntut dan mata separuh mengecam. Saya bertegas yang saya memang mahu terkencing sangat. Saya malah bersuara, “Dik nak terkencing sangatlah.”

Akhirnya saya dibenarkan meminjam tandas. Saya menempuh sebuah bilik yang terdedah pintunya. Apabila saya menjenguk, terlongo saya. Di dalamnya ada jejehan dan lecak darah. Tidaklah saya dapat memastikan itu darah apa. Kalau darah manusia, habislah nyawa. Lampu kemerah-merahan dan unggun api yang masih menyala. Barangkali di sinilah punca asap yang melemaskan itu.

Tandasnya sangat bersih. Saya tidak menjangkakan itu. Malah, seakan boleh tidur di dalamnya. Pada dinding tandas tertampal gambar Britney Spears dengan contengan di kaki gambar: “Free Britney”. Saya telan air liur, dan melepaskan hajat kecil. Britney melihat saya. Saya melihat Britney.

Apabila saya kembali ke sofa, Amelia tersenyum dan memberitahu saya. “Ustaz kata yang kau nampak itu bukan darah manusia. Tapi darah Wagyu. Darah lembu Wagyu.”

Saya cuma “Ooo”, dan membalas dengan senyuman acuh tak acuh.

Amelia menambah semacam untuk meyakinkan saya, “Ustaz kata dia memang masih muda. Tapi ilmu dia dapat ini daripada opah cu dia. Asal Padang Rengas tapi sekarang dah meninggal dunia dan kebumi di Perancis.”

Saya makin “Oooo”. Dalam kepala saya membenarkan apa yang Taib catatkan dulu-dulu dalam kertas akademiknya itu:

“There are two fundamental ways by which one can become a bomoh. The first is to acquire by learning (menuntut) the ilmu from another bomoh and the second is through an extraordinary situation or experience, such as the inheritance of the special quality within a family (baka), a dream, possession of a helper spirit (akuan), chance encounter with a supernatural being or the acquisition of objects which have the quality to cure sickness.

“Becoming a bomoh does not only mean the acquisition of the ilmu, but also the transference of the teacher’s special endowment (peturun) to the pupil.”

Selepas saya duduk di sisi Amelia, teman saya itu pun membuka niat sebenar. “Bukan, bukan saya nak bomohkan orang atas-atas sebab bagi saya markah rendah tu. Memang pemarkahan tak adil itu menjejaskan peluang saya naik pangkat. Saya dah aim nak jadi profesor masa PKP ini, walaupun tak berapa nak banyak paper saya terbitkan. TNC kata jangan risau, saya orang dia. Kalau orang dia senang. Bukan bidang pun boleh jadi. Tapi itulah ada orang pentadbiran dengkikan pula saya.”

Amelia potpetpotpet macam buntut zirafah.

Asap dari kamar sebelah tandas merebak kembali membuatkan dada saya serasa berat. Amelia mengeluarkan foto dari tas tangan. Bomoh muda itu merenung tas tangan Amelia, seraya bertanya kagum; “Mini Boîte Chapeau kah itu?”

Mata Amelia bercahaya, “Ya Allah pandai ustaz!”

Bomoh muda hanya mengangguk, menjeling kepada saya. Bomoh muda itu mengambil foto yang diunjukkan. Dia lekas berkerut. Giliran saya pula berkerut. Saya menjungkit sedikit punggung ingin melihat foto siapakah yang diajukan Amelia. Tergamam juga saya melihat wajah pada kertas tercetak itu. Tak patut sungguh Amelia.

Foto itu wajah seorang ahli politik. Bomoh muda memandang Amelia sungguh-sungguh, dan dengan mulut yang terbuka sedikit bertanya, “Kenapa?”

Amelia yakin bersuara, “PKP tak tamat-tamat. Dah tukar nama pula jadi Fasa 1. Nilai ambang tak capai-capai. Abang saya sekeluarga meninggal sebab Covid. Saya dah tak tahan dengan gagal, dengan bangsat, dengan tipu, dengan sial, dengan celaka. Ini semua pembunuhan. Ustaz tolonglah buatkan mereka ini. Bagi mampus ke. Bagi tergolek ke.”

Bomoh muda menarik nafas. Saya nampak nafas itu terkandung feudalisme. Perlahan bomoh muda menyatakan, “Ilmu kawe tak lut dengan orang-orang besar ni. Kita boleh buat dengan orang biasa-biasa saja. Orang besar-besar ini mereka kayangan…kayangan tak lut dek ilmu setan iblis ni. Mereka turunan Alexander the Great. Lagipun orang besar-besar ini semua tok guru ustaz di belakang mereka dan doakan untuk mereka. Khatib boleh baca khutbah sebak menangis sajalah. Takat itulah. Kayangan-kayangan ini mereka terdinding. Tak lut.”

Amelia bingkas. Mukanya tidak puas hati. Amelia pandang saya, “Dr Faizal ayuh balik.”

Tidak semena-mena melepas geramnya, Amelia hayunkan Mini Boîte Chapeau sampai terkena pundak kepala bomoh muda. “Babi punya ahli sihir, babi tau. Dengan orang biasa jadi lah pula ilmu kau ya? Kalau dengan banker, dengan segala nong tak lut pula ya. Bedebah.”

Dalam perjalanan pulang saya tak berani bersuara. Nafas Amelia serasa berat. Apabila melepasi tol Cheras Selatan, Amelia kedengaran menggumam perlahan.

“Zal, kita kena tunggu pilihan raya.” - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.