`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, September 24, 2021

Perceraian meningkat, lebih ramai anak-anak akan terpesong, kata pakar keluarga

 

Anak-anak boleh menjadi mangsa gengsterisme atau penyalahgunaan dadah jika mereka salah bergaul. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Kumpulan aktivis dan ahli psikologi memberi amaran mengenai kemungkinan peningkatan insiden gengsterisme dan penyalahgunaan dadah berikutan laporan bahawa lebih 76,000 notis perceraian difailkan di seluruh negara antara Mac 2020 dan Ogos tahun ini.

Pengerusi Focus on the Family Malaysia Lee Wee Min dan ahli psikologi Fauziah Mohd Saad daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata, anak-anak yang terabai mungkin terjebak dengan pergaulan yang salah untuk mengatasi trauma akibat perceraian ibu bapa.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini memberitahu Dewan Rakyat, 76,786 notis untuk kes perceraian difailkan di seluruh negara dalam tempoh 17 bulan yang berakhir bulan lepas.

Kata Lee, perceraian boleh meninggalkan kesan yang berlarutan pada keperibadian anak-anak.

Tambahnya, anak-anak cenderung mencari identiti ketika berinteraksi dengan rakan sebaya dan boleh menjadi mangsa gengsterisme atau penyalahgunaan dadah jika bergaul dengan individu-individu yang tidak baik.

“Kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun biasanya berasa bingung dan kehilangan semasa proses perceraian dan penting bagi kedua ibu bapa untuk menjelaskan keadaan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, remaja juga rentan dan mereka mungkin menjadi marah dan membenci salah satu atau kedua-dua ibu bapa mereka.

Mereka kemudian mungkin bergaul dengan rakan sebaya yang dapat menyesatkan mereka, tambahnya.

Fauziah berkata, penting bagi anak-anak diberikan sistem sokongan yang sempurna oleh ahli keluarga dan guru.

Katanya, mereka memerlukan teladan yang baik untuk mengelakkan mereka daripada pergaulan yang salah dan mengambil jalan yang terpesong.

“Anak-anak perlu perhatian dan mereka tidak akan tahu siapa yang dapat mereka percaya atau hormati jika mereka tiada hubungan yang sihat dengan ibu bapa.

“Ini akan mengakibatkan mereka mengalami tekanan yang hebat dan mungkin terjebak dengan kemurungan,” katanya.

Kedua-dua Lee dan Fauziah berkata, perceraian biasanya terjadi apabila pasangan tidak memahami satu sama lain atau tertekan akibat masalah kewangan atau lain-lain.

“Perkahwinan memerlukan kerja keras dan hubungan yang tegang tidak terjadi dalam tempoh semalaman,” kata Lee.

“Biasanya ada masalah mendalam yang sering dielakkan pasangan.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.