`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, September 23, 2021

Sindrom Sultan

 

Sudah lama saya perhatikan, kalau ada orang kenamaan, atau orang besar turun padang; katakanlah ke hospital, ke jeti muara, atau ke mana-mana kawasan kumuh yang hapak dan melarat ramai orang akan pakat kerumun. Memang tak ada sebab untuk mengerumuni orang besar, orang kenamaan atau bangsawan ini pun. Tapi ramai orang akan tetap kerumun juga. Mereka akan tertinjau-tinjau dan tertenyeh-tenyeh muka juga untuk mendapat sesaat dua sekilas melihat wajah VVIP tersebut.

Hati mereka puas kalau dapat menatap. Maka “betullah orangnya hitam tampuk bertompok manggis dan tinggi-tinggi dengan sedikit buncit”. Atau “betul lah orangnya gendut mulut ikan puyu dan botak-botak di tengah tetapi suka tersengih”. Atau “betullah gayanya ada mak cik-mak cik jalan kengkang-kengkang banyak”. Atau “sahlah kata orang yang dia pesen orangnya suka berfesyen warna-warni macam warna kuih lapis”. Atau, “yalah orangnya sembab-sembab dan jalan pun tak berapa macam nak larat macam baru lepas kimoterapi”.

Selepas dapat menatap dan menganalisis itu, akan dikongsikanlah pengalaman sesaat dua itu menjadi 10-20 minit, dengan sedikit penokoktambahan. Kalau memang menyampah, maka yang diadun ialah ada rasa menyampah. Kalau memang gemar, maka diaduk rasa kekaguman.

Begitu jugalah kalau kedengaran ada artis sesat, walaupun di pasar malam. Padahal dia pun orang juga macam kita. Macam berdedai diekori dibuntuti dan kalau nasib baik dikenyit mata dan dijuih mulut untuk diajak sama berfotoan. Manalah tahu dapat berpeluang jadi macam filem Notting Hill. Akan ada puji puja yang muluk. Artis pun ada rasa bagai dituak diketum dan tumbuh kepak kiri kanan bawah ketiak boleh melayang hinggap di awan biru.

Penyakit kekaguman ini adalah penyakit atau gejala Sindrom Sultan.

Sindrom Sultan adalah sejenis penyakit jiwa yang mewabak secara rawak, dan lekas menghinggapi mereka yang mudah terpesona (cepat perasan “crush”). Antara ciri simptomnya ialah keinginan untuk mendekati, memonopoli, dan mengawal sang “crush”. Supaya orang kenamaan atau pembesar yang ditumpukan itu memberi perhatian hanya kepada dirinya seorang. Hanya dia sahaja.

Maka VVIP yang kadang, konon berpura-pura turun padang dengan bertongkat itu meninjau-ninjau katakan kawasan malapetaka, atau prasarana milik kerajaan sambil menyapa mana-mana aci atau nyonya yang kebetulan lalu-lalang ikut terjungkit buntutnya; VVIP ini akan dilutu, dihurung, dan dilangaulalat seraya ada sepuak menujah telefon bimbit yang Android dan yang tidak Android untuk mendapat secebis dari momen tersebut.

Jika orang kenamaan itu ustaz atau ustazah lagilah parah. Kura tangan mufti atau ustaz akan ditarik-tarik untuk diciumi, dilumuri, ditonyoh-tonyohkan. Alasannya orang berilmu. Air bekas minumnya akan direbut-rebut untuk berkat. Kalau ustaz itu matanya kuyu, akan disabitkan sebagai ala-ala Korea. Kalau ustazah itu tidak waras, akan dipuja dan dilebressekan. Asalkan masyhur sedikit, mudahlah rasa terpesona.

Ada satu lagi simptom Sindrom Sultan, jika ia menghinggapi bos-bos; maka staf bawah atau penjawat awam akan berkelam-kabut menatang mereka bagai minyak yang penuh. Bagaikan Sultan. Bos diibaratkan Raja Sehari, cuma bezanya dengan pengantin baru ialah, bos akan menjadi Raja Hari-hari.

Saya misalnya pernah melihat staf bawah mengopekkan tulang ikan lauk masak asam pedas bosnya kerana khuatir bosnya nanti tercekik, tak pasal mati pula nanti. Juga, saya pernah melihat seorang staf yang tak senang duduk bila makan tengahari. Saya pula yang rasa rimas gelisah melihat punggung lepernya itu dikisar digerak digesel pada permukaan kerusi dengan ganas sekali. Bila saya tanyakan – kenapa, ada kurap di burit ke – dia menjawabkan rasa risaunya kerana bos itu baru dipindahkan dari Sarawak, dan tak pandai makan pedas ala orang Naning; takut nanti pijar bibirnya ada kah air sirap merah untuk diteguk berdekatan?

Nah, Sindrom Sultan ini bila ia menghinggapi bos-bos dia akan rasa dirinya disultankan. Dia pun rasa seronok. Buah zakar yang sudah labuh itu akan rasa makin labuh mencecah permukaan lantai kalau ada staf yang menatang, menetek dan mengapung ke sana sini. Bos sudah perasan sultan apabila ramai yang mengampu bodek.

Datang sekali dengan kekaguman staf bawah yang berlebihan ini ialah bila bos itu makin terbuai perasaan dan memang yakin dia adalah sultan. Atau mini sultan. Maklumlah menjadi JUSA ada kenderaan peribadi, ada drebar sendiri, ada tandas sendiri, ada bilik sendiri boleh dikunci untuk tidur sampai tengahari (dengan alasan ada webinar dengan luar negeri padahal sekadar 8 minit), ada lagi kerani tukang kacaukan Nescafe Latte Caramel Premix seuncang bila rasa haus, bahkan ada peon tolong pakukan kasut tumit tinggi yang patah bila terpijak jeriji besi atas lubang longkang.

Bila bos perasan sultan atau sultanah, dia rasa staf bawahnya siap melakukan apa sahaja. Maka kerjanya semua dititah-titah belaka. Dia akan mengatakan, “Saya telah pun mengarahkan Encik Sameon buat gitu gini tempoh hari?”. Encik Sameon yang memang dilanda Sindrom Sultan cara lain (iaitu penyakit terpesona kepada “crush”) akan segera mengiyakan dan mengesahkan arahan itu. Padahal kerja tak pernah bergulir. Kerja tak pernah dibahagi sesama staf. Bahkan sebetulnya kerja itu bukan kerja sesiapa tetapi sebaliknya kerja si bos itu sendiri. Dia tak buat kerana dia perasan dirinya sultan. Dia sangka dirinya raja sehari!

Bos-bos ini tiba lewat ke acara, kalau dalam mesyuarat dia akan minta dalih atau membuat alasan untuk keluar awal. Contoh dia akan membuat alasan yang dia ada mesyuarat pada pukul 1 tengahari di hari Jumaat, padahal kita tahu dia bukan pun kaki sembahyang Jumaat. Bos-bos ini akan datang ke sesuatu tempat dengan pengiring yang ramai. Kalau dia Perdana Menteri macam Ismail Sabri, dia akan angkut seberapa ramai yang boleh naik pesawat atau jet. Kalau dia menteri macam Mastura, katakan; dia akan bawa sama ahli gerombolan. Itu belum lagi tukang saksi kehebohan ini di tempat kejadian. Maka kita akan melihat satu lawatan yang sepatutnya ada SOP, yang sepatutnya cepat dan berbentuk urusan kerja, yang sepatutnya tidak membazir; menjadi berlebihan. Seolah-olah yang turun ialah sultan. Padahal bukan.

Bos yang menjadi-jadi seperti sultan jadian ini seronok dibungamanggarkan, tidak perlu menjawab dalam mesyuarat (hanya perlu mengasak dan bertanya orang bawah), dia ada parkir sendiri, dan ada tukang kipas. Cuba perhatikan.

Kalau dalam parti, Sindrom Sultan ada dalam Umno, PAS, Bersatu, MIC, malah PKR dan DAP. Tersangat “the boss”.

Inilah sebab reformasi di peringkat atas gagal. Sebab kita ada ramai ‘sultan’ di semua peringkat. Mereka ini ditansri, didatuk, didatin, ditengku, diprofkan. Sindrom ini membiak beranak pinak. Kalau hinggap dengan orang bawah jadi benak, kalau hinggap dengan orang atas jadi tuhan. Dalam Islam, ini contoh syirik. Inilah juga puncanya rasuah tidak boleh dibasmi di negara seperti India, dan tentunya Malaysia. Sebab ‘sultan kecil’ rasa dia empunya dan berhak. Inilah sebabnya SPRM menemui jalan buntu dan sulit. Inilah sebabnya kerja tidak pernah beres.

Sebab ada Sindrom Sultan, kita yang cuba membetulkannya akan dianggap apa?

‘Penderhaka’. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.