`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, October 20, 2021

Isu Timah: Negara perlu ‘dasar arak’ untuk lindungi sensitiviti umat Islam, kata Mujahid

 

Mujahid Yusof Rawa berkata pengajaran daripada isu arak berjenama Timah ialah perlu ada ketegasan pemerintah memelihara nama baik Islam dan kedudukannya dalam negara

PETALING JAYA: Seorang pemimpin tertinggi Amanah berkata “sensitiviti umat” perlu dipelihara dalam semua aktiviti arak termasuk dalam hal pemilihan jenama dan lambang, di sebalik kontroversi berhubung arak buatan tempatan, Timah.

Naib Presiden Mujahid Yusof Rawa berkata perkara itu perlu dimasukkan dalam suatu “dasar arak” agar isu arak tidak sentiasa dipolitikkan sehingga menimbulkan polemik berterusan.

Pendirian ini dinyatakan di sebalik penjelasan syarikat pengeluar Timah bahawa jenama dan lambang digunakan sama sekali tiada kaitan dengan Islam atau mana-mana watak yang dihormati penganut agama itu.

“Pengajaran daripada isu arak berjenama Timah ialah perlu ada ketegasan pemerintah memelihara nama baik Islam dan kedudukannya dalam negara,” katanya di Facebook semalam.

“Perdana Menteri dan khususnya Jemaah Menterinya perlu menjelaskan sikap supaya nama baik Islam di Malaysia tidak dicemari tanpa menidakkan hak bulan Islam dalam keperluan mereka.”

Mujahid berkata kerajaan perlu menyediakan suatu dasar arak merangkumi lima perkara:

  1. Melarang umat Islam daripada terlibat dalam semua aktiviti pemprosesan, jual beli, pengangkutan, hidangan dan yang berkaitan.
  2. Sebarang promosi arak dan kaitannya dilarang sama sekali bagi menghormati Islam sebagai Agama Persekutuan.
  3. Sensitiviti umat Islam perlu dipelihara dalam semua aktiviti arak di kalangan bukan Islam termasuk penganjuran majlis, pemilihan jenama dan simbol yang boleh menimbulkan kemarahan kepada umat Islam.
  4. Isu hak bukan Islam dalam soal arak dan kaitannya perlu dijauhi dari eksploitasi politik bagi meraih sokongan dan menimbulkan kebencian.
  5. Penguatkuasaan undang-undang samada peringkat kerajaan tempatan mahupun di peringkat persekutuan perlu diperketatkan dan dibaiki supaya gejala kesan arak dapat dikawal dan ditangani dengan berkesan.

Mujahid berkata, jika lima petunjuk yang beliau nyatakan itu dituruti, “pastinya kelulusan jenama arak Timah tidak akan berlaku dan ditolak sejak awal lagi bagi memelihara kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.”

“Dari sudut industri yang mempromosikan jenama arak Timah sebagai produk Malaysia, ia adalah sesuatu yang memburukkan imej Islam sebagai agama persekutuan dan telah menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam.”

Mujahid merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal Islam dalam pentadbiran Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ke-7. Partinya, Amanah, merupakan komponen Pakatan Harapan.

Terdahulu, syarikat pengeluar Timah menjelaskan nama jenama itu merujuk kepada logam timah, bersempena perlombongan bijih timah ketika Tanah Melayu ditadbir British.

Gambar lelaki berjanggut dengan penutup kepala pula adalah Kapten Speedy, yang memperkenalkan budaya minum wiski pada zaman itu.

Penjelasan itu dibuat selepas pihak tertentu mengatakan Timah merupakan singkatan kepada Fatimah, anak perempuan Nabi Muhammad, dan penutup kepala Kapten Speedy menyerupai kopiah.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata partinya mahu soal jenama dan lambang itu disemak semula, tetapi menambah Timah seumpama logam dan “tiada lelaki nama Timah”.

Semalam, Pengarah Eksekutif Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Shaun Cheah, berkata tiada keperluan untuk kerajaan campur tangan dalam cara peniaga menguruskan perniagaan, kecuali terbukti mereka berniat untuk menipu.

“Jika kerajaan berterusan meneliti perniagaan dan bertindak balas terhadap aduan paling kecil, ini tidak akan membantu perniagaan,” katanya ketika dihubungi FMT. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.