`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, October 19, 2021

Nasib Umno, Ismail dan Zahid terikat pada PRN Melaka

 

Kata ketua penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Mohd Yusri Ibrahim: “Bayangkan hanya kerana krisis antara beberapa individu dalam kepimpinan Umno Melaka, kita terpaksa berbelanja sebesar RM46 juta.

“Dalam tempoh krisis kesihatan awam dek pandemik Covid-19 dan kelesuan ekonomi sekarang ini, jumlah ini sangat besar nilainya. Sebagai pembayar cukai , tentu sekali kita sedih dan kecewa,” katanya lagi.

Saya setuju dan ingin menegaskan ada kemungkinan jumlah orang keluar mengundi berkurangan walaupun SPR menyarankan 70% peratusan pengundi. Kurangnya pengundi keluar mungkin sebagai tanda protes, atau kebimbangan akan risiko kesihatan walaupun pandemik menunjukkan tanda penurunan.

Apa pun, RM46 juta yang diperkatakan Yusri merujuk jumlah yang akan dibelanjakan untuk diadakan Pilihan Raya Negeri Melaka pada 20 Nov. Kata-kata itu Yusri luahkan menerusi hantaran di Facebook.

Meskipun berkata demikian, beliau akur politik Melaka “menarik” kerana komposisi pengundinya mewakili komposisi pengundi Malaysia keseluruhannya.

“Sebab itu PRN Melaka sangat penting sebagai penanda aras kepada parti-parti politik tanah air menjelang PRU15,” kata Yusri.

Dalam erti kata lain, apa yang berlaku di Melaka barangkali boleh berlaku di Malaysia keseluruhannya pada PRU15 kelak. Banyak pengamal, pemerhati, dan penganalisis politik tidak menolak kebarangkalian itu.

Yang jelas, jatuhnya kerajaan Melaka awal bulan ini memaparkan sengketa politik dalaman, dan juga menunjukkan pertelingkahan antara parti-parti politik Melayu masih rancak.

Kemungkinan besar keputusan PRN Melaka boleh menyelesaikan isu kepimpinan Umno, menentukan “kekuatan” Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri, mencorakkan strategi parti politik Melayu apabila menghadapi pilihan raya mendatang khususnya PRU15, dan jangan lupa ia boleh menunjukkan kemampuan Pakatan Harapan untuk mengambil semula Putrajaya.

Tumpuan ramai ialah bagaimana Umno, PAS, dan Bersatu akan mengorak langkah di Melaka. Adakah Umno akan bertindak bagai apa yang dihasrat presidennya Ahmad Zahid Hamidi, iaitu bertanding secara solo bawah panji BN?

Apa pula langkah PAS? Bersama Bersatu atau Umno? Bagaimana pula Bersatu sendiri? Yang pasti Bersatu tidak boleh dan tidak mahu bersendirian. Pada permukaannya, Umno sudah menolak mereka dan Bersatu juga sudah memberi kata-kata berani bahawa ia juga tidak gentar menghadapi Umno. Namun yang mereka “ada” ialah PAS. Bagaimanapun, menurut beberapa pemerhati dan penulis politik termasuk saya, PAS mahu makan dua-dua belah dan sudah naik sedap duduk dalam kerajaan pusat.

Walaupun Zahid beri gambaran Muafakat Nasional sudah tiada, beberapa pemerhati politik syak itu satu sandiwara. Tidak mustahil Umno, PAS, dan Bersatu bergabung demi survival mereka – walaupun buat seketika.

Imbau kembali kata-kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, tempoh hari, “semua tidak mahu PH menang”. Maksud beliau, ketiga-tiga parti boleh “berbaik” untuk common cause yakni halang PH.

Sesungguhnya PH punyai peluang cerah memenangi PRN Melaka. Penganalisis politik menjangkakan jumlah pengundi mereka pada PRU14 masih kekal dan mereka tetap marah dengan Langkah Sheraton yang menumbangkan PH di pusat dan negeri. Lantas mereka mahu “menghukum golongan pengkhianat” dan mengembalikan kuasa kepada PH.

Lalu jika Umno, PAS, dan Bersatu bertindak berasingan, peluang PH lebih cerah. Tetapi ada 1001 masalah antara ketiga-tiga parti itu yang perlu diatasi terlebih dahulu.

Namun, Zahid sudah beberapa kali menyatakan pandangan bahawa tidak ada satu parti atau gabungan yang akan menang pilihan raya secara mutlak. Maksudnya, kerajaan akan hanya boleh ditubuhkan menerusi rundingan selepas keputusan pilihan raya diperolehi. Ertinya, jumlah kerusi terkumpul yang diperolehi beberapa parti digunakan untuk membentuk majoriti.

Apa pun, jika PH menang di Melaka ia tamparan hebat buat Zahid selaku presiden parti. Sudah tentu, sebarang keputusan yang memihak PH akan memberi tekanan kepada usaha beliau mengekalkan jawatan itu pada pemilihan Umno.

Selaku perdana menteri dari Umno, Ismail akan turut terkesan namun penyokongnya mungkin terdorong menggunakan keputusan PRN yang tidak menyebelahi Umno untuk menyakinkan beliau mencabar Zahid pada pemilihan Umno – atas alasan kekuatan parti perlu dipulihkan sebelum menghadapi PRU15.

Jika ini berlaku, tidak perlu ditegaskan betapa sulit keadaannya buat Zahid. Namun diakui sebarang cabaran Ismail bukan bererti jamin menang. Tetapi beliau ada kelebihan.

Sepanjang era BN memerintah negara, ketika Umno merupakan parti dominan dalam BN, presiden Umno yang memegang jawatan Perdana Menteri. Tentuya Ismail mahu mengembalikan tradisi itu.

Jika Umno kembali menerajui kerajaan Melaka, sudah tentu Zahid dan Ismail akan menggunakan kemenangan itu untuk memacu kempen masing-masing pada pemilihan Umno dan melonjakkan keyakinan parti dalam menghadapi PRU15.

Kalah di Melaka, laluan sukar menunggu Umno untuk PRU15. Ia juga akan menyulitkan kedudukan Ismail sebagai perdana menteri, lebih-lebih lagi dalam mengemudi kerjasama Umno dengan PAS, yang tidak mahu tinggalkan Bersatu. Misi itu akan semakin sukar jika Ismail kekal sebagai Naib Presiden dalam Umno yang dipimpin Zahid.

Bagaimana PAS dan Bersatu?

Di Melaka, PAS tidak punya kesan mendalam. Pada PRU14, parti itu tidak menang walau satu kerusi DUN. Tetapi perlu diingat PAS dapat secara agregat 10.78% undi. Bagi Bersatu pula, kerusi yang dimenangi pada PRU14 diperolehi semasa parti itu berada dalam Pakatan Harapan.

Sejak itu, sokongan terhadap mereka berkurangan. Dengan tiadanya Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, keadaan Bersatu dilihat semakin sukar dan semakin lemah. Parti itu bergantung harap kepada pengundi Melayu. Namun ada pemerhati politik percaya sokongan Melayu sudah berkurangan. Ada yang kembali menyokong Umno. Malah pengundi Melayu punyai pelbagai pilihan selain Bersatu.

Di Melaka, gabungan PAS-Bersatu sukar bergerak maju. Ada pihak meramalkan kesengsaraan menunggu gandingan itu pada PRN Melaka dan seterusnya pada PRU15. Cuma PAS masih kuat di Pantai Timur.

Seperkara lagi, PH dilaporkan akan menggunakan saluran perundangan bagi menghalang PRN diadakan.

Sama ada berjaya di mahkamah atau tidak soal lain. Secara politiknya percubaan itu boleh dianggap “direstui” ramai kerana kebanyakan rakyat Melaka dikatakan tidak setuju pilihan raya diadakan dewasa ini. Sekali gus PH dapat “political points”. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.