`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, November 12, 2021

Polis rampas rokok, arak tak bercukai bernilai lebih RM900,000

 

Siasatan awal mendapati rumah berkenaan dijadikan stor simpanan sejak lebih sebulan lepas, kata Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Muhammad Abdul Halim. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis Melaka merampas 2,097 karton rokok dan 483 kotak arak pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai bernilai RM963,684.21 menerusi Op Contraband di sebuah rumah di Taman Sinn, Semabok di sini pada Rabu.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Muhammad Abdul Halim berkata seorang lelaki berusia 42 tahun turut ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Briged Tengah Cheras bersama Cawangan Risik Batalion ke-6 PGA (PGA6) kira-kira 9.30 pagi itu.

“Rampasan melibatkan 393,000 batang rokok dan 11,446 botol serta tin minuman keras. Siasatan awal mendapati rumah berkenaan dijadikan stor simpanan rokok serta arak tidak bercukai sejak lebih sebulan lepas.

“Lelaki berkenaan disyaki penjaga stor simpanan tersebut dan sindiket pengedaran serta penjualan rokok dan minuman tidak bercukai itu dipercayai diperoleh bekalannya dari negara jiran, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dipetik Bernama, pada sidang akhbar hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Azlan Abu dan Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Raiz Mukhliz Azman Aziz.

Muhammad berkata sindiket berkenaan disyaki sebahagian rangkaian kecil yang bergiat aktif di Melaka dan menjadi satu daripada lokasi transit pengedaran rokok dan minuman arak tidak bercukai.

Beliau berkata rokok dan minuman keras tidak bercukai itu mendapat permintaan tinggi di negeri ini kerana harganya lebih murah berbanding harga pasaran.

Katanya suspek direman selama empat hari sehingga esok, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Kami berharap masyarakat setempat dapat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan terutama di kawasan pantai barat semenanjung agar sindiket terlibat dapat dibanteras,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.