`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 21, 2022

Tak perlu beku akaun bank, hanya tolak jumlah dituntut bekas isteri, kata peguam

 

Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pembekuan akaun bekas suami perlu melalui proses undang-undang, tetapi tiada masalah di pihak kerajaan melakukan penolakan gaji. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah persatuan peguam mencadangkan penolakan jumlah dituntut berbanding pembekuan akaun bank individu yang ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.

Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainul Rijal Abu Bakar, berkata ia bertujuan mengelakkan daripada memberi kesan negatif kepada mana-mana pihak.

Sekiranya keseluruhan akaun bekas suami dibekukan, katanya, wang sukar dikeluarkan dan ini akan menjejaskan individu terbabit, terutama mereka yang mempunyai keluarga baharu untuk ditanggung.

“Bagi bekas suami yang belum berkeluarga, mungkin dia masih perlu menjaga ibu bapa sudah uzur dan ini tentu memberi kesan kepadanya.

“Jadi, saya fikir lebih baik jika tidak bekukan akaun bank berkenaan, sebaliknya diberikan kuasa untuk dibuat penolakan amaun tertentu kepada bekas isteri yang membuat tuntutan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun dilaporkan berkata, pembekuan akaun bank bekas suami yang ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri dijangka dilaksanakan tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kementerian dan agensi berkaitan usaha itu.

Ditanya jika terdapat kekangan melaksanakan pembekuan akaun, Zainul Rijal berkata, tindakan itu perlu melalui proses undang-undang, tetapi bagi kakitangan awam, tiada masalah di pihak kerajaan melakukan penolakan gaji dan bukannya membekukan akaun.

“Maksudnya, jika perintah mahkamah menetapkan jumlah sedemikian, kerajaan akan membuat penolakan daripada gaji untuk diberikan kepada bekas isteri.

“Berbeza dengan pembekuan akaun, perlu ada pindaan akta tertentu bagi memberikan kuasa kepada institusi kewangan untuk membuat tolakan, baru boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau percaya penolakan jumlah ditentukan mahkamah tidak memerlukan penggubalan akta baharu, sebaliknya hanya perlu meminda akta sedia ada, seperti Akta Undang-undang Keluarga Islam yang dapat memberikan kuasa kepada institusi kewangan untuk melakukan penolakan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.