`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, June 21, 2022

Langkah populis jamin menang PRU?

 

Jujur saya katakan, minat saya terhadap bola sepak negara hilang setelah Mokhtar Dahari meninggal dunia dan Soh Chin Aun, Santokh Singh serta pemain hebat seangkatan mereka bersara. Sejak itu, saya tidak mengikuti perkembangan bola sepak tanah air dengan dekat.

Oleh itu, saya tidak akan membuat perbandingan sama ada skuad kebangsaan dahulu yang layak ke Sukan Olimpik Munich dan Moscow dengan menewaskan pasukan gergasi bola sepak Asia lebih baik daripada pasukan kebangsaan yang baru-baru ini layak ke Piala Asia dengan mengalahkan antaranya Bangladesh yang lebih terkenal dengan kriket daripada bola sepak.

Apapun, tahniah mesti diberi kepada Harimau Malaya kerana layak ke pusingan akhir Piala Asia untuk menamatkan penantian negara selama 42 tahun.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Dan adalah tidak adil untuk saya bercakap mengenai imbuhan dan ganjaran yang kerajaan bercadang beri kepada skuad Harimau Malaya yang turut dibarisi beberapa pemain “naturalized”.

(Untuk rekod, pasukan Malaysia yang layak ke Olimpik Munich dan Moscow tidak mendapat imbuhan kerajaan ketika itu. Malah, mereka tidak dapat beraksi di Moscow akibat isu politik, apabila Malaysia menyertai kempen yang diketuai Amerika Syarikat dengan memulau Sukan Olimpik Moscow bagi membantah penaklukan Afghanistan oleh Soviet Union pada 1979).

Seperti yang kita tahu, sebaik sahaja Malaysia memenangi pusingan kelayakan Piala Asia, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaannya menimbangkan imbuhan untuk pasukan bola sepak negara serta keramaian untuk meraikan kejayaan itu.

Diberitakan, minggu ini perbincangan mengenainya akan diadakan antara kerajaan dengan FAM, Persatuan Bola Sepak Malaysia. Bentuk imbuhan yang bakal diberikan kerajaan akan ditentukan pada pertemuan dengan FAM, Ismail dipetik media sebagai berkata.

Seperti dinyatakan tadi, saya tidak mahu mempersoalkan imbuhan itu. Tetapi, jika melihat komen di media sosial, agak ramai juga yang tidak bersetuju dengan hasrat kerajaan itu.

Contohnya, ada kawan lama saya yang dengan sinis membuat hantaran di Facebook menegaskan: “Ni aku setuju. Bagilah tiap-tiap pegawai dan pemain seorang sejuta ringgit dan tanah 100 ekar. Kalau boleh, yang dah hasilkan sawit atau musang king.

“Kalau kerajaan tak ada duit, ambil duit KWSP atau Tabung Haji. Kalau nak lebih manis, semua rakyat Malaysia pun bagi seorang RM1,000. Mereka yang ada bukti pergi stadium dapat seorang RM10,000, barulah bahagia keluarga Malaysia,” demikian tajam dan pedih hantarannya.

Ada hantaran di FB yang membandingkan pencapaian skuad bola sepak dengan pasukan negara dalam sukan lain, antaranya hoki. Kata seorang yang saya klasifikasikan sebagai peminat sukan menerusi hantaran FB: “Pasukan hoki negara masuk final Piala Asia, naib juara Asia, layak ke Piala Dunia 2023, ranking no 10 dunia, mana imbuhan?”

Beliau turut memberitahu pasukan terjun negara yang rata-rata atlet muda “sapu bersih semua lapan pingat emas di Sukan SEA tak ada imbuhan, tak disambut?”

Menurut beliau, pemain hoki dan anggota pasukan terjun negara “majoritinya B40, anak kampung di Sarawak dan ada yang masih belajar, tetapi pemain bola sepak bergaji puluhan ribu, berkereta mewah dan golongan T20 mahu diberi imbuhan?”

Secara am, ramai yang bertanya mengapa bola sepak diberi layanan istimewa, walaupun kejayaannya tidak segah sukan lain?

Saya setuju dengan beberapa pemerhati dan pengulas politik bahawa kerajaan sedang mengambil langkah populis. Tujuannya untuk memenangi pilihan raya umum (PRU), apabila ia diadakan (yang ramai percaya) tidak lama lagi.

Dan oleh kerana bola sepak adalah permainan sukan yang disukai ramai di negara ini, ia dipilih untuk diberi layanan dan keistimewaan untuk mengambil hati ribuan peminat dan penyokong bola sepak negara yang ramai antaranya boleh mengundi.

Mungkin pada hemat kerajaan, bola sepak lebih diminati ramai berbanding hoki dan acara terjun. Juga, banyak lagi acara sukan yang walaupun cemerlang, kurang mendapat perhatian orang ramai.

Di beberapa negara, terutama Amerika Latin, kejayaan pasukan bola sepaknya di pentas dunia digunakan pemerintah untuk mengalihkan pandangan rakyat mengenai kesengsaraan ekonomi yang dihadapi – sekaligus tidak “menyalahkan” pihak pemerintah.

Seperti dikatakan tadi, saya setuju dengan ramai pemerhati dan penganalisis politik yang menganggap kerajaan sekarang ialah satu pentadbiran populis.

Baru-baru ini, Ismail mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma selama sebulan bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL. Ini kata pemerhati politik, jelas menuruti naratif populis kerajaan.

Tetapi, ada pakar ekonomi yang tidak setuju dengan langkah ini, yang kata mereka akan memberi kesan ke atas negara yang ekonominya sedang kemurungan, apatah lagi kata mereka, tatkala dana kerajaan berkurangan selepas pandemik Covid-19.

Menurut laporan FMT tempoh hari, Putrajaya akan membelanjakan RM155 juta untuk memberi subsidi tambang percuma perkhidmatan bas dan tren di Lembah Klang selama sebulan, termasuk MRT, LRT, BRT, Monorel, bas RapidKL serta perkhidmatan KTM.

“Beri tambang percuma sebulan untuk LRT, MRT ini adalah gula-gula untuk rakyat yang sentiasa suka benda percuma,” kata wartawan veteran Zin Mahmud.

Betul kata beliau dan ini semua berkaitan PRU bak dikatakan tadi. Sebenarnya, banyak lagi langkah populis sudah diambil sebelum ini dan dijangkakan banyak lagi akan diambil untuk kerajaan mencetuskan sentimen “feel good” di kalangan rakyat.

Tidak ada salahnya langkah populis diambil. Tidak ada salahnya kerajaan mahu menang pilihan raya. Namun, realitinya negara sedang dihimpit pelbagai masalah yang menekan rakyat. Tidak perlu dihurai apa masalah yang sedang kita alami kerana semua sudah maklum.

Yang diperlukan ialah langkah serta-merta dan jangka panjang untuk menangani masalah sekarang serta meletakkan negara ke landasan betul dan menyenangkan.

Tetapi, diakui langkah populis boleh memujuk dan memukau. Lalu yang mesti ditanya ialah adakah langkah sedemikian akan menjamin kemenangan kerajaan pimpinan Ismail pada PRU15 ini? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.