`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, January 7, 2024

Pelajar pukul rakan, KPM mahu sekolah ambil tindakan disiplin

 

Pelajar berusia 15 tahun itu dipercayai memukul rakannya kerana mangsa tidak mahu ikut suspek ponteng sekolah.

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) meminta pihak sekolah mengambil tindakan disiplin terhadap seorang pelajar sekiranya didapati bersalah memukul rakannya dalam satu kejadian di Segambut Dalam, Kuala Lumpur.

KPM dalam satu kenyataan berkata tindakan itu adalah sebahagian daripada langkah menangani kes buli berdasarkan garis panduan pengurusan salah laku buli di institusi pendidikan bawah KPM.

“Ini termasuk dengan menghubungi ibu bapa atau penjaga, menjalankan siasatan secara terperinci dan telus, memaklumkan kes kepada pegawai perhubungan sekolah, polis dan menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada semua pelajar terlibat.

“Pihak sekolah juga telah diminta untuk memastikan tindakan disiplin diambil ke atas pelajar yang bersalah selain mengarahkan salah laku terbabit direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan.

KPM berkata, pihaknya tidak akan tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaan mereka.

Terdahulu, polis menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun untuk membantu siasatan berhubung kes memukul seorang pelajar sekolah di Segambut Dalam, Kuala Lumpur.

Remaja terbabit, dikatakan rakan sekolah mangsa, ditangkap pada 1.22 pagi tadi, susulan laporan oleh bapa mangsa.

Ketua Polis Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada mangsa tidak mahu ikut suspek ponteng sekolah, menurut Ketua Polis Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari.

Rakan-rakan suspek turut merakam kejadian tersebut dan video kejadian tular dalam kalangan pelajar Tingkatan 3 dan di media sosial. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.