`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, May 8, 2024

Bila Taki kata haram

 

Free Malaysia Today

Taki atau Takiyuddin Hassan, setiausaha agung PAS, semalam dipetik FMT berkata adalah “haram’ jika ahli PAS tidak keluar mengundi pada PRK Kuala Kubu Baharu Sabtu ini.

Jangan salah anggap. Jangan juga salah tafsir. Sebenarnya apa yang Takiyuddin mahu kata ialah ahli PAS mesti atau wajib mengundi di Kuala Kubu Baharu. Lantas mereka dilarang daripada tidak mengundi. Hakikatnya Takiyuddin mengeluarkan larangan kepada ahli PAS. Dalam lain perkataan beliau keluarkan arahan melarang ahli PAS daripada tidak mengundi. Ini mengikut Basasa Melayu mudah.

Tetapi daripada guna istilah mudah dalam Bahasa Melayu yang disebut tadi yakni ‘larangan’, Takiyuddin memilih untuk menggunakan istilah ‘haram’. Inilah masalahnya dengan PAS kerap gemar guna istilah yang ada kaitan atau boleh dikaitkan dengan hukum agama untuk memberitahu sesuatu yang simple. Mungkin untuk memaparkan imej dan memenuhi kriteria atau ciri-ciri parti Islami. Lalu dilihat menggunakan agama. Ada pihak tuduh ia mempergunakan agama. Waullahualam.

Namun kali ni, sebelum nasi menjadi bubur atau sebelum tuduhan dilempar, Takiyuddin pantas mengorak langkah. Beliau memberitahu ‘haram’ yang beliau katakan bukan satu fatwa sebaliknya ia arahan kepada ahli PAS yang layak mengundi di Kuala Kubu Baharu bagi memastikan kemenangan calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut. Khairul umum tahu ialah orang Bersatu, komponen PN.

“Saya menyeru kepada rakan saya dari PAS , ‘haram’ bagi ahli PAS jika tidak keluar mengundi di KKB. Ia bukan satu ‘fatwa’. Ini penegasan kita. Kalau Tok Guru (Presiden Abdul Hadi Awang) sebut mengundi (adalah) fardu ain samalah itu dengan ‘haram’ kalau kita tak buat,” kata beliau.

Kata Takiyuddin lagi: “Untuk kita keluar mengundi pastikan kita, keluarga kita, rakan kita, jiran kita mengundi calon nombor satu Kharul Azhari Saut,” kata beliau pada ceramah perdana PN baru baru-baru ini.

Menurut beliau arahan mewajibkan keluar mengundi jelas termaktub dalam perlembagaan PAS dan perlu dipatuhi. “Tidak mematuhi satu arahan boleh dikenakan tindakan disipilin,” kata Takiyuddin.

Mengapa agaknya Takiyuddin mengeluarkan arahan itu? Apa perlunya beliau mengingatkan ahli PAS akan apa yang termaktub dalam perlembangaan parti? Mengapa sekarang?

Mungkinkah ada kaitan dengan apa yang dikatakan ketua penyelidik Ilham Centre Yusri Ibrahim? Di laman Facebook, Yusri bertanya: “Kenapa PAS tidak cukup ghairah membantu kempen PN di Kuala Kubu Baharu?”

Biasanya kata Yusri, “jentera PAS yang paling all out dalam kempen, termasuk membantu kemenangan calon-calon parti Bersatu.”

Bolehkah diterjemah sebagai membawa makna kurang minat kempen adalah juga kurang minat mengundi? Hingga Takiyuddin merasa terpanggil untuk mengeluarkan arahannya?

Ketidakhadiran pemimpin PAS Pusat mengiringi calon PN pada hari penamaan calon mencetuskan pelbagai spekulasi. Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar tampil menafikan partinya memboikot jentera PN.

Sejak itu banyak penafian dibuat. Pada 3 Mei lalu parti itu sekali lagi menegaskan ia tidak memboikot calon PN. Kali ini penafian dibuat pemimpin peringkat tertinggi. Kata Tuan Ibrahim Tuan Man, timbalan presiden PAS, semua pemimpin tertinggi parti dijadual ikut serta dalam setiap kempen yang berbaki di Kuala Kubu Baharu. Malah katanya jentera PAS seluruh negara sudah berkampung di KKB. “Saya juga berjumpa sebahgian jentera PAS dan amat berpuas hati dengan gerak kerja mereka.”

Berbalik kepada hantaran Facebook Yusri, “Tidak cukup ghairah membantu kempen” pada hemat saya tidak bermaksud tidak berkempen atau tidak bantu kempen. Jauhi lagi boikot. Pada pemahaman saya “tidak cukup ghairah” bermaksud tidak bersungguh-sungguh, tidak serius, melakukan ala kadar, sambil lewa. Barangali juga bagai melepaskan batuk di tangga.

Saya menghubungi Yusri untuk mendapat penjelasan lanjut. Begini kata beliau: “Mobilisasi jentera PAS tidak meriah seperti biasa, banyak diserahkan kepada PAS Selangor. Kawan-kawan saya daripada PAS yang jarang miss PRK kali ni tak turun. Nak ajak ngopi pun susah. Say ajak minum kopi di KKB tapi dia orang tak datang, tak join kempen.” Ini adalah penghayatan beliau semasa menjalankan kaji selidik di lapangan.

Berbalik kepada arahan Takiyuddin tadi. Ahli PAS yang keluar mengundi, parti boleh tahu dengan mudah. Yang ingin ditanya bagaiamana PAS akan tahu siapa dalam kalangan ahlinya yang tidak keluar mengundi? Bagi membolehkan tindakan diambil selaras peruntukan dalam perlembangaan parti. Kalau ditanya kemungkinan besar akan dijawab kami ada cara sendiri. Ada kaedah sendiri.

Tentu hebat kaedah itu. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.