`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, May 8, 2024

KKB bukan sekadar transit, penduduk harap bakal Adun tingkat sektor pelancongan

 

kkb
Penduduk mahu potensi Kuala Kubu Bharu yang kaya dengan sejarah, warisan dan semula jadi dimanfaatkan sepenuhnya.

HULU SELANGOR: Tingkatkan promosi pelancongan Kuala Kubu Bharu, perbaiki kemudahan dan kurangkan birokrasi bagi kelulusan dalam sektor berkenaan.

Itu antara harapan penduduk dan pengusaha bidang itu kepada salah satu daripada empat calon PRK Kuala Kubu Baharu sekiranya mereka bergelar ‘Yang Berhormat’ selepas dipilih rakyat menerusi proses demokrasi, Sabtu ini.

PRK itu membabitkan pertembungan Pang Sock Tao mewakili Pakatan Harapan (PH), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (bebas).

Mereka berharap wakil rakyat baharu itu akan memanfaatkan potensi kawasan itu yang menjadi bandar warisan bersejarah pertama dirancang pihak perancang bandar pada 1930 selain memiliki keindahan semula jadi.

Seorang peniaga di Pekan Kuala Kubu Bharu Abdul Rahman Abdullah, 75, berkata ada kawasan tertentu tidak dipromosi dengan baik selain penyelenggaraan kurang memuaskan menyebabkan ada pelancong tidak mengetahui kewujudannya.

Dakwanya, bagi penduduk luar daerah tarikan pelancong di situ hanya Sungai Chiling yang mempunyai air terjun sedangkan banyak lagi kawasan menarik seperti kolam air panas, empangan, perkampungan Orang Asli, Ampang Pechah, Taman Tasik Millenium dan galeri sejarah.

Rahman berkata Kuala Kubu Bharu juga sebenarnya ada aktiviti lasak seperti luncur layar dan water rafting (berakit redah jeram) namun masih ada kelemahan dari segi promosi untuk meningkatkan kehadiran peminatnya.

“Akhirnya sini hanya jadi tempat persinggahan orang makan sebelum bercuti ke Bukit Fraser,” katanya kepada FMT sambil menaruh harapan wakil rakyat baharu DUN Kuala Kubu Baharu dapat membantu melonjakkan sektor pelancongan untuk meningkatkan ekonomi setempat.

kolam air panas kkb
Penduduk meminta pihak berkuasa menyelenggara kolam air panas berdekatan Taman Arif Utama yang didakwa tidak diurus dengan baik

Ada juga penduduk membangkitkan keadaan kolam air panas terletak di Taman Arif Utama yang memerlukan penyelenggaraan berkala segera, selain keperluan menambah kemudahan seperti tandas awam untuk pengunjung.

Bagi Mohamad Shafik Azmi yang mengusahakan aktiviti lasak, dia berharap pihak berkuasa dapat memudahkan urusan permohonan permit perniagaan yang didakwanya ada kekeliruan dari segi kategori perusahaan.

capek
Mohamad Shafik Azmi.

“PBT tidak tahu nak letak kami bawa permit mana satu, mereka hanya keluar surat sokongan untuk operasi aktiviti lasak seperti water rafting.

“Bila ada permit baru kami boleh dapat lesen dari Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, mudahkan mohon insurans dan geran bantuan untuk besarkan operasi,” katanya.

“Saya juga harap pihak berkuasa dapat memudahkan urusan pelepasan air untuk aktiviti water rafting, ini bagi elakkan kami sering terpaksa batal atau tukar tarikh tempahan pelanggan termasuk dari luar negara.”

nazri
Mohd Nazri Sulaiman.

Bagi pengusaha aktiviti luncur layar Mohd Nazri Sulaiman, dia mengharapkan kerajaan dapat membantu mengembalikan semula kemeriahan kegiatan di Bukit Batu Pahat yang sebelum ini pernah menerima 1,000 pelancong sebulan.

“Sejak tahun lalu berkurangan antara 400-700 pengunjung sebulan, mungkin kerana faktor ekonomi juga,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.