`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, October 20, 2024

Alkisah peluang kedua dan tahanan rumah

 

Mohsin Abdullah

Saya seperti Ahli Parlimen PKR Hassan Karim hairan dan pelik soal tahanan di rumah ada dalam ucapan Belanjawan 2025 disampaikan Jumaat lalu oleh perdana menteri selaku Menteri Kewangan Anwar Ibrahim.

Ucapan belanjawan seharusnya menumpu soal ekonomi dan kewangan bukannya soal reformasi undang-undang atau urusan penjara,
 kata Hassan menerusi kenyataan. Betul kata beliau. Namun untuk berlaku adil perlu dinyatakan juga ucapan Belanjawan 2025 sememangnya memberi tumpuan meluas terhadap ekonomi dan kewangan. Cuma satu perenggan mengenai tahanan rumah. Ini diakui Hassan sendiri.

Hanya satu perenggan sahaja,
 katanya sambil meneruskan kenyataan dengan berkata 
tidak dijelaskan kenapa tiba-tiba perlu sangat soal tahanan di rumah dimasukkan ke dalam ucapan belanjawan. 

 Saya tidak mengikuti ucapan belanjawan Anwar. Apa yang saya tahu mengenai soal tahanan rumah yang diperkatakan Hassan ialah menerusi Malaysiakini yang melaporkan ucapan Anwar turut mengandungi peluang kedua dan membayangkan rancangan untuk merangka undang-undang baharu bagi membolehkan tahanan di rumah sebagai hukuman alternatif untuk kesalahan tertentu.

Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat ditetapkan dan dipantau pegawai penjara.

Itu kata Malaysiakini ialah menurut teks ucapan. Bagaimanapun kata portal berita itu Anwar tidak membaca bahagian itu ketika berucap Jumaat lalu. Mengapa agaknya? Kalau tak nak baca ‘why have it in the speech in the first place? Atau mungkinkah rancangan itu dibatalkan? Tak jadi buat?

Bagaimanapun, semalam 19 Okt 2024 Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata rang undang-undang (RUU) baharu berkaitan hukuman tahanan di rumah bakal dibentangkan di Parlimen tahun depan. Ertinya ‘all systems go’. Mengapa Anwar tidak membaca bab itu dalam teks ucapannya hanya tuhan dan beliau yang tahu.

Kata Saifuddin Jemaah Menteri sudah memberikan kelulusan dasar untuk pelaksanaan RUU itu. 

Ketika ini RUU berkaitan sedang digubal oleh Jabatan Peguam Negara dan ketua pengarah Jabatan Penjara Malaysia sebagai pemegang taruh,
 beliau dipetik berkata.

Selepas RUU itu digubal kata Saifuddin ia akan dibawa kepada Kabinet sebelum dibentangkan di Parlimen, jangkaannya tahun depan.

Berbalik kepada kehairanan Hassan mengapa soal tahanan di rumah dimasukkan dalam ucapan Belanjawan 2025. 

Adakah ia persiapan awal untuk membina persetujuan awam untuk meminda undang-undang untuk meringankan hukuman bagi golongan elit terentu?
 soal beliau. Hassan bagaimanapun tidak menamakan golongan elit dimaksudkan. Terserah interpretasi masing-masing.

Hassan turut bertanya ‘jenis’ kesalahan jenayah yang ‘layak’ untuk diberi hukuman tahanan rumah. Sekali gus bertanya adakah ia turut meliputi orang yang disabit kesalahan atas dakwaan rasuah dan pecah amanah?

Apa pun saya harap perdana menteri janganlah meneruskan agenda yang regresif seperti ini,
 kata beliau. Berpandukan laporan Malaysiakini yang saya petik di awal penulisan ini Anwar ada bercakap soal memberi peluang kedua.

Pada hemat saya ‘second chance’ sesuatu yang mulia dan sememangnya digalakkan diberi kepada banduan tetapi setelah mereka selesai menjalani tempoh hukuman di penjara. Atau setelah hukuman dikurangkan atau diberi pengampunan diraja. Peluang kedua ialah untuk membolehkan mereka mendapat pekerjaan dan sebagainya untuk mulakan hidup baru.

Sehingga kini, banduan di Malaysia tidak boleh memohon untuk tahanan di rumah kerana tiada peruntukan mengenainya dalam sistem perundangan negara.

Isu tahanan di rumah hangat diperkatakan tidak lama dulu apabila bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa mendapat pengampunan diraja yang membenarkannya menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Najib kini menjalani hukuman penjara setelah disabit bersalah kes SRC international, dan beliau masih dibicarakan untuk beberapa kes berkaitan skandal 1MDB. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.