Saturday, November 23, 2024

Tingkat integriti, penguat kuasa JPJ perlu kamera badan

Free Malaysia Today
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Jazmanie Shafawi berkata penggunaan kamera badan diyakini dapat meningkatkan integriti pasukan berkenaan. (Gambar Bernama)

SEREMBAN
Penggunaan kamera badan bagi anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sangat diperlukan bagi meningkatkan integriti dalam kalangan anggota bertugas dan orang awam.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Jazmanie Shafawi, berkata penggunaan kamera itu diyakini dapat meningkatkan integriti pasukan berkenaan selain mengelakkan salah tafsir yang sering berlaku dalam kalangan anggota penguat kuasa semasa bertugas.

Bagaimanapun katanya kajian menyeluruh mengenai perkara itu masih dilakukan sebelum dapat dilaksanakan.

“Sememangnya di peringkat JPJ dan kementerian melihat memang ada keperluan anggota penguat kuasa kita menggunakan kamera badan ini tetapi cuma sekarang ini ia masih lagi di peringkat kajian awal.

“Kita juga telah menjalankan satu siri ujian bukti konsep (POC) mengenai perkara ini sebelum ia betul-betul dapat dilaksanakan,” katanya selepas Ops Bersepadu JPJ Negeri Sembilan yang turut dihadiri Pengarah JPJ negeri Hanif Yusabra Yusuf di Plaza Tol Senawang, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook bersetuju kamera badan digunakan oleh agensi penguatkuasaan bawah Kementerian Pengangkutan termasuk JPJ bagi meningkatkan nilai integriti agensi penguatkuasaan di mata rakyat selain melindungi pegawai daripada menjadi mangsa fitnah ketika menjalankan tugas.

Sementara itu, Jazmanie berkata sebanyak 51,421 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan JPJ kepada pengguna motosikal dalam tempoh 22 hari pelaksanaan Ops Khas Motosikal bermula awal bulan ini.

Beliau berkata sejumlah 243,240 motosikal diperiksa dan daripada jumlah tersebut sebanyak 36,673 motosikal diambil tindakan atas pelbagai kesalahan manakala 1,812 disita di seluruh negara.

“Sepanjang tempoh operasi itu, lima kesalahan paling tinggi telah dikesan iaitu tiada lesen memandu kompeten (CDL) sebanyak 19,080 (kes) diikuti Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (14,163) dan tiada insurans (12,794). Selain itu nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi sebanyak 4,040 kes dan CDL tamat tempoh (1,344),” katanya.

Jazmanie berkata, kompaun turut dikenakan kepada 1,299 penunggang motosikal warga asing dan 146 individu bawah umur manakala 10 daripada 239 penunggang yang membuat ujian saringan air kencing didapati positif dadah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.